Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lambaian perpisahan buat mantan Presiden S R Nathan

Singapura hari ini (26 Ogos) mengucapkan selamat tinggal kepada Presiden negara yang paling lama berkhidmat, Encik S R Nathan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 26 Aug 2016 09:53PM Dikemas Kini : 27 Aug 2016 12:50AM

SINGAPURA: Singapura hari ini (26 Ogos) mengucapkan selamat tinggal kepada Presiden negara yang paling lama berkhidmat, Encik S R Nathan.

Perjalanan kereta keranda yang membawa jenazah Encik Nathan melalui mercu-mercu tanda yang menjadi kebanggaan negara dan ada kaitan dengan mendiang, seperti City Hall dan Pusat NTUC.

Upacara Persemadian Negara yang diadakan di Pusat Budaya Universiti (UCC) Universiti Nasional Singapura pula memberi penghormatan kepada Encik Nathan dan kerjayanya yang cemerlang dalam perkhidmatan awam.

Sepanjang semalam, jenazah Encik Nathan ditempatkan di Bangunan Parlimen, di mana lebih 20,000 orang memberi penghormatan terakhir kepada mendiang.

Pada 2.00 petang, keranda mendiang dipindahkan ke pedati meriam istiadat 25 paun oleh Para Pengusung Keranda yang terdiri daripada sembilan kakitangan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Pasukan Polis Singapura (SPF).

(Gambar-gambar: Justin Ong)

KERETA KERANDA LALUI CITY HALL, HOTEL FULLERTON

Diriingi oleh polis-polis pengiring dan kenderaan polis, pedati meriam istiadat itu dibawa ke daerah sivik dan kejiranan-kejiranan Singapura. Mercu tanda pertama yang dilaluinya ialah City Hall, atau Dewan Bandaraya Lama yang kini menjadi sebahagian daripada Galeri Nasional, di mana Encik Nathan, yang ketika itu Presiden, hadir di Perbarisan Hari Kebangsaan Singapura pada 2000, 2005 dan 2010.

(Gambar: Calvin Oh)

Perjalanan kereta keranda juga melalui Hotel Fullerton - Bangunan lama Fullerton, di mana Encik Nathan bertugas semasa kerjaya awalnya dalam perkhidmatan awam. Di sana, beliau dilantik sebagai Pegawai Kebajikan Pelaut di Jabatan Marin - permulaan kerjayanya dalam hubungan buruh dan diplomasi.

(Photo: Nisha Karyn)

(Gambar: Nisha Karyn)

KEADAAN JEREBU TIDAK HAMBAT RAMAI UCAP SELAMAT TINGGAL

Malah, keadaan berjerebu tidak menghambat orang ramai daripada berhimpun di kawasan pusat bandar untuk menyaksikan buat kali terakhir perjalanan kereta keranda Encik Nathan sedang ia melalui Pusat NTUC.

Di situ, Encik Nathan berkhidmat dalam Unit Kajian Buruh (LRU) dalam Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dari 1962 hingga 1965 - semasa pergolakan industri dan pertikaian politik berlaku. Beliau membantu NTUC menangani cabaran kesatuan-kesatuan pro-komunis hingga akhirnya NTUC menjadi kesatuan sekerja utama negara ini.

(Photo: Alicia Tantriady)
(Photo: Alicia Tantriady)

(Gambar: Alice Tantriady)

Di UCC, pedati meriam istiadat itu disambut di foyer utama oleh Barisan Kawalan Kehormatan (LOH) terdiri daripada 48 anggota perkhidmatan dari Pasukan Polis Tentera SAF.

BARISAN KAWALAN KEHORMATAN TUNDUK KEPALA

LOH menurunkan senjata dan menundukkan kepala sebagai tanda hormat sedang pedati meriam istiadat melalui mereka. Langkah ‘Resting on Arms Reserved’ itu melambangkan penghormatan tertinggi yang diberikan SAF kepada seseorang yang sudah meninggal dunia.

Para Pengusung Jenazah kemudian mengusung keranda ke UCC, dan perbarisan itu disertai oleh Peratap Utama, anak lelaki Encik Nathan, Encik Osith Ramanathan dan anggota keluarga lain.

Mereka diiringi para pengusung keranda termasuk Menteri Pembangunan Negara merangkap Menteri Kedua Kewangan, Encik Lawrence Wong, Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli, para wakil dari Persatuan Rakyat serta dua rakan keluarga, Encik Desmond Yong and Encik Henry Goh.

Photo: Xabryna Kek

(Gambar: Xabryna Kek)

7 EULOGI DISAMPAIKAN

Perdana Menteri Lee Hsien Loong merupakan yang pertama menyampaikan eulogi di Upacara Persemadian Negara, dan menyifatkan mendiang sebagai antara anak jati Singapura paling hebat.

Enam lagi eulogi disampaikan selepas itu oleh:

  • Profesor Tommy Koh, Duta Kelana, Penasihat Khas kepada Institut Pengajian Dasar dan Profesor Undang-Undang NUS;
  • Encik Zainul Abidin Rasheed, Duta Besar Singapura ke Kuwait dan mantan Menteri Negara Kanan Ehwal Luar
  • Cik Jennie Chua, pengasas bersama Beeworks, yang terkenal dengan jawatan-jawatannya sebelum ini dalam sektor-sektor pelancongan, perhotelan dan hartanah
  • Encik Ramaswamy Athappan, pengerusi dan CEO Fairfax Asia dan CEO First Capital Insurance;
  • Encik Chan Chun Sing, Setiausaha Agung NTUC dan Menteri di Pejabat Perdana Menteri; dan
  • Encik Gopinath Pillai, Duta Kelana dan pengerusi Institut Pengajian Asia Tenggara di NUS

Sekitar 1,900 tetamu hadir di Upacara Persemadian Negara, termasuk para anggota keluarga mendiang Encik Nathan, Presiden Singapura, Perdana Menteri, Menteri-Menteri Kabinet, para Anggota Parlimen, para wakil kehakiman, dan para wakil daripada kedutaan asing, serta rakyat Singapura dari pelbagai latar belakang.

Lima orang kenamaan dari luar negara, termasuk menteri-menteri Malaysia, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Khairy Jamaluddin, serta Menteri Ehwal Luar Indonesia, Retno Marsudi, turut hadir, selain 49 duta besar dan pesuruhjaya tinggi dari luar negara, termasuk Duta Amerika Syarikat, Kirk Wagar.

PERJALANAN TERAKHIR

Selepas eulogi-eulogi disampaikan, Peratap Utama dan PM Lee masing-masing meletakkan lingkaran bunga di atas keranda, dan Presiden Tony Tan Keng Yam menyerahkan Bendera Negara dan alat kelengkapan kepada anak lelaki mendiang, Encik Osith - penghormatan tertinggi yang diberikan Pemerintah kepada seorang negarawan.

Seorang peniup begol dari Pancaragam Tentera SAF meniupkan Last Post, yang melambangkan tabik yang terakhir kepada seseorang yang sudah meninggal dunia.

Para hadirin bertafakur selama seminit, sebelum Rouse dibunyikan – lambang kembali bertugas setelah memberi penghormatan kepada seseorang yang sudah meninggal dunia.

Selepas berakhirnya Upacara Persemadian Negara, keranda mendiang kemudian dibawa ke Krematorium Mandai untuk upacara persemadian privet.

(Gambar: Xabryna Kek)

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan