Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Indonesia jamin keselamatan kontinjen M'sia di Sukan Asia

Pemerintah Indonesia sudah memberi jaminan keselamatan bagi kontinjen Malaysia di Sukan Asia Jakarta-Palembang pada minggu depan, kata Menteri Belia dan Sukan negara itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia jamin keselamatan kontinjen M'sia di Sukan Asia

Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, semasa kunjungan ke Majlis Sukan Negara Malaysia. (Gambar: Syed Saddiq/Instagram)

Diterbitkan : 13 Aug 2018 07:49AM Dikemas Kini : 13 Aug 2018 08:08AM

SERI KEMBANGAN: Pemerintah Indonesia sudah memberi jaminan keselamatan bagi kontinjen Malaysia di Sukan Asia Jakarta-Palembang pada minggu depan, kata Menteri Belia dan Sukan negara itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Encik Syed Saddiq berkata, kementeriannya juga sudah mengadakan perbincangan dengan pihak polis Indonesia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai keselamatan para atlit yang akan menyertai temasya sukan tersebut dari 18 Ogos hingga 2 September ini.

“Sebelum ini, saya ke Indonesia melakukan tinjauan di Palembang dan Jakarta, saya sempat berjumpa dengan Presiden Indonesia Joko Widodo dan menterinya berbincang isu keselamatan (bersempena Sukan Asia).

“Mereka berjanji untuk memastikan keselamatan atlit kita terjamin. Beberapa perkara perlu diperhalusi, antaranya saya dimaklumkan pihak PDRM akan pergi lebih awal ke Indonesia bagi mendapatkan taklimat lanjutan,” kata Encik Syed Saddiq ketika ditemui oleh para wartawan di kayuhan Maju Expressway (MEX Ride 2018) di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seri Kembangan di Seri Kembangan, pada Ahad (12 Ogos).

Jaminan keselamatan itu dianggap penting memandangkan beberapa insiden yang membabitkan pasukan Malaysia di negara itu, dengan yang terbaru pada 12 Julai di mana para pemain pasukan bola sepak bawah 19 tahun dilontar botol dan batu semasa kejohanan AFF di Stadium Gelora Delta di Sidorajo.

Sementara itu, menyentuh mengenai kekecohan semasa perlawanan persahabatan skuad bola sepak bawah 23 tahun antara Malaysia dengan Persatuan Bola Sepak Amiriah Arab Bersatu (UAE FA) pada Jumaat (10 Ogos), Encik Syed Saddiq berkata bahawa perkara itu tidak sepatutnya berlaku.

Beliau menerangkan: “Kita akan bertegas, ia tidak sepatutnya berlaku. Pihak kerajaan dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan pastikan isu ini diselesaikan dengan baik.”

Insiden pergaduhan itu berlaku pada tempoh kecederaan babak kedua selepas pemain UAE, Mohammed Khalfan Al-Harazi, mengasari pemain negara dan sekaligus mencetuskan tindak balas.

Menyusuli insiden tersebut, pihak pasukan lawan menggugurkan Mohammed Khalfan daripada senarai pemain mewakili negara itu pada Sukan Asia nanti.

Tindakan itu diambil selepas persatuan berkenaan meneliti laporan awal yang mendapati bahawa Mohammed Khalfan menjadi punca insiden pergaduhan tersebut.

Dalam satu kenyataan di lamannya pada Sabtu (11 Ogos), UAE FA turut memohon maaf kepada FAM berhubung insiden itu yang tidak mencerminkan etika dan semangat kesukanan pasukan tersebut. 

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan