Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Junaidi buru pingat lumba basikal Sukan SEA; gigih latih atlit muda

Sebaliknya, sukan yang diminati beliau sejak kecil lagi adalah lumba basikal, lebih tepat lagi – beliau bercita-cita ingin menjadi jaguh dunia bagi sukan tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Junaidi buru pingat lumba basikal Sukan SEA; gigih latih atlit muda

Para atlit sukan lumba basikal negara. (Gambar: Danial Hakim/ Peloton Images Asia)

Diterbitkan : 22 Jun 2017 09:23PM Dikemas Kini : 22 Jun 2017 09:33PM

SINGAPURA: Sedang remaja yang sebaya dengannya bercita-cita menjadi bintang bola sepak seperti Fandi Ahmad dan mengharumkan nama negara, namun keadaan berbeza bagi Junaidi Hashim.

Sebaliknya, sukan yang diminati beliau sejak kecil lagi adalah lumba basikal, lebih tepat lagi – beliau bercita-cita ingin menjadi jaguh dunia bagi sukan tersebut.

Encik Junaidi Hashim.

Junaidi sudah berlumba secara kompetitif sejak berusia 15 tahun lagi. Kini bapa muda kepada seorang anak lelaki berusia setahun ini masih lagi memendam cita-citanya dan akan mewakili negara sekali lagi di Sukan SEA pada Ogos ini selepas mewakili negara di Sukan SEA Korat pada 2007.

Beliau kini sedang giat berlumba dan menyertai pelbagai perlumbaan di luar negara sebagai persiapan bagi temasya sukan di Kuala Lumpur itu.

WALAU SIBUK BERLATIH, MASIH LUANGKAN MASA UNTUK PELUMBA MUDA

Walaupun sibuk dengan persiapan Sukan SEA, Junaidi masih meluangkan masa untuk "menurunkan ilmu" kepada para pelumba muda.

Apa yang membanggakan, selain sibuk dengan jadual yang padat, Junaidi juga merupakan "abang" kepada 2 anak didiknya - iaitu Riyadh Hakim 19 tahun dan Arfan Faisal 17 tahun, kedua-duanya peminat tegar sukan lumba basikal.

Salah seorang anak didik Encik Junaidi, Arfan Faisal 17 tahun.

Menurut Junaidi, kedua-dua remaja ini berpotensi melangkah jauh dan dengan dorongan yang betul, mereka berupaya mencipta sejarah sebagai anak Melayu pertama di Singapura yang akan meraih pingat emas untuk negara di Sukan SEA dan menjadi atlit yang disegani pada satu hari nanti.

Namun begitu, Junaidi juga akur bahawa untuk menjadi atlit yang terbaik, bukanlah mudah. Selain kerja keras dan disiplin diri yang tinggi, pembiayaan dana yang mencukupi juga amat penting. Oleh demikian, Junaidi serta pengasas bersama, Encik Danial Hakim, menubuhkan syarikat pengurusan atlit prestasi tinggi J/D Development Project, untuk membantu atlit muda merealisasikan impian mereka dalam sukan lumba basikal dan bekerjasama dengan penaja-penaja yang lain.

CARI SENDIRI PENAJA

Sejauh ini, J/D Development Project berjaya mendapatkan tajaan yang lumyan dari syarikat antarabangsa seperti penaja terbesar setakat ini Awano Food Group, Oakley Sunglasses dan Triplefit Sports Consortium.

Bukan itu sahaja, J/D Development Project juga giat melakar dan menganjurkan pelbagai aktiviti, latihan serta perlumbaan yang menarik untuk anak didiknya agar mereka berpeluang untuk merasakan persekitaran yang berlainan seperti menyertai perlumbaan di Jepun, China dan Eropah.

“Selain sibuk menjalani latihan untuk Sukan SEA dan perlumbaan luar negara, saya dan juga pengasas J/D Development sedang giat melatih dan mendidik dua remaja Melayu kita. Kami dapat merasakan sikap dan professionalisme mereka berdua yang begitu utuh dan tinggi. Mereka berpotensi besar untuk menjadi atlit yang berjaya dan jaguh lumba basikal, berikan mereka sedikit masa, dan saya yakin Riyadh dan Arfan tidak akan mengecewakan,” ujar Junaidi dengan bersungguh-sungguh.

Seorang lagi anak didik Encik Junaidi, Riyadh Hakim 19 tahun.

Junaidi juga menerangkan, walaupun mereka berdua masih bersekolah, namun tuntutan pelajaran dan komitmen untuk berlatih tidak pernah diabaikan. Walaupun mereka perlu berlatih selama 5 hari atau lebih 25 jam seminggu, ini tidak termasuk latihan dalam gimnasium.

“Arfan masih lagi menuntut di Maktab Rendah di tahun pertama, manakala Riyadh pula masih bersekolah di Politeknik. Namun begitu, latihan dan aktiviti lasak tetap berjalan terus, walaupun mereka berpuasa dan penat seharian bersekolah. Mereka sendiri yang memiliki ‘fighting spirit’ (semangat juang) yang kental dan dahagakan kejayaan.

“Setakat ini, mereka berjaya menjuarai atau mendapat antara tiga tempat teratas dalam perlumbaan di dalam dan luar negara, kejohanan bawah 23 tahun dan perlumbaan peringkat remaja – iaitu 16 hingga 18 tahun. Pihak kami memang berpuas hati dengan keputusan memberangsangkan yang diperolehi,” jelas Junaidi, pemuda berusia 35 tahun ini dan suami kepada Anna Elvira.

ATLIT LUMBA BASIKAL PERLU PENDEDAHAN ANTARABANGSA

Pasukan mereka akan bersaing di Perlumbaan Basikal Bukit Siri Asia dan juga merupakan kumpulan anak Melayu Singapura pertama yang akan bersaing dalam Kejohanan Dunia UCI di Cairns, Australia yang bakal berlangsung pada September ini.

Ketiga-tiga mereka beraksi. (Gambar: Danial Hakim/ Peloton Images Asia)

“Walaupun pada awalnya, perjalanan kami memang payah dan penuh berliku, namun kami tetap berjuang dan percaya pada diri kami serta projek yang kami kendalikan. Kami bersyukur kepada Encik Osman Ahmad, serta penaja terbesar, Awano Food Group yang percaya kepada kami, dari titik permulaan hingga berjaya mencapai sesuatu yang mustahil. Kami tidak akan dapat menubuhkan pasukan ini tanpa mereka dan oleh itu, J/D Development Project amat terhutang budi, kerana kepercayaan dan penglibatan mereka selama ini,”katanya.

Bagi pendapat peribadi Junaidi, hambatan terbesar bagi para atlit lelaki untuk meraih kejayaan besar dalam sukan ini ialah apabila mereka perlu menjalani Perkhidmatan Negara (NS). Itu baginya, kehilangan terbesar untuk pasukan dan atlit negara. Kerana pertandingan lumba basikal memerlukan latihan yang terterusan dan untuk mengekalkan stamina yang jitu, pelatih harus terus menjalani latihan walau di mana jua, dan dalam keadaan apa sekali pun.

“Saya berharap NS boleh ditunda bagi atlit yang berpotensi dan mereka terus mendapat sokongan yang betul dari segi kewangan dan pendedahan, khusus di luar negara. Di Singapura, kita tidak mempunyai kejohanan lumba basikal yang mencukupi atau bakat yang ramai untuk bersaing, tetapi saya percaya bahawa dalam setiap sukan akan ada peluang yang menunggu jika kita mempunyai niat yang bersungguh-sungguh."

“Bagi saya, Sukan Olimpik mungkin menjadi mimpi atau ‘angan-angan’yang indah untuk seorang atlit di Singapura, dan menjadi jaguh Olimpik pasti menjadi impian mereka! Saya berharap Singapura dapat menghantar pasukan lumba basikal ke kejohanan terbesar di dunia seperti Piala Dunia Siri UCI dan perlumbaan seperti Giro Italia dan Tour De France untuk para atlit kita. Saya percaya semuanya tidak mustahil,” jelas Junaidi dengan penuh semangat. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan