Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Surau Lorong Buangkok berwajah baru, sudah rancak bersiap untuk Ramadan

Daripada memperbaiki keadaan ruang solat, sehinggalah menghulurkan bantuan bagi golongan memerlukan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Daripada memperbaiki keadaan ruang solat, sehinggalah menghulurkan bantuan bagi golongan memerlukan.

Itulah antara persiapan yang dijalankan beberapa badan Melayu/Islam, seperti Surau Al-Firdaus di Lorong Buangkok dan Persatuan Jamiyah, sempena menjelangnya bulan Ramadan yang bermula malam esok.

BERITAMediacorp menjenguk persiapan kedua-dua persatuan tersebut.

SURAU BUANGKOK JALANI KERJA BAIK PULIH

Sekali pandang tapak terletak di Lorong Buangkok kelihatan seperti rumah kampung yang dibuat dari papan dan kayu di tengah-tengah bandar sibuk Singapura.

Namun sebenarnya ia berfungsi lebih dari itu. Ia berperanan sebagai surau - Surau Al-Firdaus atau lebih dikenali ramai sebagai surau Kampung Lorong Buangkok.

Dibina pada 1953, surau ini mampu memuatkan sekitar 80 jemaah bagi solat terawih pada setiap Ramadan.

"Terawih biasanya tahun-tahun cuma ada 40 orang tapi tahun lepas, saya rasa ada 70 hingga 80 orang, ramai sebab ada pekerja daripada luar negeri jadi datang ke suraulah, mungkin saya rasa pada tahun ini saya rasa lebih daripada itu," kongsi Haji Alwie Ludin, Setiausaha bagi Surau Al-Firdaus.

Demi menambah keselesaan untuk orang ramai, surau ini baru sahaja dibaik pulih bulan lalu, dengan belanja hampir $17,000. Antara lain, tandas dan tempat wuduk dinaik taraf, dinding dapur dicat serta permaidani ditukar. Semua kerja-kerja tersebut selesai dengan rasmi pada Sabtu lalu (12 Mei).

(Antara yang dinaik taraf termasuk tempat mengambil wudhu' di surau ini)

Usaha 'pembaharuan' itu diterajui oleh Masjid Omar Salmah dengan sokongan daripada Rakan Masjid Omar Salmah (FoMOS) yang turut berharap lebih banyak lagi sokongan daripada masyarakat umum terhadap surau ini.

"Apa yang kami harapkan ialah kesedaran yang adanya surau ini, pasal ramai yang tak tahu lagi jadi mudah-mudah bila kita dah ubah suai semua mungkin diberi masa lagi panjang untuk surau ini bertahan dan mungkin lebih ramai lagi orang akan datang ke surau ini," kata Encik Mohammed Saruashikin Mohd Salim, Pengerusi FoMOS.

(Tahun ini merupakan tahun kedua Persatuan Jamiyah mengagihkan makanan daripada Bank Makanan pada bulan Ramadan. Gambar: Ummu Rabbisyfina/BERITAMediacorp)

LEBIH RAMAI PENERIMA BANTUAN JAMIYAH

Bagi Persatuan Jamiyah pula, ia sibuk menyiapkan bantuan berbentuk makanan demi membantu keluarga yang memerlukan pada bulan Ramadan ini. Sebagai contoh, persiapan bagi mengagihkan habuan makanan sudah bermula sejak seminggu lalu.

Mentelah lagi, Jamiyah tahun ini menyaksikan pertambahan besar dalam jumlah penerima bantuannya.

Pengarah Pembangunan Masyarakat Jamiyah, Encik Abdul Halim Aliman berkongsi bersama pihak BERITAMediacorp bahawa dari pada akhir bulan April tahun ini Jamiyah sudah membantu seramai 605 para penerima, di mana 148 ataupun 32% daripadanya merupakan para penerima baru.

Encik Halim turut berkongsi, sekiranya jumlah penerima tersebut dibandingkan dengan tahun sebelumnya, terdapat peningkatan sebanyak 36% terhadap jumlah penerima yang dibantu Persatuan Jamiyah secara keseluruhannya.

Angka tersebut tidak termasuk jumlah hampir 400 penerima yang dibantu Jamiyah daripada Bank Makanan mereka pada bulan Ramadan ini.

"Peningkatan ini kerana usaha Jamiyah dalam mendekati masyarakat dengan kerjasama dengan badan-badan akar umbi, dengan pusat-pusat khidmat keluarga, sekolah-sekolah, dan juga hospital dan juga badan-badan Melayu/Islam," tambahnya lagi.

Encik Halim turut berkongsi orang ramai boleh mendermakan bekalan makanan pada bulan Ramadan ini dengan mengunjungi Ibu Pejabat Jamiyah. 

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan