Sukan SEA 2015

Images
  • SEA Games best
    (Gambar: Nadia Jansen Hassan)

Sukan SEA: Kontinjen Team Singapore pecah rekod dan cipta sejarah dalam prestasi terbaik

SINGAPURA: Kontinjen Team Singapore mungkin tidak berhasil menduduki tempat pertama dalam senarai pungutan pingat bagi Sukan SEA ke-28, namun kejayaan meraih sebanyak 83 pingat emas adalah satu pencapaian yang luar biasa dan bersejarah.

"Kontinjen Team Singapore telah mencatat prestasi yang sungguh cemerlang dalam Sukan SEA 2015. Selain pencapaian dalam bentuk pungutan pingat, 25 rekod Sukan SEA, 29 rekod kebangsaan dan 74 masa peribadi terbaik berjaya dicatat oleh para atlet negara. Mereka menjadi inspirasi kepada seluruh negara sepanjang 18 hari mereka bertanding. Ini satu cara yang sungguh baik untuk meraikan Jubli Emas Singapura," kata kedua-dua Chef de Mission, Dr Tan Eng Liang dan Encik Nicholas Fang menerusi kenyataan media yang dikeluarkan hari ini (16 Jun).

Demikian menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) menjelang perlawanan akhir bagi kejohanan polo air lelaki, yang tuan rumah Singapura dijangka akan memenangi pingat emas dan upacara penutup Sukan SEA pada petang ini.

Menurut SNOC, Singapura sejauh ini berjaya meraih 83 pingat emas, 73 perak dan 102 gangsa.

Ini bermakna, Singapura menduduki tempat kedua di kalangan negara ASEAN yang bertanding dalam Sukan SEA 2015, di belakang Thailand.

Kedudukan itu juga merupakan ranking tertinggi Singapura sejak Sukan Semenanjung Asia Tenggara (SEAP Games) pada 1975 di Thailand, di mana Singapura juga menduduki tempat kedua.

Pungutan sebanyak 258 pingat itu juga mengatasi rekod 164 pingat (50 emas, 40 perak dan 74 gangsa) yang diraih Singapura semasa menjadi tuan rumah pada 1993.

Sebahagian besar daripada pungutan pingat itu adalah dari sukan renang yang menyumbang 42 pingat, 23 emas, 12 perak dan 7 gangsa, dengan Joseph Schooling dan Quah Zheng Wen memenangi sebutir pingat bagi setiap acara yang disertai.

Schooling memenangi 9 pingat emas dan berjaya memecahkan 9 rekod Sukan SEA.

Pencapaian luar biasa mereka juga menyumbang kepada 25 rekod Sukan SEA, 29 rekod kebangsaan dan 74 masa peribadi terbaik dipecahkan.

Antara kejayaan cemerlang termasuk pingat emas pertama Singapura bagi renang berirama secara berpasukan dan kejayaan pelari pecut Shanti Pereira meraih pingat emas dalam acara larian 200 meter wanita.

Atlet papan luncur angin Audrey Yong memenangi pingat emas pertama Singapura bagi acara tersebut, sementara atlet ski air Mark Leong memecahkan rekod Sukan SEA bagi acara slalom.

Pasukan layar negara dan para pendayung mencatat prestasi terbaik dalam Sukan SEA dengan jumlah pungutan pingat yang mencecah paras rekod, manakala pasukan gimnastik, sukan menunggang kuda, wushu dan bola jaring turut mencatat prestasi yang membanggakan.

"Sokongan dari pelbagai pihak yang berkepentingan seperti Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Sport Singapore dan Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura serta masyarakat tempatan telah membantu para atlet untuk mempamerkan prestasi yang bersejarah ini. Pihak penganjur dan para relawan juga membantu memastikan Sukan SEA ke-28 ini satu temasya sukan yang tidak mudah dilupakan bagi ramai rakyat Singapura. Sukan SEA ini adalah satu perjuangan yang sungguh bermakna dan luar biasa bagi Team Singapore," ujar beliau.

Seramai 747 atlet dan 347 pegawai sukan mewakili Singapura dalam Sukan SEA ke-28, kontinjen terbesar dalam sejarah Singapura yang mewakili negara di sesebuah temasya sukan utama.

Seramai 421 atlet membuat penampilan sulung dalam Sukan SEA dan tuan rumah Singapura telah mengambil bahagian dalam 36 jenis sukan sepanjang tempoh 18 hari bertanding.

- CNA/aw

Top