Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Beribu-ribu mohon jadi sukarelawan Piala Dunia Qatar 2022

Hampir 175,000 orang memohon untuk menjadi sukarelawan Piala Dunia 2022, termasuk 1,000 warga dari negara-negara Teluk yang memutuskan hubungan diplomatik dan perjalanan dengan Qatar, menurut para penganjur di Doha pada Jumaat (21 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Beribu-ribu mohon jadi sukarelawan Piala Dunia Qatar 2022

Qatar membelanjakan hampir $500 juta seminggu bagi projek-projek Piala Dunia. (Gambar: Karim Jaafar/AFP)

Diterbitkan : 22 Sep 2018 09:40AM Dikemas Kini : 22 Sep 2018 09:45AM

DOHA: Hampir 175,000 orang memohon untuk menjadi sukarelawan Piala Dunia 2022, termasuk 1,000 warga dari negara-negara Teluk yang memutuskan hubungan diplomatik dan perjalanan dengan Qatar, menurut para penganjur di Doha pada Jumaat (21 Sep).

Perangkaan daripada Jawatankuasa Tertinggi bagi Persediaan dan Warisan menunjukkan 174,639 orang sejauh ini sudah memohon untuk menjadi sukarelawan Piala Dunia selepas permohonan dibuka awal bulan ini.

Hampir 600 daripada mereka yang membuat permohonan merupakan rakyat Arab Saudi manakala 380 dari Bahrain dan 46 dari Amiriah Arab Bersatu (UAE).

Seorang jurucakap jawatankuasa mengatakan bahawa permohonan diterima daripada mereka yang "kerakyatannya disahkan" dan bukan sekadar penduduk di negara-negara itu.

Perangkaan itu bagaimanapun belum disahkan secara bebas.

Arab Saudi, Bahrain dan UAE antara sekumpulan negara yang memutuskan hubungan dengan Qatar sejak Jun 2017 ekoran ketegangan politik serantau selama 15 bulan yang belum menunjukkan tanda-tanda akan berakhir.

Negara-negara yang terbabit dalam pemulauan itu mengenakan larangan perjalanan darat, laut dan udara dengan Doha selepas ia dipercayai menjalin hubungan rapat dengan musuh Arab Saudi, Iran, dan menyokong kumpulan pengganas.

Qatar yang membelanjakan hampir AS$500 juta (S$682 juta) seminggu bagi projek-projek prasarana Piala Dunia sekeras-kerasnya menolak tuduhan itu sambil menegaskan bahawa negara-negara seteru Teluk cuba menguasai dasar luar Doha.

Piala Dunia 2022 adalah yang pertama diadakan di Timur Tengah dan Qatar sudah lama menegaskan bahawa ia satu perlawanan bagi seluruh rantau, meskipun ia berdepan dengan ancaman disebabkan ketegangan berterusan.

Jumlah permohonan sukarelawan tertinggi yang diterima ialah dari India, iaitu hampir 25,000 orang.

Kaum lelaki membentuk 83 peratus pemohon.

Sehingga 16,000 sukarelawan akan menyumbang tenaga dalam pelbagai aspek acara termasuk perhubungan, khidmat perubatan dan layanan tetamu.  

Sumber : AFP/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan