Images
  • croatia
    Mario Mandzukic meraikan gol kemenangan Croatia. (Gambar: Carl Recine/ Reuters)

Croatia cipta sejarah mara ke perlawanan akhir Piala Dunia; tewaskan England 2-1

MOSCOW: Croatia mengukir sejarah selepas menundukkan England 2-1 dalam perlawanan separuh akhir Piala Dunia tadi (12 Jul). Ini merupakan kali pertama pasukan itu mara ke perlawanan akhir Piala Dunia FIFA.

Mario Mandzukic membolosi gawang lawan dan membawa gol kemenangan bagi Croatia dalam masa tambahan. Dua pasukan itu pada awalnya dalam kedudukan terikat 1-1 sehingga tamat tempoh 90 minit.

Sebelum itu, England sempat mengatasi Croatia seawal minit ke-5 apabila Kieran Trippier menjaringkan gol menerusi tendangan percuma yang diperoleh selepas pemain tengah Croatia, Luka Modric menjatuhkan Dele Alli berhampiran petak penalti pasukannya.

Croatia hanya berjaya membendung serangan lawannya dalam babak kedua perlawanan. Ivan Perisic menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-68 daripada hantaran Sime Vrsaljko.

Empat minit kemudian, Perisic terus menggugat pertahanan England apabila percubaannya terkena tiang, diikuti dengan percubaan Ante Rebic yang sekadar tepat kepada penjaga gawang England, Jordan Pickford.

Gol kemenangan dijaringkan pada minit ke-109 masa tambahan, selepas Mandzukic merembat masuk bola hantaran yang ditanduk Perisic.

Croatia akan bertemu Perancis dalam perlawanan akhir pada 15 Julai di Stadium Luzhniki Moscow. 

- AFP/AQ/aq

Top