Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masagos: Penghapusan tempat pembiakan nyamuk adalah strategi utama basmi Zika dan denggi

Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menjalankan sekitar 748,000 pemeriksaan bagi mengesan tempat pembiakan nyamuk antara Januari dengan Julai tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 13 Sep 2016 07:01PM Dikemas Kini : 13 Sep 2016 11:17PM

SINGAPURA: Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menjalankan sekitar 748,000 pemeriksaan bagi mengesan tempat pembiakan nyamuk antara Januari dengan Julai tahun ini dan lebih 10,000 tempat pembiakan nyamuk dihapuskan semasa pemeriksaan itu, kata Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli di Parlimen hari ini (13 September).

Daripada 10,000 tempat pembiakan nyamuk yang dihapuskan, hampir separuh daripadanya dikesan di rumah-rumah dan sekitar lima peratus di tapak binaan, kata Encik Masagos semasa menyampaikan kenyataan menteri dan beliau turut menggariskan strategi bagi menangani penularan Zika di Singapura.

Selain mengerahkan sekitar 850 pegawai untuk menjalankan pemeriksaan di merata negara, Encik Masagos turut mendedahkan bahawa NEA juga menjalankan penyemburan penghalau nyamuk dan pengabutan luar rumah bagi kelompok berkenaan untuk membunuh nyamuk dewasa, dan juga membubuhi minyak di tempat pembiakan nyamuk untuk membunuh jejentik.

"Zika dan denggi dibawa oleh nyamuk yang sama - Aedes aegypti. Strategi utama kami bagi mengawal denggi, dan kini Zika, ialah penghapusan tempat pembiakan - pengesanan dan penghapusan tempat pembiakan nyamuk dan jejentik," kata Encik Masagos.

"Strategi pengurusan vektor bersepadu ini selaras dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan ia sangat penting sekarang sedang kita memasuki musim kemuncak denggi," tambah beliau.

Namun Encik Masagos juga menarik perhatian bahawa ia tidak wajar untuk menjalankan pengabutan sewenang-wenangnya di luar kelompok sebagai langkah pencegahan.

Ini kerana pengabutan hanya berkesan jika kimia itu terkena nyamuk secara langsung, kata Encik Masagos.

"Penggunaan berlebihan atau sewenang-wenangnya boleh meningkatkan ketahanan pada nyamuk tempatan. Pengabutan hanya digunakan apabila terdapat kelompok Zika atau Denggi atau apabila jumlah nyamuk dewasa meningkat dengan mendadak supaya kami dapat mengurangkannya dengan segera," ujar beliau.

Tindakan penguatkuasaan dan denda dipertingkatkan sejak beberapa tahun lalu di tapak binaan, tambah Encik Masagos.

Antara Januari dengan Julai tahun ini, NEA mengeluarkan 50 Perintah Berhenti Kerja kepada tapak-tapak binaan yang berulang kali didapati gagal mengawal pembiakan nyamuk.

Sejumlah 410 notis dikeluarkan terhadap syarikat-syarikat binaan untuk melaporkan diri ke mahkamah dan 40 kontraktor yang tidak bertanggungjawab didakwa bagi kesalahan berulang.

Walaupun NEA sudah menumpukan perhatian kepada tapak-tapak binaan, Encik Masagos menekankan jumlah tempat pembiakan nyamuk yang banyak dikesan di rumah-rumah.

Sekitar 2,200 rumah didenda antara Januari dengan Julai tahun ini kerana dikesan sebagai tempat pembiakan nyamuk.

Bagi mengurangkan risiko jangkitan, Pemerintah juga memperuntukkan sumber-sumber tambahan bagi pemantauan.

NEA mengerahkan sekitar 37,000 perangkap Gravitrap di merata Singapura dan jumlah itu bakal mencecah 48,000 menjelang hujung tahun ini, kata Encik Masagos.

Gravitrap membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti kawasan yang mempunyai jumlah nyamuk Aedes aegypti yang besar dan melakukan langkah-langkah mengawal nyamuk yang disasarkan secara proaktif walaupun tiada kes denggi atau Zika yang dilaporkan.

"Kerja pemantauan pencegahan yang berdasarkan risiko seperti ini akan diteruskan menjelang kemuncak musim jangkitan nyamuk," tambah Encik Masagos.

