Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Siri rancangan radio "Anak Watan SG" tampilkan 20 personaliti Melayu/Islam sempena SG50

Para personaliti itu akan mengongsi kisah-kisah mereka membesar di Singapura, serta impian dan aspirasi mereka untuk masa depan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 10 Aug 2015 06:41PM Dikemas Kini : 10 Aug 2015 09:19PM

SINGAPURA: Sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun kemerdekaan Singapura ke-50, stesen radio MediaCorp, Ria 897FM bersama saluran TV Suria dan majalah Manja, meraikan Jubli Emas negara dengan sebuah siri rancangan radio berjudul "Anak Watan SG".

Mulai hari ini (10 Ogos) selama sebulan, seramai 20 personaliti Melayu/Islam akan ditampilkan untuk mengongsi kisah-kisah mereka membesar di Singapura, serta impian dan aspirasi mereka untuk masa depan.

Seorang juruterbang Singapore Airlines, Erza Eskandar Abu Bakar, merupakan personaliti yang diundang bagi edisi pertama Anak Watan SG hari ini.

Juruterbang Singapore Airlines, Erza Eskandar Abu Bakar. (Gambar: Facebook/Ria 897FM)

Juruterbang Singapore Airlines, Erza Eskandar Abu Bakar. (Gambar: Facebook/Ria 897FM)

Perjalanan Erza Eskandar, 31 tahun, untuk menjadi seorang juruterbang tidak semudah yang dijangkakan.

Erza pernah gagal semasa menuntut di politeknik dan tanpa menamatkan pengajian di sana, beliau menjalani perkhidmatan negara.

Dari situlah, timbul kesedaran untuk melakukan yang terbaik dalam kehidupannya.

Menurut Erza, ibu bapa serta saudara mara tidak putus-putus memberikan sokongan dalam memastikan cita-citanya untuk menjadi juruterbang tercapai.

"Antara cabaran yang saya lalui di sekolah penerbangan ialah masalah kewangan. Pada masa itu, saya tidak mempunyai cukup wang untuk membayar yuran, membeli kereta dan makanan. Jadi selalunya, saya makan mi segera, atau roti dengan keju dan sos cili. Dari situ, saya belajar erti kesusahan," kata Erza.

Bagi menampung kos yuran di sekolah penerbangan privet, Erza bekerja sambilan sebagai seorang pelayan.

Ibu serta nenek juga terpaksa menggadaikan barang kemas mereka untuk membantunya.

Pengorbanan itu membuahkan hasil setelah Erza diambil bekerja oleh syarikat Singapore Airlines selepas dua tahun menjalani latihan di sekolah penerbangan.

Kisah individu seperti Erza merupakan satu daripada 20 kisah yang dipaparkan di udara sebagai sumber inspirasi kepada anak-anak Melayu muda tempatan.

Juruhebah 897FM, Adi Rahman berkata: "Ini merupakan satu pelantar yang baik untuk kita terus menyemarakkan semangat untuk melakukan perubahan di Singapura atau dalam diri kita ini untuk kita menjadi sebuah masyarakat yang lebih dihormati, masyarakat yang lebih maju, yang lebih ke hadapan."

Rancangan Anak Watan SG disiarkan di RIA 897FM setiap Isnin hingga Jumaat dari 8 hingga 9 pagi. 

Sumber : BERITA Mediacorp/is
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan