Mufti: S R Nathan prihatin kebajikan Melayu/Islam, hubungan baik silang agama
Badan-badan Melayu/Islam turut memberi penghormatan terakhir kepada mantan Presiden S R Nathan.
SINGAPURA: Badan-badan Melayu/Islam turut memberi penghormatan terakhir kepada mantan Presiden S R Nathan.
Mereka termasuk Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Mendaki, Pergas, Kumpulan Pemulihan Agama (RRG) dan Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS).
MUIS antara rombongan terbesar hadir memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Encik Nathan.
Perwakilan seramai 120 orang itu diketuai Mufti Negara Dr Mohamed Fatris Bakaram dan Ketua Eksekutif MUIS, Abdul Razak Maricar. Turut hadir ialah Mantan Mufti Negara, Shaik Syed Isa Mohamed Semait.
Mufti Dr Fatris berkata keprihatinan mendiang Encik Nathan terhadap kebajikan masyarakat Melayu/Islam dan juga hubungan baik antara pelbagai agama adalah sesuatu yang amat dihargai.
"Sekiranya terdapat apa saja berita yang dipaparkan di akhbar mengenai apa pun isu yang dihadapi oleh masyarakat, beliau akan melahirkan rasa keprihatinan yang sangat mendalam sekali.
"Beliau sering menghubungi para pemimpin Majlis Ugama Islam Singapura dan juga para pemimpin masjid untuk mengajak kita bersama-sama mengatur langkah memperbaiki keadaaan," kata Dr Fatris.
Ketua Pusat Harmoni, Ustaz Mohamed Ali Atan, pula berkata: "Yang paling penting sekali ialah beliau beritahu kami supaya meneruskan kerja-kerja ini dan beliau juga telah menyeru kepada badan-badan agama yang lain untuk membantu dan juga menyokong kerja-kerja Pusat Harmoni."
Perwakilan Mendaki pula diketuai CEO-nya Tuminah Sapawi dan Ketua Pegawai Operasi Zulaiha Yusuf.
Kenangan manis yang akan diabadikan badan tersebut ialah semasa pertama kali mendiang dilantik sebagai Presiden pada 1999.
Para kakitangan Mendaki turun ke ibu pejabat Persatuan Rakyat untuk beramai-ramai mengalu-alukan perlantikan beliau.
Cik Zulaiha berkata: "Sebaik sahaja beliau ternampak kumpulan kami yang pada masa itu majoritinya wanita, kakitangan wanita, beliau meluru ke arah kami dengan senyum lebarnya dan berkata, 'Ibu, ibu terima kasih kerana menyokong saya!'
"Dan kami juga berasa sangat bangga pada masa itu menjadi salah satu daripada kumpulan pertama yang menyambut beliau sebagai Presiden Singapura kami pada masa itu."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.