Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Ramai puas hati acara penutup Sukan SEA, prestasi atlit

Temasya Sukan SEA melabuhkan tirainya semalam dengan acara penutup yang gilang-gemilang.

Anggaran Waktu Membaca:
Ramai puas hati acara penutup Sukan SEA, prestasi atlit

Menteri Belia dan Sukan Malaysia Khairy Jamaluddin mengibarkan bendera Sukan SEA semasa acara penutup temasya itu di Stadium Negara di Singapura. (Gambar: AFP/ ROSLAN RAHMAN)

Diterbitkan : 17 Jun 2015 10:53PM Dikemas Kini : 17 Jun 2015 11:18PM

SINGAPURA: Temasya Sukan SEA melabuhkan tirainya semalam dengan acara penutup yang gilang-gemilang.

Orang ramai yang ditemui amat berpuas hati bukan sahaja dengan persembahan menarik yang disajikan, malah juga prestasi cemerlang para atlit negara.

Selama 12 hari, lebih 7,000 atlit dan pegawai dari 11 negara ASEAN menjadikan Singapura medan pertandingan mereka.

Dan semalam, mereka bersama seluruh rakyat Singapura meraikan pencapaian setiap negara dalam persada sukan serantau itu dengan acara penutup yang gah.

Bertemakan Sambutan dan Persahabatan, acara penutup itu mengimbas kembali detik-detik bersejarah dalam temasya sukan ke-28 itu.

Antara persembahan yang menarik perhatian para penonton adalah pameran setem-setem ikonik Singapura sejak 60 tahun lalu serta persembahan artis-artis tempatan.

Seorang penonton, Siti Hajar Mohd Radzelee, berkata: "Bagi saya adalah perarakan setem-setem, koleksi setem yang daripada tahun 60an sampai sekarang, sangat menarik, sesuatu yang jarang kita nampak."

Seorang lagi penonton, Hanie Anisa Rahmat, pula berkata: "Saya suka persembahan menyanyi, terutama sekali Sam Willows kerana mereka nyanyi dengan baik."

Para atlit yang ditemui turut melahirkan rasa bangga terhadap pencapaian Singapura meraih 84 pingat emas dan sebagai tuan rumah Sukan SEA kali ini.

Pemenang pingat emas (Silat), Muhd Nur Alfian Juma'en, berkata: "Untuk Singapura mendapat 84 emas adalah pencapaian yang sangat baik berbandingkan 1993. Pencapaian Singapura paling banyak 50 emas dan ini menunjukkan yang Singapura telah banyak menunjukkan kemajuan dalam segi sukan."

Pemenang pingat perak (Silat), Nur Fazlin Juma'en, pula berkata: "Perkhidmatan yang diberi Singapura kepada semua atlit amat berpuas hati kerana dari segi makanan, tempat penginapan dan juga pengangkutan, mereka melakukan semua dengan teliti."

Acara semalam turut menyaksikan penyerahan bendera Sukan SEA kepada Malaysia, tuan rumah Sukan SEA 2017.

Pada kemuncaknya, Stadium Negara disinari dengan pertunjukan bunga api dan pesta bagi meraikan atlit-atlit, sukarelawan serta semua yang terlibat menjayakan Sukan SEA ke-28. 

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan