Images
  • sticks and stones will break my bones
    Petikan dari video menunjukkan penyokong Indonesia melontar batu dan botol ke arah pasukan Malaysia (Gambar: Suresh Nair/Facebook)

Insiden tegang penonton perlawanan bola sepak M'sia-Indonesia: Syed Saddiq prihatin

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan Malaysia akan mengadakan perbincangan dengan pihak penganjur susulan insiden tegang semasa perlawanan separuh akhir Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN bawah 19 tahun di Surabaya, Indonesia, pada Khamis (12 Jul).

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata Malaysia memandang serius terhadap perkara tersebut kerana ia melibatkan keselamatan dan kesejahteraan atlit negara.

“Saya dijadual ke Indonesia malam ini atas urusan kerja dan akan mengambil peluang itu untuk berjumpa serta berbincang dengan pihak mereka berhubung perkara berkenaan.

“Ini adalah penting memandangkan kontinjen Malaysia akan berada di Indonesia bagi menghadapi Sukan Asia ke-18 pada Ogos ini. Buat masa ini, pihak Indonesia telah menjanjikan peningkatan kualiti keselamatan menjelang perlawanan akhir dan tindakan akan diambil ke atas perbuatan dan pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Di Stadium Gelora Delta Sidoarjo pada Khamis malam, pasukan belia Malaysia berdepan dengan suasana tegang apabila penyokong tuan rumah melemparkan botol dan batu sejurus perlawanan tamat. Ini menyebabkan pasukan Malaysia terpaksa diiringi pihak polis tempatan untuk keluar dari stadium.

Pasukan Malaysia menewaskan tuan rumah Indonesia 3-2 dalam penentuan penalti untuk mara ke peringkat akhir buat kali keenam, bertemu Myanmar esok.

Dalam pada itu Syed Saddiq memuji tindakan pantas pihak berkuasa Indonesia dalam mengawal keadaan dan melindungi pemain serta pegawai kedua-dua pasukan.

Tambahnya, kementeriannya akan sentiasa memastikan kontinjen negara menghormati undang-undang dan peraturan sepanjang masa atas semangat kesukanan.

“Indonesia dan Malaysia adalah saudara serumpun bangsa yang memiliki begitu banyak persamaan yang perlu diraikan. Adalah menjadi harapan saya agar penonton dan peminat sukan kedua-dua negara terus menyokong perlawanan akan datang serta menjalinkan kerjasama erat,” katanya.  

- Bernama/TQ/tq

Top