Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Thailand siasat 4 kes mikrosefali disyaki berkaitan Zika

Thailand sedang menyiasat empas kes mikrosefali yang disyaki ada kaitan dengan Zika pada tiga bayi dan janin berusia 36 minggu yang belum lahir.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 27 Sep 2016 06:13PM Dikemas Kini : 28 Sep 2016 02:03AM

BANGKOK: Thailand sedang menyiasat empas kes mikrosefali yang disyaki ada kaitan dengan Zika pada tiga bayi dan janin berusia 36 minggu yang belum lahir.

Ini dinyatakan menteri kesihatan awamnya hari ini (27 Sep), dan jika disahkan, adalah kes-kes pertama mikrosefali berkaitan Zika di Asia Tenggara.

25 WANITA HAMIL DIJANGKITI ZIKA DI THAI

Beberapa negara di Asia Tenggara sudah melaporkan peningkatan pada kes jangkitan virus Zika bawaan nyamuk itu, namun Thailand mencatat antara jumlah tertinggi kes Zika di rantau ini, dengan 349 kes disahkan sejak Januari, termasuk 25 wanita hamil.

Menteri Kesihatan Awam Piyasakon Sakolsatayadorn berkata pihak berkuasa harus menyiasat secara menyeluruh kes-kes itu kerana pengesahannya adalah sesuatu yang sensitif.

"Keputusan makmal akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua hari untuk dikeluarkan kerana kami harus bersikap menyeluruh dalam hal ini, kerana ia sesuatu yang penting dan kaitan (dengan Zika) belum dikesan sebelum ini. Ini hal yang sensitif bagi Thailand," katanya kepada Reuters.

Para pegawai kesihatan Amerika Syarikat sudah memutuskan bahawa jangkitan Zika pada wanita hamil boleh menyebabkan mikrosefali, yang menyebabkan bayi dilahirkan dengan kepala bersaiz lebih kecil dan boleh membawa kepada masalah-masalah pembangunan serius pada bayi.

Encik Piyasakon berkata tiga bayi dilahirkan dengan kepala bersaiz kecil dan pemeriksaan ultrabunyi kelihatan mendapati janin yang belum dilahirkan itu mempunyai kepala bersaiz kecil.

Di kalangan empat ibu tersebut, dua disahkan menghidapi Zika ketika hamil namun dua lagi tidak disahkan menghidapi Zika, kata Apichai Mongkol, ketua pengarah Jabatan Sains Perubatan kementerian itu.

Sekiranya kes di Thailand itu disahkan, ia adalah kes pertama sedemikian di Asia Tenggara, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kepada Reuters.

Kaitan antara Zika dengan mikrosefali pertama kali didedahkan tahun lalu di Brazil, yang sudah mengesahkan lebih 1,600 kes mikrosefali yang dianggapnya ada kaitan dengan jangkitan Zika pada si ibu.

THAILAND SEDANG MEMANTAU KES MIKROSEFALI

Sesetengah pakar kesihatan menuduh Thailand, yang dikunjungi ramai pelancong, tidak membesar-besarkan risiko Zika.

Namun para pegawai negara itu menolak tuduhan itu dan berkata respons yang diberikan adalah mencukupi dan denggi, satu lagi penyakit bawaan nyamuk, yang boleh membawa maut, adalah ancaman lebih besar.

Ketua pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Thailand, Amnuay Gajeena, berkata keempat-empat kes sedang dipantau namun enggan mendedahkan di mana mereka disyaki dijangkiti virus itu.

"Ia bukan di Bangkok. Kedua-dua ibu dan bayi mereka sedang diuji dan kami sudah hantarkan ujian itu ke beberapa makmal," kata Encik Amnuay.

Tiada ujian tertentu tersedia kini untuk mengenal pasti sama ada seseorang bayi akan dilahirkan dengan mikrosefali, namun imbasan ultrabunyi pada trimester ketiga kehamilan boleh mengenal pasti masalah itu, menurut WHO.

WHO menyenaraikan Singapura, Filipina, Malaysia, Thailand dan Vietnam sebagai negara-negara yang melaporkan kes-kes baru Zika.

Singapura sudah melaporkan 393 kes sejak pertama kali mengesahkannya pada Ogos. Ia juga mengesahkan 16 wanita hamil dijangkiti virus itu.

WHO menyatakan terdapat juga konsensus saintifik kukuh bahawa Zika juga boleh menyebabkan Guillain-Barre, sindrom neurologi jarang berlaku yang boleh menyebabkan kelumpuhan sementara pada orang dewasa.

Sumber : Reuters/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan