Skip to main content

Iklan

Iklan

Tinjauan BERITAMediacorp: 40% anggap $2 jumlah minimum 'duit raya' yang wajar diberikan

Tradisi memberi 'duit raya' memeriahkan suasana lebaran terutama bagi golongan kanak-kanak.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Tradisi memberi 'duit raya' memeriahkan suasana lebaran terutama bagi golongan kanak-kanak.

Namun, berapakah jumlah yang dianggap wajar diberikan?

Satu tinjauan di laman BERITAMediacorp mendapati, 4 daripada setiap 10 orang berpendapat jumlah minimum yang sesuai diberikan adalah $2.

Manakala tinjauan rambang pihak kami ke atas orang ramai mendapati ia di dalam anggaran $2 hingga $10.

40 PERATUS ANGGAP $2 ADALAH JUMLAH MINIMUM

Sedang kanak-kanak sibuk mengira duit Raya, golongan bekerja pula terus mengisi sampul Raya sempena Lebaran ini.

Daripada lebih 1,300 orang yang menyertai undian online BERITAMediacorp, kebanyakannya iaitu hampir 40 peratus menganggap $2 adalah jumlah minimum yang wajar diberikan.

Kos kehidupan yang meningkat dan jangkaan kanak-kanak masa kini yang lebih tinggi nampaknya menjadi antara sebab pendapat bercampur-campur itu.

"$2 TAK LEPAS UNTUK SATU HARI"

"Sekarang pun mereka dah pandai belanja. $2 macam nak beli makan pun tak lepas untuk satu hari," kata Cik Nurul Suhaila.

Seorang warga emas pula berkata: "Kalau kita dulu dapat 20 sen, 50 sen paling banyak. Ada yang budak-budak dua tahun tiga tahun, buka tengok, dua dolar saja, tak boleh, mereka mahu $4."

Encik Solihin Hassan pula berkata: "Anak lelaki saya pun kadang-kadang macam begitu kan, dengan segera buka sampul, kenapa dua dolar?"

PEGANG PRINSIP IKUT KEMAMPUAN MASING-MASING

Bagaimanapun, sebilangan individu tetap berpegang pada prinsip agar mengikut kemampuan masing-masing, berbanding mengikut "kadar pasaran".

Ini terutama sekali bagi mereka yang baru mula bekerja seperti Cik Nur Aqila.

"Saya rasa $2 itu mungkin orang cakap terlalu sikit, tapi kita fikir juga pada kemampuan kita sendiri, tak boleh fikir tentang pemikiran orang. Pucuk pangkal diri sendiri, sebab sebaik mungkin kita nak memeriahkan lagi keadaan, bukan untuk membebankan diri sendiri," kata Cik Aqila.

Seorang lagi, Cik Nur Dini memberi pendapat: "Jumlahnya tak penting, nikmatnya yang penting, $2 pun jadilah, tak ada yang macam nak kena beri $4 ke $6 ke, $2 pun boleh pada saya."

Cik Solihin menambah: "Kalau yang dewasa, remaja, mungkin dalam $5 ke atas, $10 mungkin, kemampuan masing-masinglah."

HARUSKAH HULUR DUIT RAYA KEPADA ANGGOTA NS?

Namun, ada juga yang tidak menghulurkan duit raya kepada golongan belia, termasuk mereka yang menjalani Perkhidmatan Negara.

Ini kerana mereka menganggap golongan itu sudah matang mencari sumber kewangan sendiri.

Salah seorang yang ditemui berkata: "Saya rasa tak perlulah, pasal budak-budak zaman sekarang, mereka dah mulakan keusahawanan, mereka tahu cari jalan untuk menjana wang sendiri, jadi saya tak rasa ia akan menjejas mereka.

"Pada pendapat saya, ia benar-benar bergantung kepada keadaan, terpulang kepada individu, mengikut kemampuannya. Orang kata, niat itu yang penting."

Yang jelas, "kadar pasaran" bagi duit Raya tidak semestinya menjadi penentu.

Jumlah yang berlandaskan kemampuan individu tetap menjadi pertimbangan utama. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan