Zika

Images
  • zika bedok fogging
    Operasi pengkabutan di kawasan Bedok North untuk mengekang jangkitan Zika. (Gambar fail: ROSLAN RAHMAN/AFP)

NEA: Kelompok Zika di Bedok North ditutup

SINGAPURA: Kelompok Zika di Bedok North kini ditutup, menurut laman Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) hari ini (30 Sep).

Kawasan itu dikenal pasti berpotensi menjadi kelompok Zika pada 30 Ogos setelah tiga kes Zika dilaporkan di situ.

Secara keseluruhannya, lima kes dilaporkan di Bedok North Ave 2 (Blok 514), Bedok North Ave 3 (Blok 404, 405, 507) dan Bedok North St 3 (Blok 525). Tiada kes baru dilaporkan sepanjang dua minggu lalu.

Kelompok Zika di Bedok North adalah yang kedua ditutup, setelah NEA mengumumkan penutupan kelompok Zika di Bishan Street 12 pada Rabu lalu. Kelompok itu ditutup pada 19 September setelah tiada kes baru dilaporkan di situ selama dua minggu, dan NEA menyatakan ia akan terus memantau kawasan itu hingga 10 Oktober.

NEA menyatakan tempoh pengawasan berterusan mengambil kira tempoh pengeraman (incubation) virus Zika dan jangka hayat nyamuk Aedes.

Tujuh kelompok - di Aljunied Crescent, Joo Seng Road, Elite Terrace, Ubi Ave 1, Balam Road, Sengkang Central dan Hougang Ave 7 - kekal sebagai kelompok Zika. Aljunied Crescent merupakan satu-satunya kelompok yang melaporkan kes baru sepanjang dua minggu lalu, menurut laman NEA.

TIADA KES BARU ZIKA PADA 30 SEP

Maklumat di laman NEA juga menunjukkan tiada kes baru Zika dilaporkan hari ini. Ia hari kedua minggu ini - selepas 26 September - tiada kes baru jangkitan tempatan Zika dilaporkan.

Sehingga 30 September, sejumlah 398 kes jangkitan tempatan Zika sudah disahkan di Singapura.

- CNA/nd

Top