Ramadan 2018

Images
  • rkm kid1
    "Zaki" salah seorang penghuni Rumah Kebajikan Muhammadiyah 

Tidak dapat beraya dengan keluarga, mujur "Zaki" rai Lebaran dengan keluarga angkat

SINGAPURA: Kemeriahan menyambut Lebaran jelas terasa di Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM) hari ini, selepas 58 penghuninya dibenarkan pulang untuk menyambut Hari Raya bersama keluarga mereka.

Bagaimanapun, dua penghuni RKM tidak dapat beraya dengan keluarga sendiri, sebaliknya terpaksa menyambut Syawal dengan keluarga angkat.

BERITAMediacorp menyelami perasaan salah seorang daripada mereka dan membawakan laporan berikut.

SEMUDA 14 TAHUN, ZAKI SAMBUT SYAWAL TANPA KELUARGA

Jika anak-anak lain dapat beraya di sisi keluarga atau darah daging sendiri, bagi Zaki (bukan nama sebenar) itu sekadar angan-angan sahaja.

Atas sebab-sebab masalah keluarga yang mana keadaan tidak mengizinkan, Zaki, seorang remaja 14 tahun, terpaksa tinggal dengan keluarga angkat pada Syawal kali ini.

"Sepatutnya saya nak pergi rumah keluarga saya, tapi cuma balik dengan kakitangan, jadi saya rasa macam sedih, tak dapat beraya dengan keluarga, rindukan emak dan bapa, dengan semua anggota keluarga saya," luah Zaki.


BERAYA DI RUMAH KELUARGA ANGKAT

Bagaimanapun, anak kedua daripada 11 beradik itu tidak dibiarkan terus merintih sendirian.

Salah seorang kakitangan RKM, yang juga Penolong Superintenden RKM, Cik Foziah Yeon, dengan sukarela membawa Zaki pulang selama enam hari demi membolehkannya menikmati kemanisan Hari Raya dalam sebuah keluarga.

Cik Foziah berkongsi beliau tidak mempunyai masalah membiarkan penghuni RKM merasai suasana dalam rumah sebegitu.

"Bila (Zaki nanti) dapat duduk di sofa itu, menonton TV itu, dengan saya dan anak-anak duduk sama, kira macam mereka mungkin dapat rasakan kekeluargaan," katanya.


Beliau berharap Zaki akan dapat merasa lebih yakin dengan suasana kekeluargaan sedemikian bahawa dia "bukan duduk di RKM selama-lamanya".

"Ada orang yang ambil berat, ada orang macam ambil tahu tentang perkembangan, jadi mereka kira macam tak rasa tersisihlah," jelas Cik Foziah.

Yang pasti ini kali pertama Zaki beraya dengan sebuah keluarga angkat.

TIDAK PULANG DENGAN TANGAN KOSONG

Zaki bersama penghuni-penghuni RKM lain juga tidak pulang beraya dengan tangan kosong hari ini.

Mereka antaranya membawa pulang beberapa pasang baju Raya, kuih raya serta barangan dapur yang disumbangkan para penderma.


Malah, Zaki juga berharap dapat menyerap pelbagai kemeriahan suasana persiapan menyambut Hari Raya di luar sana seperti di Geylang Serai.

"Saya nak pergi bazar beli barang baru macam kasut dan baju. Saya nak rasa kuih tat," pinta Zaki.

Sungguhpun semua itu membantu menyinar sedikit keceriaan, jauh di lubuk hati dan nalurinya, Zaki tetap menanam satu hasrat - mahu kembali ke pangkuan keluarga.

"Saya nak macam peluk mereka, cakap mintak maaf sebab saya buat salah, bila saya marah mereka atau tersilap sangka.

"Saya nak emak dan bapa saya baik, jangan gaduh-gaduh. Harap nak mereka jumpa saya di Muhammadiyah."

Begitulah rintihan seorang anak. Betapa sekalipun air dicincang, ia tidak akan terputus. 

- BERITAMediacorp/im

Top