Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Ibu bekas pemain tenis meja S'pura Li Hu dipenjara 6 minggu kerana beri rasuah

Ibu kepada bekas pemain tenis meja negara Li Hu dijatuhi hukuman penjara selama enam minggu hari ini (30 Jan) kerana menawarkan wang sebanyak €2,000 (S$3,200) untuk menyogok pengarah teknikal Persatuan Tenis Meja Singapura (STTA) Loy Soo Huan supaya anaknya diberi kelonggaran.

Anggaran Waktu Membaca:
Ibu bekas pemain tenis meja S'pura Li Hu dipenjara 6 minggu kerana beri rasuah

Su Fengxian (tengah) dijatuhi hukuman penjara atas kesalahan memberi rasuah. (Gambar: Robin Choo/TODAY)

Diterbitkan : 30 Jan 2018 11:06PM Dikemas Kini : 31 Jan 2018 02:40AM

SINGAPURA: Ibu kepada bekas pemain tenis meja negara Li Hu dijatuhi hukuman penjara selama enam minggu hari ini (30 Jan) kerana menawarkan wang sebanyak €2,000 (S$3,200) untuk menyogok pengarah teknikal Persatuan Tenis Meja Singapura (STTA) Loy Soo Huan supaya anaknya diberi kelonggaran.

Peguam Su Fengxian, Alfred Dodwell mengesahkan hasrat anak guamnya untuk membuat rayuan.

Su didapati bersalah pada 2 Januari kerana memberi rasuah kepada Encik Loy pada 17 Oktober 2016, tiga hari selepas Li memberitahu ibunya bahawa dia dikenakan tindakan disiplin kerana beberapa kali membiarkan temanitanya menginap bersama di asrama. Perbuatannya itu melanggar peraturan asrama tersebut dan Li dipecat seminggu selepas itu.

Timbalan Pendakwa Raya Jasmin Kaur menyarankan hukuman penjara sekurang-kurangnya empat bulan kerana tindakannya berpotensi mencemarkan reputasi Singapura di peringkat antarabangsa.

"Sukan tenis meja diiktiraf sebagai salah satu daripada tujuh sukan utama Singapura, dan pasukan Singa memberi prestasi yang baik dalam kejohanan antarabangsa," kata Cik Kaur.

Memandangkan sukan tenis meja Singapura "terkenal dan mempunyai reputasi yang baik... satu isyarat kuat harus dikeluarkan bagi mencegah sebarang percubaan untuk memberi rasuah kepada para pegawai STTA... supaya reputasi Singapura tidak teruk terjejas akibat kes rasuah ini," tambah pendakwa itu.

Encik Dodwell, peguam Su, menggesa mahkamah untuk hanya menjatuhi hukuman denda.

Hakim Daerah Chay Yuan Fatt berkata hukuman penjara enam minggu ke atas Su, memenuhi kepentingan awam bagi melindungi kewibawaan para pegawai STTA kerana sukan tenis meja salah satu sukan Singapura yang berprofil tinggi.

Su bebas dengan ikat jamin S$15,000 sementara menunggu perbicaraan rayuan. Anaknya merupakan rakyat Singapura dan memiliki sebuah flat di sini, kata Encik Dodwell. Su dan suaminya sudah bersara dan menjual semua yang dimilikinya di China untuk berpindah ke Singapura dan tinggal bersama Li, tambah beliau.

Atas kesalahan memberi rasuah, Su boleh dipenjara sehingga lima tahun dan denda S$10,000. 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan