Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PM Lee ucap terima kasih kerana jayakan Jubli Emas

Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan para menteri lain memuji Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) pada Ahad lalu, dan semalam, mereka mengucapkan terima kasih kepada semua yang menjayakan sambutan Jubli Emas Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
PM Lee ucap terima kasih kerana jayakan Jubli Emas

Orang ramai bersorak apabila pasukan RSAF membentuk SG50 di raptai NDP. (Gambar: Calvin Oh)

Diterbitkan : 11 Aug 2015 10:46AM Dikemas Kini : 11 Aug 2015 10:52AM

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan para menteri lain memuji Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) pada Ahad lalu, dan semalam, mereka mengucapkan terima kasih kepada semua yang menjayakan sambutan Jubli Emas Singapura.

"Perbarisan yang begitu indah sekali untuk meraikan Hari Kebangsaan SG50 kita!" kata PM Lee dalam tulisan di laman Facebooknya. "Suasana di Padang sungguh menakjubkan. Saya tahu ramai yang turut meraikannya bersama kami di serata Singapura dan di seluruh dunia, apabila kita sama-sama menyanyi dan mengibarkan bendera negara."

PM Lee, yang hadir di NDP pertama pada 1966, juga menceritakan bagaimana bapanya, Perdana Menteri pertama Singapura, Encik Lee Kuan Yew, sendiri menyelia raptai Perbarisan Hari Kebangsaan "kerana beliau rasa penting untuk rakyat Singapura rasa bersatu dan yakin sebagai sebuah negara baru."

'LEE KUAN YEW PASTI BANGGA DENGAN SEMANGAT PERPADUAN'

PM Lee juga berkata bapanya pasti akan berbangga dengan semangat perpaduan yang dipamerkan tahun ini. "Kami meraikan sebagai satu rakyat. Apabila Kit Chan menyanyikan lagu 'Home', kami semua ikut serta bernyanyi, dan suara nyanyian kami bergema di seluruh Padang."

Antara lain, PM Lee mengucapkan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur, peserta, mereka yang membuat persembahan dan para sukarelawan NDP tahun ini. Beliau juga berterima kasih kepada semua pihak yang bekerja keras untuk menjayakan Hujung Minggu Jubli, seperti pihak penganjur, kakitangan dan polis trafik.

PM Lee juga mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Singapura yang turut sama meraikan SG50.

JAYAKAN NDP TERBESAR

Menteri Pertahanan Ng Eng Hen juga mengucapkan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur dan pengarah kreatif Dick Lee kerana menjayakan NDP yang terbesar dan paling gah tahun ini. 

"Saya rasa sambutan (NDP) tahun ini mungkin akan kekal sebagai yang terbesar pernah diadakan bagi tempoh yang lama, mungkin sehingga SG100," kata beliau.

Di kemuncak sambutan Ahad lalu, hampir 250,000 orang meraikan Hari Kebangsaan di pelbagai lokasi, seperti Pelantar Terapung Marina Bay dan kawasan sekitarnya.

"Bagi saya, perkara paling penting yang dicapai NDP - dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Singapura untuk hal ini - ialah mereka meraikannya dengan cara tersendiri. Mereka meluahkan emosi mereka, dan pada pandangan saya, itulah kejayaan yang paling besar bagi saya," ujarnya.

Contohnya, kata Dr Ng, rakyat Singapura mengenang sumbangan generasi perintis apabila para veteran daripada kontinjen vintaj berbaris lalu, mereka terpegun menyaksikan aksi nekad dan pertunjukan udara RSAF, dan sesetengah menitiskan air mata apabila filem penghormatan buat Encik Lee Kuan Yew ditayangkan.

Rakyat Singapura juga menyanyikan lagu-lagu di Perbarisan Hari Kebangsaan dengan penuh emosi dan semangat, kata Dr Ng, yang menambah, beliau mulanya prihatin kerana semasa raptai NDP, mereka tidak bernyanyi dengan suara lantang. "Saya gembira mereka membuktikannya pada hari yang istimewa ini ." 

Di laman Facebooknya, Dr Ng juga berkata semasa merancang NDP tahun ini, iaitu tidak lama selepas pemergian Encik Lee, beliau menggesa para penganjur supaya memastikan rakyat Singapura memandang ke hadapan dan NDP sepatutnya memberi harapan tentang masa depan kita.

HARAP TERUS PANDANG KE DEPAN

Menteri Pendidikan Heng Swee Keat juga berharap rakyat Singapura terus memandang ke hadapan, kerana tahun SG50 masih belum berakhir.

"Kami masih mempunyai banyak lagi acara, seperti Jubilee Walk dan satu pameran yang memaparkan harapan kita untuk masa depan," katanya di laman Facebook sambil mengucapkan terima kasih kepada para penganjur SG50, para menteri mapan dan golongan perintis kerana berjaya melakar sejarah Singapura yang membanggakan.

"Saya yakin. Kami negara yang muda tetapi istimewa. Banyak cabaran menanti kita, tetapi kita ada semangat untuk terus membawa Singapura maju ke hadapan," ujarnya.

Sumber : Today/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan