Ramadan 2018

Images
  • Muslim Amad
    Petikan gambar dari video.

Tangga pun tanggalah, Ustaz Muslim Amad dendang qasidah 'wajib' bulan Ramadan

BERITAMediacorp: Setiap kali tiba waktu berbuka pada bulan Ramadan di Singapura, bukan setakat azan maghrib yang dinanti-nantikan. Terdapat satu lagi ‘laungan’ merdu – iaitu qasidah – yang begitu sinonim dengan masyarakat Islam setempat.

Manakan tidak, sudah berpuluh-puluh tahun ia dimainkan di corong radio Singapura sejurus selepas azan maghrib di radio Warna 94.2FM. Tapi sebenarnya ramai di antara kita tidak tahu nama ataupun tajuk lagu qasidah yang sudah mendarah daging dengan bulan puasa orang Singapura itu.

Ini jawapannya. Qasidah itu bertajuk Ya Rabb Karamuka Alaina. Yang pasti ia adalah salah satu lagu ikonik dan ciri unik yang membangkitkan suasana bulan Ramadan di Singapura. Jika disebut tentang qasidah tersebut, pasti anda akan teringat pada bulan Ramadan, bukan?

Lantaran itu, tepat pada masanya, apabila seorang ustaz muda iaitu Imam Masjid Al-Muttaqin, Ustaz Muslim Amad, mendendangkan qasidah tersebut secara live di laman Facebooknya pada hari Rabu lalu (16 Mei). Rata-rata mereka yang menonton video tersebut begitu terhibur dan semakin bersemangat untuk menyambut bulan suci ini.

Yang paling menarik adalah lokasi di mana video itu dirakam. Ia bukan dirakam di dalam studio mahupun di dalam pejabat. Sebaliknya, ia dirakam di tangga!


Ternyata, Ustaz Muslim tidak salah memilih tempat apabila qasidah yang didendangkan kedengaran padu melalui suaranya yang sudah bersatu dengan ‘gema’ di sekitar tangga berkenaan.

Antara komen penonton menyifatkan qasidah tersebut sebagai qasidah 'wajib' bulan Ramadan. Beberapa ustaz muda lain turut memberikan respons kepada video tersebut. Komen daripada CEO Muslim Youth Forum Singapore, Ustaz Zahid Zin, agak mencuit hati.

“Pagi ni terhibur dengan bacaan Ustaz Muslim Amad dahsyat betul tak payah masuk studio di tangga sahaja sudah cukup. Saya sarankan kita viralkan supaya kegunaan tangga dapat diberi perspektif baru oleh masyarakat kita. Kempen: Kenapa maksiat di tangga sedangkan boleh taat ke syurga,” menurut catatan Ustaz Zahid, merujuk kepada persepsi negatif yang sering dikaitkan dengan tangga, di mana ia dijadikan tempat melakukan maksiat.

HAYATI MAKNA QASIDAH 'WAJIB' BULAN RAMADAN

Sekalipun demikian, rakaman video Ustaz Muslim bukan sekadar hiburan semata-mata. Meski ramai yang sudah hafal melodi qasidah nyanyian asal oleh seorang penyanyi nasyid kelahiran Mesir, Al-Sheikh Sayyid Muhammad An-Naqshabandi itu, hakikatnya ramai juga yang mungkin tidak mengetahui maknanya.

Oleh itu, Ustaz Muslim memanfaatkan media sosial untuk menyampaikan mesej tersebut kepada masyarakat supaya mereka dapat meraih manfaat daripadanya dan lebih menghayatinya.

Menerusi rakaman video itu, Ustaz Muslim yang kelihatan memakai jubah putih dan berkopiah putih berkata qasidah tersebut adalah “satu bacaan doa, yang mengandungi pujian dan juga pujaan kepada Allah SWT”. Beliau menambah menerusi qasidah itu juga kita memohon kepada Allah SWT agar melimpahkan rahmatnya kepada kita.

Berikut ini adalah terjemahan penuh bait-bait atau lirik qasidah itu seperti yang dikongsi oleh Ustaz Muslim di laman Facebook beliau:

Ya (Allah) yang Maha Mulia, Maha Penyantun,

Maha Pengampun dan yang Maha Penyayang

Kabulkanlah harapan-harapan kami

Rahmatilah hamba-hambaMu,

Wahai (Allah) yang Maha Mulia

Wahai (Allah) Tuhanku

Wahai Tuhanku, kami mengharapkan kemurahanMu

Dan juga kami mengharapkan pertolonganMu

Dan pandanglah kami dengan pandangan Belas kasihanMu

Agar perjalanan kami diteguhkan.


ASATIZAH PEKA DENGAN PERUBAHAN

Ustaz Muslim adalah antara ustaz-ustaz muda yang bijak menggunakan media sosial untuk menyebarkan dakwah secara santai kepada segenap lapisan masyarakat.

Beliau memberitahu BERITAMediacorp, selain dirinya terdapat sekitar lima ustaz lain yang dikenalinya, juga merakam video di tangga. Ini termasuk qari Singapura Ustaz Tamliikhaa Khamsani, Ustaz Tarmizi Khamsani, Imam Masjid Mydin Ustaz Muhammad Syamir dan Imam Masjid Muhajirin, Ustaz Zahil Al-Hafiz.

Menyentuh tentang para asatizah dan media sosial, Ustaz Muslim berkata sudah banyak kreativiti dalam berdakwah, seperti vlogging, typography dan sebagainya.

Ustaz Muslim sendiri menggemari dakwah menerusi Facebook Live, seperti Jom Sembang Sg (Ustaz Shahid Sazali) dan Terimalah taubatku (oleh MYF, BAPA, Ain Society dan sebagainya). Ini katanya, bermakna orang mudah bersoal jawab di Facebook secara live.

“Ini (juga) menunjukkan bahawa asatizah peka dengan perubahan pemahaman masyarakat untuk mendapatkan maklumat. Dalam masa yang sama, mereka yang tidak pernah ke masjid atau tidak dekat dengan agama, mula berjinak-jinak dengan agama dengan mendengar ceramah seperti ini,” beliau memberitahu BERITAMediacorp.

- BERITAMediacorp/nk

Top