Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lawrence Wong: Kejayaan Sukan SEA tunjukkan pelaburan dalam sukan bawa hasil

Antara pelaburannya termasuk pelbagai skim sokongan yang disediakan kepada para atlit dan peningkatan terhadap infrastruktur sukan, kata Encik Wong.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 19 Jun 2015 05:19PM Dikemas Kini : 19 Jun 2015 08:53PM

SINGAPURA: Kejayaan menganjurkan Sukan SEA ke-28 dan pencapaian cemerlang atlit-atlit tempatan dalam temasya Sukan itu menunjukkan bahawa pelaburan Singapura dalam sukan membuahkan hasil, kata Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Lawrence Wong pada hari ini (19 Jun).

Antara pelaburannya termasuk pelbagai skim sokongan yang disediakan kepada para atlit dan peningkatan terhadap infrastruktur sukan, kata Encik Wong.

Berucap dalam satu taklimat media selepas berakhirnya Sukan SEA ke-28, Encik Wong menegaskan bahawa negara ini perlu membina atas kejayaan itu dan ia termasuk mengukuhkan "sistem sukan berprestasi tinggi" yang ada sekarang.

Encik Wong berkata: "Bagaimanakah kita boleh mengukuhkan sistem sukan prestasi tinggi untuk memberi sokongan, penyelidikan, sains sukan, jurulatih dan sumber yang baik dalam bidang-bidang sukan yang kita mempunyai potensi melakukannya dengan baik?"

Salah satu caranya dengan meluaskan lagi bidang tugas Institut Sukan Singapura yang menyokong para atlit menerusi sains sukan dan inovasi.

Institut itu boleh menggunakan rangkaian ahli psikologi sukan yang besar dan menyertakan lebih banyak cabang sukan di bawah naungannya. 

Dalam pada itu, Encik Wong berkata sungguhpun berjaya sebagai tuan rumah Sukan SEA ke-28, Singapura tidak mungkin menganjurkan kejohanan lebih besar seperti Sukan Asia dan Sukan Komonwel dalam beberapa tahun akan datang.

Menurut Encik Wong, ini disebabkan oleh ruang dan prasarana yang terhad.

Encik Wong yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA berkata, tugas menganjurkan berbilang pertandingan dan upacara di dalam Stadium Negara sudah amat rumit.

Ia adalah satu-satunya stadium berskala besar di Singapura.

Namun beliau mengambil perhatian bahawa ada kemungkinan Singapura menjadi tuan rumah bagi acara-acara berbilang sukan seperti pertandingan Sukan Universiti Sedunia.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA ke-28, Lim Teck Yin pula berkata ada beberapa hal yang boleh dipelajari daripada penganjuran kejohanan yang baru berakhir itu.

Ini termasuk membuat telahan lebih tepat tentang sambutan besar orang ramai terhadap acara-acara sukan tertentu supaya persiapan lebih baik dapat dilakukan.

Penggunaan unsur digital terbukti amat berjaya.

Sebagai contoh, sebanyak 320,000 muat turun telah dilakukan dari aplikasi Sukan SEA.

Ia memberi keputusan dan jadual pertandingan terkini.

Saluran YouTube Sukan SEA ke-28 pula ditonton 44 juta kali.

Sumber : CNA/is
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan