Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Menyusuri sejarah industri filem Singapura sepanjang 50 tahun lalu

Filem pertama yang dipercayai menjalani penggambaran sepenuhnya di Singapura ialah filem "The Immigrant" pada 1926.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 10 Sep 2015 06:29PM Dikemas Kini : 10 Sep 2015 09:06PM

SINGAPURA: Tiket-tiket bagi tayangan filem sempena sambutan SG50 berjudul "7 Letters" habis dijual dalam masa tiga jam selepas dilancarkan baru-baru ini.

Ia satu tanda positif bagi industri perfileman Singapura yang hanya menghasilkan dua filem setahun pada tahun-tahun 90an kepada 20 filem setahun, sekarang.

Terdapat beberapa filem Singapura yang berjaya menawan hati ramai orang tempatan dan di luar negeri, seperti “I Not Stupid” dan "Homerun".

Namun sejarah industri perfileman Singapura bermula jauh lebih lama.

Filem pertama yang dipercayai menjalani penggambaran sepenuhnya di sini ialah filem "The Immigrant" pada 1926.

Selepas perang, indutsri tersebut kian mekar dengan penerbitan filem oleh Shaw Brothers dan Cathay.

Filem-filem Melayu dan Tamil menarik ramai orang ke pawagam.

Era itu dikenali sebagai Era Emas Pawagam Singapura.

Dalam era itu lebih 300 filem Melayu diterbitkan sepanjang tempoh 20 tahun.

Syarikat Shaw Brothers juga membina taman hiburan seperti Great World untuk melengkapi industri perfilemannya di sini.

Pada hujung tahun-tahun 60an, kemunculan televisyen menjejas minat orang ramai terhadap tayangan filem di pawagam.

Pada 1967, Shaw Brothers menutup studio Penerbitan Filem Melayunya yang terkenal di Jalan Ampas.

Studio itu menghasilkan sekitar 160 filem Melayu.

Hanya kira-kira tiga dekad selepas itu, industri perfileman tempatan dihidupkan kembali dengan filem cetera pertama Eric Khoo berjudul "Meepok Man".

Filem itu berjaya mengembalikan Singapura dalam peta perfileman dunia dan menjelajah ke lebih 40 pesta filem serata dunia.

Kemudian, Eric Khoo mencipta satu lagi sejarah dengan filemnya "My Magic" yang berjaya dicalonkan dalam acara perfileman Cannes pada 2008.

Suruhanjaya Filem Singapura juga dibentuk pada 1998 dan telah menyokong penerbitan lebih 600 filem pendek dan 50 filem cetera.

Seorang lagi pengarah yang berjaya menempa kejayaan ialah Anthony Chen.

Filemnya "Ilo Ilo" berjaya memenangi anugerah di Cannes dan 40 anugerah lain dari merata dunia.

Anthony berkata industri tempatan masih kekurangan dalam beberapa aspek.

Menurut Anthony, filem-filem Asia dan Singapura selalunya diterbitkan secara terburu-buru manakala di Eropah dan Amerika, filem-filem mereka melalui proses pembangunan yang penting selama berbulan-bulan dan kadang kala bertahun-tahun lamanya.

Walaupun pelbagai kesukaran dihadapi penggiat filem tempatan, pelbagai kejayaan terus diraih termasuk Anugerah Filem Cetera Terbaik di Amerika Syarikat tahun lalu menerusi filem "Afterimages".

Kejayaan-kejayaan ini diharapkan dapat terus mengembangkan industri perfileman tempatan.  

Sumber : CNA/is
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan