Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Jepun juarai bola sepak AFC bawah 16 tahun buat kali ketiga

Jepun memenangi Kejuaraan bawah 16 tahun Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) buat kali ketiga setelah menang tipis 1-0 ke atas Tajikistan pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam tadi (7 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Jepun juarai bola sepak AFC bawah 16 tahun buat kali ketiga

Pasukan Jepun (kanan) juarai AFC bawah 16 tahun selepas kalahkan Tajikistan (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 08 Oct 2018 08:48AM Dikemas Kini : 08 Oct 2018 08:52AM

KUALA LUMPUR: Jepun memenangi Kejuaraan bawah 16 tahun Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) buat kali ketiga setelah menang tipis 1-0 ke atas Tajikistan pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam tadi (7 Okt).

Untuk rekod, Jepun pernah memenangi gelaran sama pada 1994 dan 2006.

Jun Nishikawa muncul wira skuad muda Samurai Biru pada perlawanan berkenaan apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-62.

Lebih manis, Nishikawa diumumkan sebagai pemain terbaik (Most Valuable Player) kejohanan, manakala pasukan Jepun menerima anugerah 'Fair Play' setelah hanya dilayangkan empat kad kuning sepanjang kejohanan berkenaan.

Pada aksi malam tadi, penguasaan bola jelas memihak kepada Jepun yang melakukan serangan bertali arus ke atas kubu Tajikistan, namun kekebalan benteng pertahanan Tajikistan selain ketangkasan penjaga gol lawan, Mukhriddin Khasanov menyaksikan perlawanan berkesudahan seri tanpa jaringan sehingga tamat separuh masa pertama.

Sebaik sahaja perlawanan disambung, skuad muda Samurai Biru kembali menggandakan asakan untuk memburu gol pembukaan.

Mereka berjaya mendahului perlawanan pada minit ke-57 menerusi Ryuma Nakano hasil hantaran Keita Nakano, namun gol berkenaan tidak disahkan pengadil perlawanan kerana seorang lagi pemain Jepun, Shoji Toyama didakwa berada pada kedudukan off-side sewaktu gol berkenaan terhasil.

Nishikawa memastikan kejuaraan ketiga untuk skuad kendalian Toshiyo Moriyama apabila melepaskan rembatan leret hasil hantaran Ryuma Nakano pada minit ke-62 dan keputusan 1-0 itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Untuk rekod, Jepun dan Tajikistan layak ke Piala Dunia bawah 17 tahun di Peru tahun depan setelah mara ke peringkat separuh akhir Kejuaraan bawah 16 tahun AFC.

Mereka diiringi oleh Australia dan Korea Selatan yang kalah pada peringkat separuh akhir sebelum ini.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan