Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Lumba F1: Alonso akan akhiri kerjaya pada hujung musim

Juara dunia sebanyak dua kali Fernando Alonso mengumumkan pada Selasa (14 Ogos) persaraannya daripada sukan lumba kereta Formula 1 di akhir musim ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Lumba F1: Alonso akan akhiri kerjaya pada hujung musim

Fernando Alonso menandatangan autograph sebelum Grand Prix Hungary (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 15 Aug 2018 12:00PM Dikemas Kini : 15 Aug 2018 12:03PM

LONDON: Juara dunia sebanyak dua kali Fernando Alonso mengumumkan pada Selasa (14 Ogos) persaraannya daripada sukan lumba kereta Formula 1 di akhir musim ini, selepas beliau sejak kebelakangan ini menghadapi cabaran dalam pasukan McLaren yang kurang menyerlah.

Warga Sepanyol berusia 37 tahun yang mencatat 32 kemenangan Grand Prix dalam 17 musim itu, semakin kecewa dengan F1 sedang pasukan McLaren yang dahulu pernah dianggap jaguh, semakin ketinggalan di belakang.

Alonso yang mencatat rekod pada 2005 sebagai juara dunia Formula 1 termuda dengan pasukan Renault sebelum mempertahankan kejuaraannya pada tahun seterusnya, mengumpul 44 mata musim ini dan berada di tangga ke sembilan dalam kejuaraan pemandu.

"Saya melihat kamu (Formula 1) melalui banyak perubahan, ada yang baik, dan pada pandangan saya ada yang buruk," kata Alonso yang tiga kali menjadi naib juara semasa dalam pasukan Ferrari.

"Tahun ini, pada masa saya masih di tahap prestasi terbaik, inilah cara saya ingin mengenangmu."

Rekod terbaik beliau semasa memandu untuk pasukan McLaren adalah tempat ke-10 pada 2016. Alonso berkata beliau bertekad untuk mengakhiri kerjayanya dengan rekod baik.

"Masih ada beberapa lagi Grand Prix dalam musim ini, dan saya akan menyertainya dengan lebih komitmen dan penuh semangat."

Dalam satu kenyataan CEO McLaren Racing Zak Brown berkata: "Fernando bukan sahaja duta baik bagi McLaren, malah juga bagi Formula 1".

Sepanjang kerjayanya dalam F1 Alonso bermula di petak hadapan sebanyak 22 kali dan menduduki tiga tempat terbaik sebanyak 97 kali.

Dalam satu catatan menyentuh hati di akaun Instagramnya, beliau meluahkan rasa cintanya kepada sukan itu.

"Bila saya baru pandai bertatih, saya sudah tertarik dengan suasana litarmu (F1) tanpa tahu-menahu apa pun tentang kamu," kata beliau.

Antara yang dijangka menggantikan Alonso ialah Lando Norris, remaja warga Britain yang merupakan pemandu simpanan McLaren.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan