Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura raikan Jubli Emas dengan NDP gilang-gemilang

Dengan tema "Majulah Singapura", acara NDP tahun ini mengimbas pencapaian negara sepanjang setengah abad lalu, sambil melakar impian negara untuk 50 tahun seterusnya.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Acara kemuncak Sambutan Jubli Emas Singapura - Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) berakhir sekitar 8.30 malam tadi (9 Ogos).

Dengan tema "Majulah Singapura", acara NDP tahun ini mengimbas pencapaian negara sepanjang setengah abad lalu, sambil melakar impian negara untuk 50 tahun seterusnya.

Orang ramai di Perbarisan Hari Kebangsaan di Padang. (Gambar: CNA/Elizabeth Goh)

(Gambar: CNA/Elizabeth Goh)

Sambutan itu juga memberi penghargaan atas sumbangan serta jasa Perdana Menteri pertama Singapura, mendiang Encik Lee Kuan Yew.

Wartawan-wartawan BERITAMediaCorp Izwan Ohtman dan Nashita Kamir berada di Padang untuk membawakan sorotan sambutan gilang-gemilang itu.

Keghairahan menyambut jubli emas negara mula dirasai seawal 3 petang tadi.

Lautan merah putih memenuhi ruang Padang - tempat di mana Perbarisan Hari Kebangsaan pertama diadakan pada tahun 1966.

Perbarisan Hari Kebangsaan di Padang pada 9 Ogos 2015. (Gambar: Hirwan Sahad)

(Gambar: Hirwan Sahad)

Seorang penonton berkata: "Setelah 10 tahun, akhirnya dapat ticket untuk melihat perbarisan untuk SG50 dan rasa berbangga dapat pergi melihat."

"Ini kali pertama saya dapat menonton perbarisan di Padang, selalunya dapat menonton di Pelantar Terapung Marina Bay," kata seorang lagi penonton.

Seorang lagi penonton pula berkata: "Saya pun memenangi tiket, jadi saya amat gembira sebab saya dapat pergi dengan kawan-kawan saya."

Sorakan gemuruh kedengaran sebaik sahaja diumumkan ketibaan Menteri Kanan Emeritus Goh Chok Tong, bersama tiga tetamu istimewa iaitu mantan Menteri Ehwal Kebajikan, Othman Wok, mantan Menteri Pendidikan, Ong Pang Boon dan mantan Menteri Buruh, Jek Yuen Thong.

Mereka di kalangan 10 menteri yang menandatangani Perjanijian Kemerdekaan Singapura dalam tahun 1965.

Ketibaan Perdana Menteri Lee Hsien Loong juga disambut meriah.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong tiba di Perbarisan Hari Kebangsaan di Padang. (Gambar: CNA/Elizabeth Goh)

(Gambar: CNA/Elizabeth Goh)

Dan buat pertama kalinya sejak 1969, para pemimpin dari 18 buah negara turut dijemput bagi sama-sama memeriahkan sambutan jubli emas negara.

Suasana meriah bertukar suram apabila sebuah video khas dimainkan sebagai tanda ingatan atas sumbangan pemimpin pengasas Singapura, mendiang Encik Lee Kuan Yew.

Penghormatan turut diberikan kepada Perdana Menteri Pertama Singapura dengan aksi terbang lalu oleh pasukan Black Knights.

Aksi terbang lalu oleh pasukan Black Knights sebagai penghormatan kepada Perdana Menteri Pertama Singapura, Lee Kuan Yew. (Gambar: Hirwan Sahad)

(Gambar: Hirwan Sahad)

Kerusi mendiang Encik Lee juga dibiarkan kosong, dengan hanya sejambak bunga diletakkan di atasnya.

"Walaupun ini merupakan NDP pertama yang disambut tanpa kehadiran mendiang Encik Lee Kuan Yew, segmen penghargaan tadi jelas menunjukkan bahawa semangat perjuangannya masih wujud dan jasanya akan terus dikenang," kata wartawan BERITAMediaCorp, Izwan Ohtman.

(Gambar: CNA)

"Sedihlah kehilangan seorang yang Singapura, daripada saya kecil, walaupun saya lahir tahun 72, pembangunan antara maju tidak maju, tetapi akhirnya sekarang terlampau maju, saya bangga menjadi rakyat Singapura, pada masa yang sama bangga kita mencapai tahap sekarang," kata seorang penonton.

Seorang lagi penonton berkata: "Ya, saya amat bersedih sekali kerana Lee Kuan Yewlah negara kita ini maju dan berkembang dengan, dan disegani dengan seluruh dunia. Jadi kami sebagai semua semua warga negara Singapura, tidak kira bangsa, ugama atau apa, amat terhutang budi dengan dia."

Suasana kembali rancak dengan pertunjukan bersepadu enam babak.

Dalam babak pertama, para penonton diajak menyusuri lembaran sejarah Singapura - dari ketibaan Sang Nila Utama sehinggalah ke penjelajahan Stamford Raffles ke pulau kecil ini.

(Gambar: CNA)

Dan buat pertama kalinya, pesawat Singapora Airlines juga mengambil bahagian dalam acara terbang lalu, memukau para penonton yang hadir.

Kontinjen-kontinjen perbarisan kemudian menyambut ketibaan Presiden Tony Tan Keng Yam, sedang 20 pesawat pejuang dari Angkatan Tentera Udara Singapura memberikan tabik penghormatan kepada negara dengan pembentukan '50'.

Ia disusuli dengan aksi Pergerakan Letusan Bom oleh pasukan 'Black Knights'.

Presiden Tan kemudian memeriksa kontinjen Kawalan Kehormatan.

Presiden Tony Tan di Perbarisan Hari Kebangsaan di Padang. (Gambar: CNA/Elizabeth Goh)

(Gambar: CNA/Elizabeth Goh)

Tumpuan penonton beralih ke persembahan oleh Kontinjen kenderaan tentera sepanjang dua kilometer, memaparkan 179 kenderaan perang dan tindakan kecemasan.

‘Perpaduan’ rakyat serta usaha mereka membentuk ‘Identiti’ unik tersendiri kemudian dipaparkan dalam babak-babak terakhir sebelum persembahan oleh lebih 600 murid sekolah rendah.

Sebelum tirai persembahan dilabuhkan, Padang bergema dengan nyanyian lagu 'Home' oleh Kit Chan.

Tepat 8.15 malam tadi, para peserta dan penonton bersatu suara, melafazkan ikrar serta menyanyikan lagu kebangsaan negara dengan bangganya.

Acara kemuncak yang dinanti-nantikan - pertunjukan bunga api yang menghiasi langit malam sekitar kawasan Padang, sekaligus menerangi harapan negara sedang ia melangkah ke 50 tahun seterusnya.

Bunga api menyalakan kawasan bandar sementara Singapura meraikan Hari Kebangsaan. (Gambar: Hirwan Sahad)

(Gambar: Hirwan Sahad)

Sumber : BERITA Mediacorp/is
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan