Images
  • juventus
    Leonardo Bonucci kelihatan kecewa selepas menyumbat gol ke dalam gawang sendiri. (Gambar: Stefano Rellandini/Reuters)

Juventus kalah mengejut di padang sendiri; Man Utd menang 2-1

PARIS: Manchester United kembali unggul selepas menewaskan Juventus 2-1 dalam perlawanan yang mungkin satu titik perubahan dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah, sementara jaringan hatrik Gabriel Jesus membantu Manchester City melayakkan diri ke pusingan kalah mati.

Pasukan pimpinan Pep Guardiola menundukkan Shaktar Donetsk 6-0 pada malam yang turut menyaksikan Real Madrid berpesta gol, sedang Bayern Munich semakin menghampiri pusingan kalah mati.

Hanya tinggal beberapa saat sebelum Juventus mengesahkan mara ke pusingan kalah mati selepas Cristiano Ronaldo meletakkan pasukannya dalam kedudukan yang mendahului lawannya, menerusi rembatannya pada minit ke-65.

Juventus sebelum ini hanya kalah dua kali dalam perlawanan-perlawanan Liga Juara-Juara Eropah dan dijangkakan terus unggul. Namun, Juan Mata menjaringan gol melalui tendangan percuma pada minit ke-86 dan menyamakan kedudukan kedua-dua pasukan.

Tidak dijangka-jangkakan, Leornardo Bonucci menjaringkan gol sendiri pada minit ke-90, dan pengurus United, Jose Mourinho, tersenyum lebar dengan prestasi pasukannya.

Kekalahan itu adalah satu tamparan hebat bagi para penyokong Juventus, apa lagi United kini dua mata di belakang pasukan Itali itu dalam Kumpulan H.

"Di bandar Itali yang sungguh cantik ini, mereka menghina saya selama 90 minit. Saya tidak menghina mereka. Saya hanya menunjukkan gaya berseloroh saja," kata Mourinho kepada BT Sport.

"Ia satu kemenangan besar bagi kami."  

- AFP/AQ/aq

Top