Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Ramai artis jadi peniaga musiman bazar Geylang Serai - Apa yang mereka jual?

Ini sekumpulan penyanyi yang sedang hebat bersaing. Tapi mereka sebenarnya bukan bersaing di pentas nyanyian. Sebaliknya di bazar Raya Geylang Serai!

Anggaran Waktu Membaca:
Ramai artis jadi peniaga musiman bazar Geylang Serai - Apa yang mereka jual?

(Dari kiri) Maiya Rahman, Eka Mairina dan Roslan Shah yang menjual barang mereka di Bazar Geylang Serai.

Diterbitkan : 12 Jun 2018 01:13AM Dikemas Kini : 12 Jun 2018 02:58AM

BERITAMediacorp: Ini sekumpulan penyanyi yang sedang hebat bersaing. Tapi mereka sebenarnya bukan bersaing di pentas nyanyian. Sebaliknya di bazar Raya Geylang Serai!

Selama sebulan ini para artis ini bertukar peranan dan memakai pula gelaran ‘tauke pasar malam’ atau peniaga bazar musiman. Golongan artis-artis tempatan Singapura seperti itu termasuklah penyanyi Roslan Shah, Maiya Rahman dan Eka yang menjadi peniaga musiman di kawasan Geylang Serai.

Apakah mereka mencatat untung? Apakah yang diperdagangkan artis-artis ini? BERITAMediacorp meninjau pelibatan mereka berniaga pada bulan Ramadan ini.

EKA MAIRINA – JUAL BAJU ARAB & SAMBAL

(Gambar-gambar: Eka Mairina)

Penyanyi Eka Mairina sebelum ini pernah menyewa gerai di Tanjong Katong Complex. Namun untuk tahun ini, penyanyi Eka Mairina memilih Wisma Geylang Serai pula memandangkan bangunan yang baru dibuka itu menjadi tumpuan masyarakat Melayu Islam kita.

Eka membawa koleksi kaftan, Jalabia, abaya eksklusif dari Arab Saudi memandangkan beliau pernah menetap di Arab Saudi untuk seketika sebelum pulang ke Singapura. Bezanya untuk gerai di Wisma Geylang Serai, Eka buat pertama kalinya menjual sambal hijau buatannya sendiri yang boleh bertahan lama katanya.

“Tempatnya baru dirasmikan (Wisma Geylang Serai) dan saya memang dah berniat nak ada sesuatu di Bintang Walk khusus untuk selebriti. Saya suka tempatnya sebab tak berasap-asap dan bersih. Untuk saya bawa anak-anak pun senang. Alhamdulillah, sewanya lebih murah mungkin kerana ia tempat baru,” katanya ketika dihubungi dalam kesibukan menjaga gerainya.

Beliau menambah bahawa sambal hijau buatannya sendiri kehabisan stok setiap hari yang kebanyakannnya dibeli oleh pelanggan-pelanggan setianya. Mengenai sambutan yang memberangsangkan terhadap koleksi pakaian Arab Saudi yang dijual untuk dipakai pada musim Lebaran ini, Eka mengatakan:

“Mereka ghairah. Malahan yang bukan beragama Islam pun beli sebab mereka suka pakaian unik ini. Saya beri harga bukan yang potong leher tetapi berpatutan.”

Bahkan, pembeli koleksi busana yang didatangkan khas dari Arab Saudi itu tidak akan membuat si pemakai merasa canggung memakainya pada musim Hari Raya memandangkan ia memberi kelainan jika dibandingkan dengan pakaian tradisional Melayu seperti baju kurung contohnya.

Eka Mairina turut berkongsi bahawa persaingan yang sengit di kalangan artis-artis lain yang turut membuka gerai mereka di seluruh Singapura pada musim Ramadan membuatnya untuk gigih pastikan produk-produk penjualannya tidak sama dengan penjual lain.

“Kalau misalnya I sama dengan artis Malaysia yang menjual keropok, I pun jual keropok susahlah kan? (ketawa). Jadi barangan yang berlainan dan kita ada ciri khas kita sendiri. Jangan jual keropok atau epok-epok sebab semua nak jual keropok atau epok-epok.

“Pembekal mereka semua sama dari Malaysia. Kalau produk kita lebih baik, unik dari segi kualiti dan harga, orang Singapura sudah pandai memilih mana yang lebih berbaloi,” katanya kepada BERITAMediacorp mengenai rahsia yang membawa kepada kejayaan gerainya selama ini.

Sambutan yang sangat baik untuk produk-produknya dan adanya kedua-dua anak beliau turut membantunya menjaga gerainya apabila masa mengizinkan, turut membahagiakan Eka.

ROSLAH SHAH – PERTAMA KALI SEWA GERAI BAZAR GEYLANG SERAI

Penyanyi serta pengacara popular itu akui inilah kali pertama beliau menyewa gerai di Wisma Geylang Serai memandangkan ia baru sahaja dibuka baru-baru ini. Sebelum ini, beliau sering juga berniaga di tempat lain menjual produk-produk seperti sambal belimbing hitam dari Seremban, keropok ikan Terengganu serta sos cili selama hampir lima tahun yang dibawa masuk dari sebarang tambak.

(Gambar-gambar: Roslan Shah)

Setakat ini, sambal belimbing hitam yang dijual di gerainya laris dijual kerana ia juga boleh dimakan sewaktu pembeli bersahur. Boleh dikatakan, ia adalah ‘best seller’ di gerai Roslan Shah setakat ini.

Roslan Shah yang turut dikenali dengan kebolehannya membawakan lagu-lagu Allahyarham Sudirman Hj. Arshad menjelaskan, inilah kali pertama beliau berniaga dalam bulan Ramadan.

“Alhamdulilah, sambutan sungguh menggalakkan walaupun pada hari biasa tak ramai pada mulanya. Pada hujung minggu ramai. Gerai saya berhadapan pentas. Minggu kedua alhamdulilah memang penjualan dapat S$2,000 untuk penjualan tiga hari sahaja. Ini sambutan yang baik sebab saya tak pernah menjual di bulan Ramadan atau di Geylang Serai. Jika ada lagi tahun depan, saya nak bukak gerai lagilah,” katanya kepada kami.

Sekiranya Roslan Shah tiada undangan nyanyian di Malaysia, beliau akan turun ke gerainya untuk menemui pengunjung yang singgah ke sana. Tambah Roslan Shah mengenai perniagaan di Wisma Geylang Serai:

“Ada artis hujung minggu buat persembahan tapi bukan artis yang sama, bukan artis yang siaran ulangan tapi berlainan”.
Itu juga yang membuatnya tertarik membuka gerai di sana. Mewakili artis-artis tempatan, beliau sempat melahirkan pandangan agar masyarakat Melayu/Islam dapat juga memberi sokongan pada artis-artis tempatan yang berniaga pada bulan Ramadan.

MAIYA RAHMAN – JUAL AIR BUATAN SENDIRI

Berbeza pula dengan penyanyi Maiya Rahman yang memilih untuk berniaga di kawasan belakang bangunan Tanjong Katong Kompleks sekali lagi. Maiya menyewa dua gerai menjual air minuman Chocolita, Kopi dan Teh Sebat yang dibuat sendiri.

(Gambar-gambar: Maiya Rahman)

Menurutnya, pelbagai air minuman yang terdapt di gerainya tidak mengandungi gula mahupun bahan pengawet. Sebaliknya, hanya susu digunakan untuk membuat minuman-minuman tersebut. Mungkin itu juga kelainan sehingga membuat minuman-minuman tersebut lain dari yang lain.

Pakaian Hari Raya wanita juga turut dijual Maiya kali ini, yang berniaga buat tahun ketiga di Geylang Serai.

“Suasana di Geylang pada waktu malam hari meriah dengan pengunjung dan kegigihan para penjual selain dari kawasan Geylang yang mempunyai daya tarikan yang tinggi dengan pengunjung dari seluruh pelusuk negara ini,” katanya.

Yang seronoknya ialah pelanggan masih boleh tawar menawar dan pengujung dapat mencari mencari makanan dan minuman yang unik untuk membeli belah di gerainya juga.

Terang Maiya: “Saya masih memilih Geylang atas permintaan pembeli yang terus menyokong saya dari tahun pertama. Lagipun bila sudah biasa di Geylang , pelanggan kita akan tahu di mana hendak mencari gerai kami.”

Beliau bersyukur kerana sambutan kepada jualannya kali ini seperti tahun sebelumnya adalah memberangsangkan.

Produk yang paling laris di gerai Maiya Rahman pada tahun ini tetap minuman ‘Chocolita’ serta Celebrity Serum iaitu produk mukanya yang kerap juga kehabisan stok.

Penyanyi tersebut turut merasa puas apabila dapat berjumpa dan mengucapkan terima kasih sendiri kepada setiap pelanggan yang membeli produk-produknya pada musim Ramadan setiap tahun. Mereka juga dapat bergambar sekaligus dan “dapat merapatkan silaturahim antara pembeli dan penjual yang bergelar artis”.

Apakah menguntungkan artis berniaga pada bulan Ramadan?

“Tipu kalau tidak ada untung (ketawa). Keuntungan ada walaupun tidak mencapai sasaran tetapi masih membawa keuntungan” jawabnya jujur.  

Sumber : BERITA Mediacorp/FH/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan