Filipina lapor kes pertama wanita hamil dijangkiti Zika
Filipina hari ini (26 Sep) melaporkan seorang wanita hamil dijangkiti virus Zika, yang dipercayai kes pertama seumpamanya di negara itu.
MANILA: Filipina hari ini (26 Sep) melaporkan seorang wanita hamil dijangkiti virus Zika, yang dipercayai kes pertama seumpamanya di negara itu. Ini sedang pihak berkuasa memberi amaran kepada orang ramai supaya mengelak gigitan nyamuk.
Setiausaha Kesihatan Paulyn Ubial berkata 12 kes Zika dikesan di serata Filipina bulan ini, termasuk seorang wanita berusia 22 tahun dari pulau Cebu yang hamil 19 minggu anak sulungnya.
"Imbasan ultrabunyi awal tidak mengesan sebarang perkara tidak normal pada bayi. Beliau akan dipantau secara kerap sepanjang tempoh kehamilannya," menurut jabatan kesihatan.
Wanita yang dijangkiti Zika boleh melahirkan bayi yang mengalami mikrosefali, yang menyebabkan kepala dan otak mereka bersaiz lebih kecil berbanding normal.
Daripada 12 kes Zika di negara itu, lapan pesakit adalah wanita dan kanak-kanak perempuan berusia antara 9 hingga 55 tahun.
Tiada seorangpun di kalangan mereka yang dijangkiti virus itu melakukan perjalanan ke luar negara sebulan sebelum diuji positif Zika, dan kesemuanya sudah pulih daripada penyakit itu.
Pasukan-pasukan khas sudah dikerahkan ke semua kawasan yang terjejas untuk menyiasat asal jangkitan itu dan menyarankan langkah-langkah untuk menangani virus itu, yang boleh menular menerusi gigitan nyamuk atau hubungan kelamin.
Cik Ubial menyeru orang ramai supaya menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk, menggunakan ubat penghalau serangga dan menggunakan kondom semasa mengadakan hubungan kelamin.
Para saintis memberi amaran bulan ini bahawa dunia harus bersiap sedia bagi "wabak global" mikrosefali akibat Zika dan tiada penawar atau vaksin bagi penyakit itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.