LANGKAH-LANGKAH BAGI KAWAL VIRUS ZIKA

Beberapa Anggota Parlimen (AP) termasuk AP GRC Holland-Bukit Timah Encik Christopher De Souza, AP Tanpa Kawasan Undi Encik Dennis Tan dan Profesor Madya Daniel Goh bertanya mengenai langkah-langkah yang diambil Pemerintah bagi mengawal virus Zika.

Dalam respons, Encik Masagos berkata strategi kawalan nyamuk yang ada sekarang dapat membantu mengawal denggi buat beberapa tahun dan strategi yang sama dapat mempersiapkan Singapura dengan baik bagi menangani cabaran Zika.

Beliau menambah menyusuli pengumuman Kementerian Kesihatan mengenai kes jangkitan tempatan pertama Zika pada 27 Ogos, sekitar 300 pegawai, kontraktor dan relawan NEA sudah menjalankan usaha kawalan vektor dan mendampingi penduduk di kelompok terjejas.

Setakat sehingga 11 September, lebih 31,000 premis di pelbagai kelompok Zika diperiksa bagi mengesan tempat pembiakan nyamuk.

"Di kelompok Zika itu, pengabutan dan penyemburan penghalau nyamuk dijalankan bagi membunuh nyamuk dewasa dan longkang-longkang dibersihkan bagi menghapuskan air yang bertakung sebagai langkah pencegahan tambahan," kata Encik Masagos.

NEA juga memeriksa tapak-tapak binaan dan asrama pekerja di kelompok Zika.

Satu Perintah Berhenti Bekerja dikeluarkan terhadap tapak binaan di Sims Drive pada 27 Ogos bagi mengurangkan jangkitan tempatan Zika kerana tapak itu gagal menjalankan kerja-kerja pembersihan yang memuaskan dan bagi menghapuskan lokasi yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk, kata Encik Masagos.

Encik Masagos menambah NEA sedang bekerjasama dengan Persatuan Kontraktor Singapura (SCAL) bagi mengingatkan anggotanya supaya lebih berjaga-jaga mengenai kawalan nyamuk dan memerhatikan para pekerja yang menunjukkan simptom-simptom Zika.

Syarat-syarat yang lebih ketat dikuatkuasakan di empat asrama. Mereka perlu memeriksa tempat pembiakan nyamuk dan menjalankan pengabutan jika jumlah nyamuk meningkat dan juga penyemburan penghalau nyamuk di dalam premis mereka setiap tiga bulan.

SINGAPURA MASIH TERDEDAH KEPADA PENYAKIT BAWAAN NYAMUK

Walaupun semua usaha itu dijalankan, Encik Masagos memberitahu Dewan bahawa Singapura masih terdedah kepada denggi dan penyakit bawaan nyamuk yang lain atas beberapa sebab.

Beliau mengingatkan bahawa Singapura berada di dalam rantau yang dilanda denggi dan ada empat serotip virus denggi yang berbeza tetapi menular secara serentak dan pertukaran kepada virus denggi utama mungkin disusuli dengan kenaikan mendadak pada kes denggi.

Iklim panas dan kelembapan di rantau ini turut menyumbang kepada pembiakan dan kitar kematangan nyamuk yang lebih pantas, kata Encik Masagos, sambil menambah ini membawa kepada jumlah nyamuk yang lebih tinggi dan penularan penyakit.

Encik Masagos juga merujuk kepada sejumlah besar penduduk Singapura yang mudah dijangkiti denggi disebabkan kekurangan keimunan.

"Kami mesti memahami semua faktor luar membuat penghapusan nyamuk Aedes aegypti tidak mungkin dilakukan. Malah, jika kami kurang melakukan apa yang sudah diusahakan, denggi dan Zika akan menular merata negara ini dengan lebih cepat," tambah Encik Masagos.

Encik Masagos menekankan semua orang berperanan untuk membasmi Zika dan denggi.

"Semua orang - agensi Pemerintah, pemilik premis, syarikat perniagaan, para penduduk, dan masyarakat - berperanan untuk sama-sama menghapuskan Denggi dan Zika," kata beliau. 

Sumber : CNA/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan