Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PERTAPIS anjur majlis iftar terbesar bagi 2,500 anggota masyarakat memerlukan

Ini kerana program sebegini dapat membawa keceriaan dan meningkatkan mutu kehidupan mereka yang memerlukan dengan menyediakan sokongan dan bantuan kepada mereka.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Majlis iftar tahunan PERTAPIS kali ini adalah yang terbesar pernah dianjurkannya sejak dimulakan 20 tahun lalu.

Seramai 800 keluarga kurang berkemampuan dan warga tua berbilang kaum, dimuliakan kali ini - pertambahan 200 keluarga berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Majlis iftar besar-besaran badan kebajikan itu lebih-lebih lagi istimewa kerana turut diserikan dengan kehadiran Presiden Halimah Yacob malam ini (6 Jun).

PENGHUNI RUMAH TUMPANGAN JADI SUKARELAWAN

Buat sehari, sekitar 120 penghuni Rumah Peralihan dan Pusat Gadis dan Wanita PERTAPIS hari ini (6 Jun) menjadi sukarelawan demi berbakti.

Mereka bukan sekadar menyediakan hidangan iftar tetapi juga membungkuskan habuan yang akan diberikan serta melakukan persiapan logistik.

Titik keringat mereka ini adalah untuk 800 keluarga kurang berkemampuan dan warga tua berbilang kaum, yang separuh daripadanya adalah penerima bantuan program Tabung Amal Jariah (TAJ) PERTAPIS.

Lantaran itu, PERTAPIS juga mendapatkan sokongan lagi 130 relawan yang terdiri daripada badan khdimat sosial seperti Care Singapore dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).

"Saya gembira menyumbang untuk masyarakat. Tolong mereka orang-orang susah di luar sana dan saya harap ini memberi saya pengajaran untuk memberi kesedaran untuk saya," kata 'Faizal' bukan nama sebenar seorang penghuni Rumah Peralihan PERTAPIS.

Seorang lagi penghuni 'Farid' bukan nama sebenar berkata: "Saya rasa berbesar hati dan gembiralah dapat berbakti balik kepada masyarakat dan membantu fakir miskin untuk memberi mereka habuan mereka dan pengalaman saya daripada buat ini ikhlas lah.

Saya cakap ikhlas kerana walaupun penat macam mana pun kita tetap hendak bersabar dan ikhlas untuk golongan fakir miskin."

"Saya rasa peluang sebegini amat penting kerana ia memberi peluang kepada anggota-anggota kami dan juga murid-murid kami untuk mempelajari tentang diri mereka sendiri dan juga tentang situasi sosial apabila mereka berinteraksi dengan golongan-golongan berlainan," ujar Pengurus Khidmat Belia Care Singapore Ahmad Faiz Ahmad Bustami.

Para penghuni Rumah Peralihan dan Pusat Wanita dan Gadis PERTAPIS menabur bakti kepada masyarakat di acara hari ini.

BELANJA TURUT BERTAMBAH $30,000

Dengan jumlah mereka yang hadir mencecah rekod terbesar, PERTAPIS juga menyatakan projek kali ini memakan belanja sebanyak $198,000 - pertambahan $30,000 berbanding majlis tahun lalu.

Ini disebabkan lebih ramai penerima bantuan yang didampingi melalui program TAJ dan juga keberkesanan usaha PERTAPIS dalam mendekati masyarakat.

Meskipun hanya sekitar 50% daripada jumlah hadirin adalah penerima rasmi program TAJ sejak program itu dipertingkatkan pada 2015.

Sebelum 2015, program TAJ hanya terhad kepada golongan warga tua sebelum ia diluaskan kepada keluarga berpendapatan rendah dan juga mereka yang berisiko.

Ini termasuk ibu bapa tunggal atau mempunyai ibu atau bapa yang sedang menjalani hukuman penjara.

USAHA ANTARA LAPISAN MASYARAKAT INGIN PAPARKAN RAHMAH, EHSAN

PERTAPIS berkongsi bahawa pihaknya mendapatkan bantuan dana, buah-buahan dan kuih-muih daripada masyarakat untuk acara ini.

Dengan bantuan diterima ini, PERTAPIS berharap majlis iftar ini dilihat bukan sekadar peluang untuk mengeratkan hubungan tetapi juga memaparkan nilai rahmah dan ihsan.

Pengurus Kanan Perhubungan Korporat PERTAPIS Md Jufri Haron berkata: "Walaupun mereka ini menerima bantuan daripada PERTAPIS tetapi mereka ini sebenarnya tetamu kita. Tetamu yang kita muliakan untuk hari ini sama-sama menerima habuan dan mereka berbuka puasa bersama keluarga mereka."

Majlis iftar terbesar itu diadakan PERTAPIS sedang ia meraikan ulang tahunnya yang ke-48 tahun ini.

PERTAPIS berharap ia berada di landasan yang terbaik untuk menyediakan khidmat sosial kepada masyarakat.

KEHADIRAN PRESIDEN HALIMAH YACOB

Presiden Halimah Yacob selaku tetamu istimewa meluangkan masa berinteraksi dengan para penerima bantuan Tabung Amal Jariah (TAJ) PERTAPIS, serta beramah mesra dengan tenaga kerja badan itu.

Presiden Halimah juga menyingsing lengan dengan memberikan habuan yang mengandungi barangan dapur seperti beras dan gula, selain wang tunai antara $50 hingga $200 kepada para penerima TAJ.

Menurut PERTAPIS, projeknya ini adalah usaha penting dan sangat relevan.

Ini kerana program sebegini dapat membawa keceriaan dan meningkatkan mutu kehidupan mereka yang memerlukan dengan menyediakan sokongan dan bantuan kepada mereka.

Secara keseluruhan sekitar 2,500 orang menghadiri majlis iftar tahunan kali ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan