Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rumah Rawatan Jamiyah lancarkan program baru bagi tingkatkan jagaan kesihatan warga emas

Rumah Rawatan Jamiyah (JNH) melancarkan inisiatif baru bagi memenuhi keperluan jagaan kesihatan yang lebih bermutu untuk warga emas.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Rumah Rawatan Jamiyah (JNH) melancarkan inisiatif baru bagi memenuhi keperluan jagaan kesihatan yang lebih bermutu untuk warga emas.

Dilancarkan Setiausaha Parlimen Kesihatan, Encik Amrin Amin, program Latihan Kepimpinan dalam Kesihatan dan Pengurusan Kesejahteraan Diri itu juga ingin membekalkan para penjaga dengan keupayaan dalam penjagaan warga tua yang lebih menyeluruh.

LATIHAN KEPIMPINAN BAGI TINGKAT MUTU JAGAAN WARGA EMAS

Dari program bersenam, bernyanyi bersama para penjaga di sini, hingga ke sesi mewarna lukisan batik bersama Encik Sarkasi Said.

Kesemua ini merupakan kegiatan seharian 150 penduduk di Rumah Rawatan Jamiyah (JNH).

Namun tidak lama lagi golongan warga emas di sini akan menerima taraf rawatan kesihatan yang lebih baik lagi, dengan 22 kakitangan dan ketua pasukan di kemudahan ini menjalani program Latihan Kepimpinan terhadap Kesihatan dan Pengurusan Kesejahteraan Diri.

Selain memahami dinamik perancangan dan menjalankan khidmat kesihatan yang lebih padu, mereka juga akan dilatih untuk menilai hasil khidmat tersebut bagi golongan warga emas.

(Encik Amrin Amin bersama Sarkasi Said membantu golongan warga emas di JNH mewarna lukisan batik. Gambar: Ummu Rabbisyfina/BERITAMediacorp)

AMRIN AMIN: PENTING TINGKATKAN PENGETAHUAN JAGAAN WARGA EMAS

Inisiatif tersebut lebih penting lagi menurut Setiausaha Parlimen Kesihatan Encik Amrin Amin, memandangkan terdapat pelbagai cabaran dalam memahami masalah penuaan.

"Latihan ini merupakan suatu yang baik kerana ia selaras dengan seruan pemerintah untuk terus mempertingkatkan kemahiran para penjaga dan jururawat, yang menjaga warga tua. Juga perlu untuk meningkatkan ilmu mereka, pengetahuan mereka supaya mereka tahu tentang teknik-teknik yang baru serta pendekatan dan cara menjaga dan mendekati orang-orang tua.

"Jadi saya gembira dengan usaha ini kerana ia memberi satu dorongan kepada penjaga, jururawat dan sebagainya untuk tingkatkan ilmu mereka, supaya mereka dapat menjaga warga emas dengan lebih baik dan lebih rapi lagi," kongsinya bersama pihak BERITAMediacorp.

Selain meningkatkan mutu khidmat jagaan kesihatan secara holistik, Jamiyah turut berharap program itu dapat memperkasa para penjaga dengan keupayaan dan maklumat kesihatan yang relevan.

"Penting untuk mereka mengetahui apakah isu-isu yang timbul, apakah maklumat yang mereka perlukan dan apakah peralatan-peralatan yang ada untuk mereka lakukan pekerjaan, seperti menggunakan alat-alat yang terbaru yang mana seorang pesakit dapat dialihkan daripada katil ke bilik mandi dan dari bilik mandi," ujar Naib Pengerusi Jamiyah, Encik Isa Hassan.

LATIHAN SELARI DENGAN MOH, AGENSI KESIHATAN LAIN

Bagi mencapai tujuan khidmat penjagaan kesihatan yang selari dengan MOH dan agensi kesihatan yang lainnya, sesi latihan ini akan dikendalikan oleh sekumpulan karyawan kesihatan untuk turut membincangkan isu kesihatan dengan lebih mendalam.

"Ini sangat penting kerana ia memberikan secara terperinci sifat-sifat atau program untuk melatih dari segi kepimpinan - bagaimana untuk mengendalikan program- program kesihatan untuk warga emas.

"Sebagai contoh penyakit-penyakit yang khususnya dialami warga emas ini dan apakah isu-isu yang melanda mereka. Sebagai contoh isu mengenai pergerakan, bagaimana untuk memindahkan daripada satu tempat ke satu tempat, dan ini semua harus ditanam dalam karyawan kesihatan ini," kata Dr Saiful Nizam Subari, seorang doktor yang melatih bagi program ini.

Sesi latihan akan dijalankan dalam 3 modul dan bermula selepas Ramadan nanti. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan