Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Trend Hari Raya: Lebih ramai minat capal moden daripada capal tradisional

Orang Melayu Singapura nampaknya sudah tidak lagi minat membeli capal-capal tradisional. Sebaliknya, capal yang dianggap sebagai  versi 'moden' semakin menjadi pilihan mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Trend Hari Raya: Lebih ramai minat capal moden daripada capal tradisional

Grey by Ortenhill merupakan salah satu jenama tempatan yang menjual "capal moden". (Gambar: Ira Musfirah)

BERITAMediacorp: Orang Melayu Singapura nampaknya sudah tidak lagi minat membeli capal-capal tradisional. Sebaliknya, capal yang dianggap sebagai versi 'moden' semakin menjadi pilihan mereka.

Dalam tinjauan BERITAMediacorp ke atas gerai-gerai di sekitar bazar Geylang Serai, peniaga kasut yang hanya ingin dikenali sebagai Rizal misalnya, berkongsi bahawa penjualan capal tradisional di gerainya "sudah berkurangan".

Beliau bahkan mendedahkan penjualan "capal moden" berbanding capal tradisional di gerai beliau berada pada nisbah 5:1. Iaitu, bilangan yang membeli capal moden lima kali lebih ramai!

"Kebanyakan orang lebih dewasa dan warga emas yang lebih membeli capal tradisional berbanding orang-orang muda," ujarnya.

Malah, Encik Rizal memberi pendapat salah satu puncanya adalah kerana golongan muda "lebih utamakan trend baru berbanding budaya".

"Kalau bandingkan corak baru dengan yang lama, orang akan cari corak baru. Mereka cari yang lebih lawa dan 'trendy'. Kalau ikut cara orang lama, akan pakai capal, tapi ramai tak ikut sekarang," jelasnya.

"SATU EVOLUSI, SATU REVOLUSI"

Pemilik bersama Grey by Ortenhill, Trisno Ishak, merupakan salah seorang daripada peniaga tempatan yang menjual "capal moden" yang diperbuat daripada kulit kerbau, kulit lembu dan kulit kambing dari India. Beliau juga ada gerai di bazar Geylang Serai.

Beliau bagaimanapun menafikan, meningkatnya permintaan bagi "capal moden" menjejas budaya memakai capal tradisional.

"Taklah, kerana saya tidak menyekat mereka daripada membeli yang lama juga. Ini adalah satu evolusi dan satu revolusi yang sangat baik untuk industri dan pasaran.

"Kalau nak dikatakan juga, baju kurung dulu 'simple' (ringkas), sekarang macam-macam stail. Ini adalah satu evolusi, bukan untuk mematikan tradisi tapi untuk mengembangkan inovasi," terang Encik Trisno semasa ditemui di gerainya yang terletak di Engku Aman Road.

CAPAL DIPADAN BAGI GAYA SEDONDON

Pendapat ini turut disokong seorang lagi peniaga yang baru mula menceburi bidang menjual capal di bazar Geylang Serai tahun ini.

Encik Nasrun Tahir memberi pendapat tentang penjualan capal tradisional di gerainya: "Ini kan tradisi orang Melayu. Mereka nak serentak dengan pakaian, iaitu baju kurung dengan capal, jadi dia cari capal.

"Bukan kata orang dewasa, anak kecil pun pakai capal, untuk sepasang dengan keluarga."

Setakat tiga minggu Ramadan, Encik Nasrun juga berkongsi penjualan kedua-dua jenis capal, moden dan tradisional, yang diimport dari Indonesia, hampir sama, pada "50-50".

Peniaga Encik Nasrun Tahir (kiri) semasa ditemui di gerainya di Geylang Serai.

JUALAN CAPAL LEMBAP TAHUN INI?

Namun, beliau yang menjual sekitar 20 pasang capal sehari pada hari-hari dengan penjualan lebih laris, mendedahkan pendapatan yang diraih "belum sampai nak bayar sewa".

"Permulaan Ramadan sunyi, kita jiran sama jiran berbual. Mana tahu, kalau rezeki itu ada pada hujung-hujung Ramadan," luahnya dengan penuh harapan.

Malah, isu sewa turut menjadi antara keprihatinan Encik Trisno. Bagaimanapun, beliau tidak menafikan pembukaan gerai di bazar "membantu".

"Selalunya Alhamdulillah, lumayan pun tak lumayan sangat. Dapatlah 'cover' (sewa dan modal) sedikit, adalah untung sedikit.

"Lebih penting lagi, ia mewujudkan kesedaran tentang jenama kami. Apabila kami berjumpa dengan pelanggan, kami dapat berhubung dengan mereka, iaitu elemen yang sangat istimewa," kongsinya, yang berhasil menjual lebih 100 pasang "capal moden" yang berharga sekitar $129 hingga $189, setakat tiga minggu Ramadan.

(Gambar-gambar: Ira Musfirah)

Sehubungan itu, Grey by Ortenhill, yang juga antara perintis "capal moden" di Singapura pada tahun 2011, akur akan kehadiran lebih banyak persaingan bagi jenis kasut serupa. Walau demikian, beliau tetap "mendoakan yang terbaik" bagi para pesaing dalam pasaran tersebut.

"Ini semua seperti makanan juga, takkan satu orang saja yang jual nasi ayam?

"Kadang-kadang persaingan adalah bagus kerana, apabila ada persaingan, barang-barang yang dijual usahawan, dijual dengan kualiti lebih baik, dalam usaha mereka meningkatkan tahap dari segi mutu dan khidmat," jelasnya.

Ternyata, seperti barangan lain, kelengkapan Raya juga menjalani perubahan dengan peredaran masa. Namun, pemodenan tetap mampu wujud seiringan dengan budaya dan tradisi jika ia terus dilestarikan agar tidak hilang ditelan zaman. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan