Images
  • UN Security council
    Gambar fail sebuah mesyuarat Majlis Keselamatan PBB. (Gambar: DON EMMERT/AFP)

Jawatankuasa Olimpik 'kesali' larangan peralatan sukan ke Korea Utara

LAUSANNE: Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) hari ini (9 Ogos) meluahkan rasa kesalnya terhadap keputusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) enggan menarik balik larangan eksport peralatan sukan ke Korea Utara.

Jawatankuasa sekatan PBB pada Rabu lalu meluluskan langkah-langkah bagi membenarkan kumpulan-kumpulan bantuan dan badan-badan PBB untuk mendapatkan status pengecualian sekatan yang bertujuan menamatkan program nuklear Pyongyang. Namun, peralatan sukan tidak disenaraikan.

"IOC meluahkan rasa kesal memandangkan Jawatankuasa Sekatan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tidak memberikan pengecualian bagi barangan sukan untuk para atlit Korea Utara," menurut IOC menerusi satu kenyataan.

"Ini menyukarkan lagi misi IOC untuk mengumpulkan para atlit dari seluruh dunia bagi menggalak pemahaman dan persahabatan tanpa mengira latar belakang politik ataupun sebarang perbezaan lain."

IOC sebelum ini secara aktif berusaha merintis jalan bagi Korea Utara mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk tahun ini di Pyeongchang, Korea Selatan, yang dilihat berjaya mengurangkan ketegangan hubungan kedua-dua negara semenanjung Korea itu.

- Agensi berita/HS/hs

Top