Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Arsene Wenger undurkan diri sebagai pengurus Arsenal pada hujung musim ini

Arsene Wenger bakal meletak jawatan sebagai pengurus kelab bola sepak Arsenal yang sudah dikendalikannya selama 22 tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
Arsene Wenger undurkan diri sebagai pengurus Arsenal pada hujung musim ini

Pengurus Arsenal Arsene Wenger. (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 21 Apr 2018 10:03AM Dikemas Kini : 21 Apr 2018 10:05AM

LONDON: Arsene Wenger bakal meletak jawatan sebagai pengurus kelab bola sepak Arsenal yang sudah dikendalikannya selama 22 tahun.

"Selepas membuat pertimbangan teliti dan perbincangan dengan pengurusan kelab, saya fikir penghujung musim ini adalah waktu yang sesuai untuk saya berundur," kata beliau menerusi laman web Arsenal.

Menurut pengurus berusia 68 tahun itu, sepanjang tempoh mengendalikan The Gunners, beliau menjalankan tugasnya dengan penuh komitmen serta integriti.

"Saya berbangga kerana diberikan peluang berkhidmat untuk kelab ini selama bertahun-tahun.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan, pemain, pengarah kelab dan peminat yang menjadikan Arsenal begitu istimewa," kata beliau.

Sepanjang tempoh menguruskan Arsenal, Wenger meraih beberapa kejayaan penting, termasuk mengemudi kelab itu menamatkan musim 2004 tanpa kalah dalam persaingan Liga Perdana England (EPL).

Wenger turut membawa The Gunners menjejakkan kaki ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah buat pertama kali pada 2006. Bagaimanapun tuah tidak memihak kepada kelab berkenaan apabila terpaksa akur kepada kelebihan lawan, Barcelona yang menang 2-1, menurut Malaysiakini.

Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini sentuhannya dilihat kurang menjadi dan kelab itu tidak menjulang sebarang piala.

Keadaan itu mencetuskan rasa gelisah di kalangan peminat, dan sesetengahnya menggerakkan kempen supaya beliau digantikan.

Wenger berkata, beliau berharap peminat akan terus menyokong Arsenal.

"Kepada semua pencinta Arsenal, jagalah nilai-nilai yang tinggi pada kelab ini. Kasih sayang dan sokongan saya untuk Arsenal adalah abadi," kata beliau.

Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan