Sukan SEA 2015

Images
  • swimming 4x100 m medley relay
    Pasukan Singapura meraikan kemenangan emas dalam acara berganti-ganti 4x100 meter di Sukan SEA. (Gambar: Jack Board)

S'pura akhiri kempen di kolam renang dengan rekod 23 emas

SINGAPURA: Pasukan renang Singapura mengakhiri perjuangan mereka di kolam renang dengan satu rekod baru.

Malam tadi, ia menambah empat lagi pingat emas, menjadikan jumlah emas yang dikumpulkan sebanyak 23 - sekaligus mencipta rekod baru negara bagi pungutan acara renang.

Lebih tepat lagi, jumlah pingat emas yang dirangkul ini lebih seganda berbanding 11 emas yang diraih Singapura dalam Sukan SEA 2013 di Myanmar.

Di belakang Singapura, Vietnam berjaya memungut 10 emas dalam sukan renang. Lapan daripada pingat emas itu dimenangi ratu renangnya, Nguyen Thi Ahn Vien, 18 tahun.

Perenang negara, Quah Zheng Wen, memenangi pingatnya yang ke-11 di Sukan SEA tahun ini dalam acara 50 meter kuak lentang lelaki. Beliau merangkul emas dengan catatan masa 25.27 saat, yang juga satu rekod baru kejohanan ini.


Perenang negara Quah Zheng Wen (Gambar: Jack Board)

Amanda Lim pula menyumbang pingat emas dalam acara 50 meter gaya bebas - kemenangan kali keempat baginya dalam acara itu. Dia menamatkan perlumbaan itu dalam masa 25.59 saat, yang merupakan satu rekod baru Sukan SEA.

Seorang lagi peserta tuan rumah, Quah Ting Wen menang perak dalam acara yang sama.


Quah Ting Wen dan Amanda Lim menang pingat dalam acara 50m gaya bebas. (Gambar: Jack Board)

Tao Li menduduki tempat pertama dalam acara 100 meter gaya kupu-kupu wanita, dengan catatan masa 59.79 saat - sekaligus memenangi pingat ke-22 bagi Singapura dalam sukan renang.

Tao Li menang lima emas secara keseluruhannya dalam Sukan SEA tahun ini, dan mendapat tempat pertama dalam setiap acara renang yang disertainya.

Perenang empat sekawan, Quah Zheng Wen, Joseph Schooling, Clement Lim dan Lionel Khoo turut terus menguasai gelanggang renang apabila mereka memungut lebih banyak pingat hari ini dalam acara berganti-ganti 4x100 meter.

Mereka tidak memenuhi jangkaan dengan memecahkan rekod Sukan SEA menerusi catatan masa 3:38.25 saat.


Quah Zheng Wen, Joseph Schooling, Clement Lim dan Lionel Khoo raih emas dalam acara sukan renang berganti-ganti 4x100m. (Gambar: Jack Board)

Kemenangan itu bermakna, ia menyumbang pingat emas ke-9 bagi Schooling. Dengan ini, Schooling menang sejumlah sembilan pingat emas dalam sembilan acara sukan renang yang ditandinginya.

Dengan pencapaian cemerlang itu, ia mungkin memberikan Schooling peluang untuk ditabalkan sebagai atlit terbaik sukan SEA kali ini.

Jurulatih pasukan Singapura, Sergio Lopez, sebelum ini berkata beliau gembira jika pasukan renang meraih 12 emas.  

- CNA/nd

Top