Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Hafizh Syahrin bakal jadi pelumba MotoGP pertama M’sia

Pelumba Moto2 Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah bakal mencipta sejarah sebagai pelumba pertama negara itu untuk menyertai Kejohanan MotoGP Dunia yang berprestij, musim ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Hafizh Syahrin bakal jadi pelumba MotoGP pertama M’sia

Gambar: MotoGP/Facebook

Diterbitkan : 06 Feb 2018 10:26AM Dikemas Kini : 06 Feb 2018 10:32AM

KUALA LUMPUR: Pelumba Moto2 Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah bakal mencipta sejarah sebagai pelumba pertama negara itu untuk menyertai Kejohanan MotoGP Dunia yang berprestij, musim ini.

Pasukan Monster Yamaha Tech 3 mengambil keputusan untuk memberi peluang kepada pelumba kelahiran Selangor itu untuk membuktikan kepada mereka keupayaannya dalam ujian selama tiga hari di Litar Antarabangsa Chang di Buriram, Thailand, mulai hari ini (6 Feb), menurut laman www.motorsports.com.

Pasukan yang berpangkalan di Perancis itu bergelut untuk mencari pengganti kepada pelumbanya Jonas Folger dari Jerman yang terpaksa mengundur diri daripada pasukan itu di saat akhir kerana masalah kesihatan.

Mereka sudah menguji pelumba dari Colombia, Yonny Hernandez semasa ujian pramusim MotoGP baru-baru ini di Litar Antarabangsa Sepang tetapi mereka lebih kagum dengan keupayaan Hafizh Syahrin untuk berganding dengan seorang lagi pelumba mereka Johann Zarco, sepenuh masa.

Pengurus pasukan Tech 3, Herve Poncharal ingin mendapatkan khidmat Hafizh Syahrin dan berharap pelumba negara itu dapat meyakinkan mereka dalam ujian selama tiga hari itu.

“Sebagaimana diketahui ramai, sejak Jonas Folger menyatakan beliau tidak dapat berlumba pada 2018, kami sedang mencari pelumba yang sesuai untuk menggantikannya.

“Berikutan ujian di Sepang, kami mengadakan banyak mesyuarat dan diputuskan bahawa Hafizh Syahrin merupakan satu pilihan yang amat baik untuk pasukan Monster Yamaha Tech 3,” kata Encik Poncharal.

Buat masa ini, hanya tiga hari tetapi saya lebih daripada yakin bahawa Hafizh akan menunjukkan kepada kami apa yang boleh dilakukannya.

Mari kita lakukan ujian itu, saya sudahpun teruja dan optimis dan tidak lama lagi selepas Buriram, kami akan membuat keputusan akhir,” kata Encik Poncharal.

Hafizh Syahrin, 23 tahun, yang mempunyai pengalaman empat tahun di Moto2 dan menaiki podium tiga kali, berharap akan menyempurnakan ujian selama tiga hari itu dengan baik.

“Saya akan melakukan yang terbaik semasa ujian tiga hari itu di Thailand. Bagi saya, ia adalah impian jadi kenyataan untuk menunggang sebuah jentera MotoGP.

Saya akui, saya amat teruja mendapat peluang ini. Saya berharap saya boleh menjadi pelumba yang pantas uhtuk menunjukkan kepada setiap orang tentang kebolehan saya,” kata Hafizh Syahrin. 

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan