Zika

Images
  • fogging (1)
    Operasi pengkabutan di sebuah estet perumahan di Singapura di mana kes-kes Zika disahkan. (Gambar: REUTERS/Edgar Su)

MTI: Terlalu awal tentukan kesan Zika terhadap pelancongan, ekonomi

SINGAPURA: Masih terlalu awal untuk menentukan sama ada penularan virus Zika di Singapura akan memberi sebarang kesan terhadap industri pelancongan tempatan dan ekonomi lebih luas.

Demikian menurut Menteri Negara Kanan bagi Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), Sim Ann di Parlimen hari ini (13 Sep).

Pemerintah sedang mengambil "langkah-langkah kukuh yang terselaras" untuk mengekang penularan virus bawaan nyamuk itu dan sebarang kesan yang mungkin berlaku terhadap ekonomi, katanya sebagai menjawab soalan-soalan oleh para Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Profesor Madya Randolph Tan Gee Kwang dan Thomas Chua Kee Seng.

Sehingga semalam (12 Sep), 333 kes jangkitan tempatan Zika disahkan di Singapura. Kes pertama - wanita Malaysia berusia 47 tahun yang tinggal di Aljunied Crescent - disahkan lebih dua minggu lalu.

Para ahli ekonomi yang ditinjau Mediacorp sebelum ini percaya bahawa penularan virus bawaan nyamuk itu tidak akan menjadi ancaman besar terhadap ekonomi yang kini sedang menghadapi cabaran. Encik Ravi Menon, pengarah urusan Penguasa Kewangan Singapura (MAS), bersetuju namun memberi amaran bahawa "masih terlalu awal" untuk menentukan kesannya.

Bagi sektor pelancongan, Cik Sim berkata kesannya terhadap jumlah pengunjung "masih terkawal sekarang ini". Tambahan lagi, perbincangan dengan para pemain industri menunjukkan bahawa tiada "tanda-tanda jelas atau trend kemerosotan pada jumlah pengunjung" meskipun negara-negara termasuk Hong Kong dan Australia mengeluarkan nasihat perjalanan bagi para pengunjung ke Singapura menyusuli penularan Zika.

Beliau menambah bahawa Singapura "kekal destinasi pelancongan yang selamat" dan menambah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) belum mengeluarkan sebarang sekatan perjalanan terhadap kawasan-kawasan terjejas Zika.

Bagaimanapun, Lembaga Pelancongan Singapura (STB) bekerjasama dengan pemain-pemain industri untuk "secara proaktif menyentuh tentang keprihatinan-keprihatinan dari para bakal pengunjung."

Contohnya, operasi barisan depan STB termasuk pusat-pusat panggilannya dan Pusat Pengunjung Singapura sedang memantau maklum balas harian daripada para pelancong dan secara aktif memberi respons kepada pertanyaan-pertanyaan berhubung Zika.

Bagi perniagaan, Cik Sim berkata meskipun terlalu awal untuk mempertimbangkan langkah-langkah tertentu berhubung Zika, syarikat-syarikat boleh memanfaatkan skim-skim sedia ada sekiranya memerlukan bantuan.

Contohnya, syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME) yang berdepan dengan isu-isu kewangan jangka pendek boleh memohon Pinjaman Kapital Kerja SME daripada SPRING Singapore. Agensi itu juga bekerjasama dengan Persekutuan Perniagaan Singapura untuk membantu perniagaan-perniagaan membangunkan pelan meneruskan perniagaan untuk memastikan perusahaan terus berdaya tahan sekiranya operasi-operasi terjejas.

"MTI dan agensi-agensi akan terus memantau rapat perkembangan-perkembangan menerusi Kementerian Kesihatan dan Agensi Sekitaran Kebangsaan, dan bersedia untuk membangunkan dan mengaktifkan lebih banyak sokongan bagi perniagaan-perniagaan jika perlu," kata Cik Sim.

- CNA/nd

Top