Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Gan Kim Yong: Berbilang strategi diperlukan bagi basmi Zika

Encik Gan juga mengatakan bahawa kerana Zika adalah penyakit bawaan nyamuk dengan kebanyakan pesakit yang dijangkiti tidak menunjukkan simptom.

Anggaran Waktu Membaca:
Gan Kim Yong: Berbilang strategi diperlukan bagi basmi Zika

AFP/Roslan Rahman

Diterbitkan : 13 Sep 2016 05:25PM Dikemas Kini : 13 Sep 2016 07:31PM

SINGAPURA: Terdapat 333 orang yang diuji positif Zika setakat sehingga tengah hari semalam (12 September), kata Menteri Kesihatan Gan Kim Yong semasa memberikan perkembangan terkini di Parlimen hari ini (13 September).

Ini termasuk lapan wanita hamil, dan melibatkan tujuh kelompok. Kebanyakan pesakit sudah sembuh dan tidak lagi menunjukkan simptom, tambah beliau.

Encik Gan juga mengatakan bahawa kerana Zika adalah penyakit bawaan nyamuk dengan kebanyakan pesakit yang dijangkiti tidak menunjukkan simptom, Pemerintah tidak akan mengasingkan atau memasukkan pesakit Zika ke hospital. Usaha sebaliknya akan lebih ditumpukan kepada kawalan vektor.

Walaupun Zika sudah dikesan sejak 1947, Encik Gan menarik perhatian bahawa hanya pada Februari 2016 "Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengisytiharkan kelompok kes mikrosefali baru-baru ini di Brazil, yang disyaki berkaitan dengan Zika, yang menyenaraikannya sebagai Kecemasan Kesihatan Awam yang mencetuskan Keprihatinan Anatarabangsa".

Risiko mikrosefali, iaitu satu keadaan cacat lahir yang menjejas pembangunan otak, dan ini menyebabkan ramai wanita hamil bimbang tentang penularan Zika, kata beliau.

Dalam respons kepada soalan-soalan yang diajukan para Anggota Parlimen, Encik Gan menggariskan pelan bertindak serampang tiga mata Zika yang melibatkan persediaan, respons dan pengurusan jangka panjang.

4,000 SAMPEL DARAH DIUJI SEBELUM KES PERTAMA DISAHKAN

Bagi bersiap sedia untuk Zika, Kementerian Kesihatan (MOH) mengambil beberapa langkah, termasuk menjadikan Zika satu penyakit yang boleh disenaraikan di bawah Akta Penyakit Berjangkit mulai Januari lalu, bekerjasama dengan rakan-rakan agensi bagi mempersiapkan pelan operasi jika ada penularan, dan mempertingkatkan pendidikan awam dan mengeluarkan makluman kesihatan.

MOH juga bekerjasama dengan Institut Kesihatan Sekitaran di bawah Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) bagi melaksanakan program pemantauan bagi Zika dua tahun lalu.

Dalam kerjasama dengan sekitar 200 klinik, sampel darah diambil daripada pesakit terpilih dengan simptom-simpton berkaitan dengan Zika, kata Encik Gan.

Lebih 500 sampel sebulan diuji bagi Zika dari Januari lalu, dan hampir 4,000 sampel diuji antara Februari dengan Ogos, sebelum kes pertama disahkan, tambah beliau.

PENGESANAN YANG AKTIF SEBAB UTAMA KES ZIKA MELONJAK DARI 1 HINGGA KE 41 DALAM MASA SEHARI

Sebagai respons kepada kes-kes awal, MOH menjalankan pemeriksaan terhadap anggota keluarga pesakit, dan NEA mengerahkan para pegawai untuk menjalankan operasi kawalan vektor yang intensif di kawasan-kawasan terjejas.

Encik Gan juga menyentuh bagaimana MOH dan NEA bertindak untuk mengesan kes secara aktif dan mengenal pasti kelompok untuk mengawal penularan Zika.

"Pengesanan secara aktif adalah sebab utama mengapa jumlah kes Zika yang disahkan naik dari satu yang dilaporkan pada 27 Ogos hingga ke 41 pada 28 Ogos. Peningkatan mendadak itu mengejutkan ramai orang, yang tertanya-tanya jika kes-kes ini dikesan lebih awal tetapi tidak didedahkan oleh MOH.

"Hakikatnya, jumlah pesakit baru yang diuji positif Zika naik hanya lima. 36 yang lain adalah daripada pengesanan semula yang aktif kami melibatkan para pekerja di tapak binaan (di Sims Drive)," kata beliau kepada Parlimen.

