Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

FAS sukar cari pasukan lawan bagi layakkan diri ke Sukan Asia

Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) sedang mengejar masa untuk mewajarkan penyertaan pasukan bawah 23 tahun dalam Sukan Asia.

Anggaran Waktu Membaca:
FAS sukar cari pasukan lawan bagi layakkan diri ke Sukan Asia

Pasukan bawah 23 tahun semasa sesi latihan pada bulan Mac sebelum perlawanan persahabatan dengan Indonesia. (Gambar: FAS)

Diterbitkan : 01 Jun 2018 09:29AM Dikemas Kini : 01 Jun 2018 09:32AM

SINGAPURA: Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) sedang mengejar masa untuk mewajarkan penyertaan pasukan bawah 23 tahun dalam Sukan Asia.

Pasukan tersebut gagal melayakkan diri selepas ia tidak mendapat kelulusan jawatankuasa pemilihan Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) untuk bertanding dalam Sukan Asia akan datang.

SNOC mengesahkan semalam (31 Mei) bahawa pasukan itu tidak dipilih kerana ia tidak "memenuhi kriteria pemilihan".

"Persatuan Sukan Kebangsaan boleh menyerahkan keputusan baru untuk dipertimbangkan oleh jawatankuasa berkenaan sebelum 15 Jun 2018," kata Setiausaha Agung SNOC Chris Chan.

Bagi melayakkan diri dalam kontinjen Singapura, pasukan itu perlu berada dalam enam kedudukan teratas di Sukan Asia yang lalu, ataupun mengalahkan pesaing yang menduduki sekurang-kurangnya enam kedudukan teratas di Asia.

Ini bukan kali pertama FAS berdepan dengan masalah ini. Pasukan bola sepak tidak disertakan dalam Sukan Asia edisi sebelumnya pada 2014. Namun, ia berjaya melayakkan diri untuk mewakili Singapura selepas pasukan bawah 23 tahun berjaya menumpaskan Bahrain 3-2.

Kali ini, bagaimanapun, FAS mengejar masa untuk mengemukakan rayuan kerana masih mencari pesaing untuk mengadakan perlawanan persahabatan.

"Kami sudah menghubungi persatuan lain untuk mengadakan perlawanan persahabatan sejak enam atau tujuh bulan lalu," kata Ketua Pengurusan Pasukan Negara FAS Eric Ong kepada Mediacorp semalam (31 Mei).

"Kebanyakan mereka menyatakan bahawa mereka tidak boleh bermain di luar perlawanan antarabangsa FIFA. Itu cabaran yang sedang kami hadapi dan kami tidak mempunyai banyak pilihan."

Persatuan-persatuan tidak boleh membentuk pasukan bagi perlawanan di luar tempoh perlawanan antarabangsa FIFA, jelas Encik Ong. Ini bermakna, kebanyakan negara akan gagal membentuk pasukan masing-masing. Beliau menambah, FAS sudah menghubungi sekurang-kurangnya tujuh persatuan lain yang memenuhi kriteria yang ditetapkan SNOC.

Dalam tempoh perlawanan antarabangsa pertama FIFA tahun ini, pasukan bawah 23 tahun Singapura bersaing dengan Indonesia. Malangnya, Singapura tumpas di tangan Indonesia 3-0. Perlawanan selanjutnya hanya akan diadakan pada bulan September disebabkan Piala Dunia. 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan