Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Harry Kane catat rekod jaringan terbanyak Liga Perdana dan kalahkan Messi dengan gol ke-55

Pemain Tottenham Hotspur, Harry Kane, mencatat satu rekod baru hari ini (26 Dis) bagi gol paling banyak dijaringkan dalam setahun dalam Liga Perdana England.

Anggaran Waktu Membaca:
Harry Kane catat rekod jaringan terbanyak Liga Perdana dan kalahkan Messi dengan gol ke-55

Harry Kane (dua dari kiri) meraikan gol yang dijaringkannya. (Gambar: Adrian DENNIS / AFP)

Diterbitkan : 26 Dec 2017 10:12PM Dikemas Kini : 27 Dec 2017 01:05AM

LONDON: Pemain Tottenham Hotspur, Harry Kane, mencatat satu rekod baru hari ini (26 Dis) bagi gol paling banyak dijaringkan dalam setahun dalam Liga Perdana England.

Sejarah tersebut dicatat semasa pasukannya menang 5-2 semasa menentang Southampton hari ini di mana Kane mencatat 'hat-trick'. Malah Kane kini juga akan mengakhiri tahun 2017 selaku penjaring gol terbanyak di Eropah, mengalahkan Lionel Messi.

Dalam perlawanan di Stadium Wembley, tandukan Kane ke gawang Southampton pada minit ke-22 sekaligus menjadi golnya yang ke-37 tahun ini dalam Liga Perdana. Ia juga melepasi rekod yang dipegang Alan Shearer selama ini, semasa pemain legenda itu mewakili Blackburn Rovers pada 1995.

Dalam pertarungan hari ini, Kane, yang berusia 24 tahun, menyumbatkan golnya yang kedua pada minit ke 39 dan gol ketiga pada minit ke-67.

Gol kedua itu adalah golnya yang ke 55 untuk kelab dan negara bagi tahun ini. Ini lebih banyak berbanding Lionel Messi bagi Barcelona yang menjaringkan 54 gol dalam tahun 2017 ini.

Messi sudah tidak dapat lagi menyaingi Kane kerana Barcelona tidak akan bermain sebarang pertarungan sehinggalah tahun 2018.

Secara lebih terperinci, Kane mencatat gol ke-37 itu dalam Liga Perdana setelah muncul dalam 36 perlawanan, sedangkan Shearer mencatat rekod 36 gol setelah bermain dalam 42 perlawanan. Bermakna, prestasi Kane lebih baik.

Setelah rekodnya dipecahkan, Shearer segera mengucapkan tahniah kepada Kane menerusi Twitter: "Anda melalui tahun 2017 yang cemerlang @HKane. Anda layak memegang rekod paling banyak gol @premierleague dalam setahun kalender. Tahniah dan kekalkan prestasi baik itu." 

Sumber : AFP/DIWAI/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan