Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mantan Menteri Melayu kongsi kisah dan bakti S R Nathan

Antar gambaran ialah mendiang S R Nathan sebagai presiden yang berjiwa rakyat dan satu simbol keharmonian Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Mantan Menteri Melayu kongsi kisah dan bakti S R Nathan

Gambar fail mantan Presiden S R Nathan. (Gambar: Xabryna Kek)

Diterbitkan : 23 Aug 2016 08:29PM Dikemas Kini : 23 Aug 2016 08:36PM

SINGAPURA: Encik Nathan adalah seorang yang sungguh luar biasa. Beliau berjalan seiring dengan raja, sultan, presiden, kolonel dan juga perdana menteri tetapi dengan cara istimewa iaitu mengekalkan sifat kerendahan diri.

Demikian ungkapan Encik Zainul Abideen Rasheed, mantan Menteri Negara Kanan Ehwal Luar yang juga menyifatkan mendiang S R Nathan sebagai presiden yang berjiwa rakyat dan satu simbol keharmonian Singapura.

"Beliau tidak sepi dalam memberi perhatian dan keprihatinan terhadap masa depan dan isu-isu bersangkut paut dengan masyarakat Melayu Singapura bagi masa depan Singapura.

"Beliau mahu melihat masyarakat Melayu Singapura sebagai sebuah masyarakat yang moden dan bersepadu dalam konteks masyarakat Singapura yang majmuk dan berbilang bangsa, agama dan bahasa," ujar Encik Zainul Abideen.

Encik Zainul Abideen juga mengenang jasa mendiang yang turut gigih mengumpul dana bagi Taman Warisan Melayu Kampong Gelam.

"Mendiang mengadakan satu jamuan tengah hari bagi mengumpul derma sebanyak S$300,000 untuk projek warisan Melayu itu. Sumbangan beliau melewati bangsa dan agama," tambah beliau.

YATIMAN YUSOF: S R NATHAN PEGANG KEKATA BERKHIDMAT SELAGI HIDUP

Mantan Setiausaha Parlimen Kanan Penerangan, Perhubungan dan Kesenian Encik Yatiman Yusof mengenang kembali jasa mendiang dalam membantu para pelajar di politeknik dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE).

Beliau berkata: "Mendiang mahu menolong kalangan mereka yang tidak berpendidikan tinggi di ITE. Setiap tahun ratusan pelajar kita mendapat faedah daripada dana peningkatan pendidikan S R Nathan itu.

"Ramai yang menerima dana itu adalah pelajar Melayu kita sendiri. Melalui dana itu terdapat sedikit sumbangan bagi kerusi Pendeta Haji Muhammad Ariff di NTU. Beliau benar-benar berpegang kepada moto berkhidmat selagi hidup."

HAWAZI DAIPI: MENDIANG MAHU TINGKATKAN KEMAJUAN MASYARAKAT MELAYU/ISLAM DALAM PENDIDIKAN

Mantan Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan merangkap Tenaga Manusia, Encik Hawazi Daipi turut mengimbas kembali jasa-jasa mendiang dalam bidang pendidikan terutama bagi masyarakat Melayu/Islam.

"Beliau memberi perhatian yang terjurus dalam pendidikan kerana beliau menganggap ia laluan penting meningkatkan kebajikan keluarga dan masyarakat.

"Sebab itu banyak perbualan dengan beliau, Encik Nathan menekankan perlunya kita membantu masyarakat Melayu/Islam meningkatkan lagi kemajuan melalui pendidikan dan pekerjaan.

"Penglibatan beliau dalam kegiatan-kegiatan Mendaki, MUIS dan Jamiyah menunjukkan keprihatinan beliau terhadap perlunya meningkatkan pencapaian dalam bidang pendidikan bagi masyarakat Melayu/Islam di Singapura," kata Encik Hawazi Daipi. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan