Images
  • fandi ahmad
    Fandi Ahmad. (Gambar: Goh Chiew Tong)

Fandi mohon maaf kerana keluarkan komen negatif terhadap wartawan Sikh

SINGAPURA: Jurulatih pasukan negara Fandi Ahmad sudah memohon maaf atas komen-komen yang dikeluarkannya terhadap seorang wartawan Sikh semasa sidang media praperlawanan minggu lalu, menurut Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) hari ini (13 Sep).

"FAS menyesali tindakan Fandi Ahmad yang mengeluarkan komen-komen semasa sidang media praperlawanan pada 6 September bagi perlawanan antara Singapura dengan Mauritius yang mengecewakan anggota masyarakat Sikh," menurut FAS dalam kenyataan yang dimuat naik ke laman rasminya.

Fandi dan FAS sudah menghubungi wartawan New Paper, Dilenjit Singh dan Lembaga Penasihat Sikh untuk "menerangkan, memohon maaf dan memberi penjelasan" kepada isu itu.

"Encik Singh dengan terbuka menerima penjelasan dan permohonan maaf kami. Perbincangan kami dengan Lembaga Penasihat Sikh turut mendedahkan bahawa komen-komennya boleh menyinggung masyarakat Sikh meskipun ia tidak dikeluarkan dengan niat jahat."

Satu petisyen Change.org diusulkan pada Khamis yang meminta jurulatih negara supaya memohon maaf. Petisyen itu sudah ditandatangani sekitar 290 orang. Fandi mengeluarkan komen-komen tersebut selepas Encik Singh bertanya tentang kemahiran dan teknik para pemain dalam sidang media di Hotel Oasia.

"Anda berkata bahawa dari segi kemahiran dan teknik, beberapa lawan kami di rantau ini sudah mengatasi pasukan Singapura. Bagaimana itu menjejas dorongan anda dalam bidang ini," tanya Encik Singh, seperti yang ditukil petisyen tersebut.

Fandi dilaporkan sebagai berkata: "Tidak semuanya teruk... Saya tidak boleh mengkritik sesiapa kerana sistem kami berlainan dengan yang lain. Saya juga tidak boleh mengatakannya kerana ia seperti menentang Pemerintah.

"Kalau saya katakan secara terbuka, anda mungkin tidak lagi melihat serban anda. Seriously bro. Saya tidak boleh katakannya. Tetapi saya boleh beritahu anda di luar sidang nanti."

Petisyen yang dimulakan Harvinder Singh, juga menyatakan bahawa kenyataan Fandi disusuli dengan tawa di sidang media.

"Apa yang tidak elok adalah ada yang tertawa selepas komen tidak sesuai itu dikeluarkan," katanya.

"Apa yang lebih merisaukan adalah media tempatan tidak membuat sebarang liputan tentangnya meskipun ia diadakan dalam satu sidang media."  

- CNA/AQ/aq

Top