Images
  • pogba
    Paul Pogba. (Gambar: AFP/Valery Hache)

Mourinho dakwa Pogba 'gembira' di Man Utd

MANCHESTER: Jose Mourinho menyifatkan Paul Pogba gembira untuk kembali ke Manchester United menyusuli kejayaan dalam Piala Dunia 2018. Ini meskipun ada laporan mengaitkan pemain tengah itu dengan perpindahan ke Barcelona atau Juventus.

Astro Arena melaporkan bahawa Pogba memainkan peranan penting dalam skuad bimbingan Didier Deschamps sepanjang kempen di Russia dan pemain berusia 25 tahun itu kembali ke sesi latihan United, Isnin lalu, bagi melakukan persiapan menjelang perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris menentang Leicester City, awal pagi Sabtu (11 Ogos).

Juara La Liga, Barcelona, dilaporkan berminat untuk membawa Pogba ke Camp Nou tatkala jendela perpindahan masih dibuka sehingga 31 Ogos buat kebanyakan liga utama di Eropah, dengan Juventus turut menyimpan hasrat sama, menurut laporan Astro Arena.

Bagaimanapun, Mourinho menegaskan United tidak bercadang untuk menjual Pogba, pemain yang mereka dapatkan pada 2016, sambil menambah pemain Perancis itu mungkin tidak akan beraksi menentang Leicester di Old Trafford.

"Pandangan saya, beliau tiba pada Isnin dengan bangga, gembira dan keinginan untuk bekerja," kata Mourinho seperti ditukil Astro Arena.

"Beliau bekerja dengan hebat pada Isnin, Selasa dan Rabu. Pogba merupakan salah seorang pemain yang telah saya temui untuk melihat tahap fizikal dan mentalnya."

Mourinho dilihat begitu kecewa dalam percubaan untuk meningkatkan kualiti pasukan menjelang musim baru apabila United gagal mendapatkan khidmat bek tengah baru, yang menyaksikan tawaran saat-saat akhir untuk pemain Atletico Madrid, Diego Godin, ditolak.

- Agensi berita/TQ/tq

Top