"Melalui usaha ini, kami juga memeriksa permulaan simptom-simptom bagi setiap kes bagi menentukan epidemiologi penularan itu. Analisis menunjukkan kes paling awal mempunyai simptom-simptom pada 31 Julai.

"Beberapa orang salah faham tentang perkara ini dan menuduh MOH mendapat tahu kes positif Zika pertama sejak 31 Julai. Itu bukan perkara yang sebenar. Seperti yang saya terangkan, kami hanya mengesahkan kes jangkitan tempatan pertama Zika pada 27 Ogos, dan kami mengeluarkan maklumat pada hari yang sama."

TIADA LAGI DASAR MENGASINGKAN DAN MEMASUKKAN PESAKIT ZIKA KE HOSPITAL

Bagi mengurus Zika dalam jangka panjang, Encik Gan berkata usaha akan ditumpukan kepada kawalan vektor kerana ia adalah penyakit bawaan nyamuk.

Pemerintah tidak lagi mengamalkan dasar mengasingkan pesakit kerana ia ada kesan yang terhad.

"80 peratus daripada mereka yang mengalami Zika tidak menunjukkan simptom dan ada nyamuk-nyamuk yang sudah membawa virus itu," beliau menerangkan, sambil menambah kemasukan ke hospital bagi pesakit Zika juga tidak perlu kerana kebanyakan kes itu adalah kes ringan.

Encik Gan menekankan bahawa ujian Zika yang bersubsidi juga dilanjutkan kepada semua rakyat Singapura menjangkaui kelompok terjejas.

Beliau juga menambah wanita hamil akan disokong sebagai sebuah kumpulan khas, disebabkan risiko terhadap janin mereka jika dijangkiti virus tersebut.

Ujian Zika bagi wanita hamil yang tidak menunjukkan simptom tidak disyorkan untuk dijalankan secara rutin, tetapi wanita hamil yang menunjukkan simptom akan diberikan ujian Zika percuma di institusi jagaan kesihatan awam dan privet jika doktor memerlukan ujian tersebut dijalankan, kata Encik Gan.

Beliau menambah wanita hamil yang diuji positif Zika akan dirujuk oleh doktor mereka kepada pakar sakit puan bagi kaunseling dan rawatan susulan.

"Ujian ultrabunyi yang kerap akan dijalankan bagi memantau pembangunan janin. Jangkitan Zika tidak selalunya menyebabkan pembangunan janin yang tidak normal," kata beliau sambil menambah, mikrosefali sudah dipantau Pendaftar Kecacatan Lahir Nasional sejak 1993, dan MOH akan bekerjasama dengan doktor bagi memantau wanita dijangkiti Zika yang baru bersalin.

GAN KIM YONG: PEMBASMIAN ZIKA "SESUATU YANG AMBIL MASA"

Akhir sekali, Encik Gan menyentuh tentang pendidikan awam dan usaha kajian. Ujian Zika buat masa ini dilakukan di Makmal Kesihatan Awam Nasional, Institut Kesihatan Sekitaran dan makmal hospital awam yang besar, dan tiada rawatan anti-virus yang khusus atau vaksin yang diluluskan bagi Zika pada masa ini.

Awal dari itu, analisis jujukan virus Zika dikesan pada dua pesakit di kalangan kes penularan sekarang mendedahkan ia mempunyai jujukan yang sama dengan jenis Zika yang menular di Asia Tenggara sejak 1960an.

"Kami tidak dapat memastikan buat masa ini jika virus yang dikesan di sini menyebabkan lebih atau kurang teruk penyakit itu berbanding virus di Amerika Selatan. Kajian pada masa depan diperlukan bagi menghuraikan perkara itu," kata beliau, sambil menambah ia "masih awal" untuk memastikan trend jangka panjang jangkitan Zika walaupun jumlah kes yang dikesan sejak beberapa hari lalu sudah "turun".

"Perjalanan kami membasmi Zika mungkin mengambil masa yang lama, kerana dengan kewujudan nyamuk Aedes di sini.

"Walaupun kami boleh mengawal penularan sekarang ini, kami perlu meneruskan usaha mengawal kes-kes yang diimport, kerana virus Zika masih menular di banyak negara, termasuk beberapa di rantau ini.

"Lantas, sementara kami menangani Zika, kehidupan mesti diteruskan. Dengan bekerjasama, kami boleh mengawal Zika dalam jangka panjang," kata beliau. 

Sumber : CNA/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan