Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Fandi bimbing generasi baru pemain bola sepak akan datang

Beliau mempunyai tugas berat membimbing generasi pemain bola sepak akan datang yang akan bermain untuk pasukan negara dalam dekad seterusnya.

Anggaran Waktu Membaca:
Fandi bimbing generasi baru pemain bola sepak akan datang

Para pemain Singapura di bawah 20 tahun menjelang perlawana persahabatan di Mauritius pada 11 Mac. (Gambar: Noor Farhan)

SINGAPURA: Beliau mempunyai tugas berat membimbing generasi pemain bola sepak akan datang yang akan bermain untuk pasukan negara dalam dekad seterusnya.

Namun bagi legenda bola sepak Fandi Ahmad, ia cabaran yang disahutnya dengan rela hati.

Hanya empat bulan selepas dilantik Ketua Jurulatih untuk Belia bagi pasukan Singapura, bekas kapten pasukan negara ini sudah menghimpunkan pemain-pemain muda - sesetengahnya tidak menyertai mana-mana pasukan belia Liga S - untuk membentuk skuad negara bawah 20 tahun.

Fandi dan pasukan jurulatihnya sudah mengenal pasti bakat-bakat yang belum diasah. "Kami sudah menemui beberapa pemain amat baik yang sekarang ini tidak bermain untuk mana-mana kelab," kata Fandi, yang penolong jurulatihnya adalah Nazri Nasir dan S Subramani.

"Kami juga mahu meneruskan pembangunan bakat para pemain yang sebelum ini menyertai NFA bawah 14 tahun dan bawah 18 tahun. Terdapat kes-kes di mana pemain seperti itu tidak dipilih untuk Singa Muda ataupun kelab Liga S.

"Kami tidak mahu pembangunan mereka terbantut di situ sahaja. Ada yang kemungkinan menjadi matang pada tahap lebih lanjut dalam kerjaya mereka," katanya.

Tugas serta merta Fandi ialah untuk mempersiapkan skuadnya yang hampir berusia 2 bulan itu untuk berentap dengan pasukan bawah 21 tahun Mauritius pada 11 Mac depan di Stadium New George V.

Menurut Fandi, 54 tahun, perlawanan persahabatan itu akan menjadi kayu ukur yang baik untuk melihat prestasi mereka sejauh ini.

"Saya amat teruja bagi para pemain ini yang impian mereka ialah beraksi untuk Singapura. Impian mereka boleh menjadi realiti tetapi pentingnya mereka perlu bekerja keras," kata bekas penyerang handalan Singa itu.

"Setiap tiga hingga enam bulan, kami akan cuba dapatkan pemain-pemain baru untuk sertai pemain-pemain yang kami ada sekarang."

Setelah beraksi di tujuh perlawanan persahabatan dengan pasukan-pasukan tempatan sejauh ini, skuad bawah 20 tahun ini pernah kalah beberapa kali.

"Sesetengah (perlawanan persahabatan kami) bagus, sesetengah tidak begitu bagus. Kami ditumpaskan Garena Young Lions dan kalah di tangan Politeknik Republik," kata Fandi. "(Tapi) baru-baru ini kami capai prestasi yang baik. Kami berentap dengan pasukan-pasukan Divisyen Dua, NFL, serta pasukan belia dari Warriors FC.

"Baru-baru ini kami menang 1-0 dalam salah satu perlawanan kami, yang agak bagus. Sesetengah perlawanan amat sengit, malah anda boleh melihat pasukan mencatat prestasi lebih baik hanya setelah satu setengah bulan berlatih bersama, dan kami amat gembira tentangnya," ujarnya.

Pengarah teknikal Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), Michel Sablon berkata perlawanan dengan Mauritius akan menjadi ujian yang baik. "Anda boleh menilai (para pemain) lebih baik apabila mereka bermain di bawah tekanan dalam perlawanan persahabatan. Anda juga boleh mendapati ada pemain yang tidak menunjukkan prestasi yang baik dalam perlawanan seperti ini."

ASAH BAKAT-BAKAT TERBAIK

Selain mengenal pasti bakat, antara cabaran utama yang dihadapi Fandi ialah menyepadukan pemain-pemainnya yang dari latar belakang berbeza.

"Kami kebanyakannya terdiri daripada para pemain bukan dari kelab. Sesetengah bekas pemain Akademi Bola Sepak Nasional, yang lain dari kelab-kelab Liga S seperti Hougang United, Tampines Rovers dan Home United."

Antara yang mahu kekal dalam skuad itu ialah Armin Maier, 19 tahun, yang baru-baru ini pulang dari kelab semi-pro Jerman, FC 07 Albstadt.

Remaja itu bercita-cita menyarung jersi Singa, dan menantikan perlawanan persahabatan di Mauritius.

"Berlatih di bawah Fandi bagus sekali kerana anda akan belajar banyak perkara daripadanya. Tahap permainan di sini juga bagus dan saya berbesar hati dan gembira mendapat peluang ini," kata Maeir, yang pemain kegemarannya ialah Thiago Alcantara dari Bayern Munich. 

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan