Ramadan 2018

Images
  • LHL iftar
    Gambar fail PM Lee menghadiri sesi Iftar di Masjid Al-Muttaqin tahun lalu. (Gambar: Kenji Soon/ MCI)

Para pemimpin termasuk PM Lee, Pres Halimah ucap selamat berpuasa kepada masyarakat Islam

SINGAPURA: Pemimpin-pemimpin Singapura mengucapkan selamat menunaikan ibadah puasa dan menyambut bulan Ramadan, kepada umat Islam di sini.

Antaranya termasuk Perdana Menteri Lee Hsien Loong, yang menulis di laman Facebook dalam bahasa Melayu, menyifatkan bulan Ramadan sebagai masa untuk "memperkukuh ikatan silaturrahim dengan keluarga dan sahabat-handai".

"Di sesi iftar atau berbuka puasa, saya sangat gembira apabila melihat individu yang berlainan kaum, agama dan kerakyatan duduk bersama-sama menikmati juadah sambil berkenal mesra dan bertukar pandangan antara satu sama lain," kata PM Lee menerusi catatan Facebooknya.

Menurut beliau lagi, penting bagi Singapura untuk memperbaharui iltizam untuk hidup bersama dalam suasana yang aman dan harmoni, terutama sekali dalam keadaan dunia yang tidak menentu.

"Saya pun tidak sabar untuk turut serta dalam majlis iftar sekali lagi," ujar beliau.


Puan Halimah turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa kepada umat Islam pada bulan Ramadan.

"Saya harap anda sabar dan tabah dalam menjalani ibadah puasa, dan melakukan amalan baik sepanjang bulan Ramadan," tulis beliau di laman Facebook.


Bagi Encik Zaqy Mohamad pula, yang baru-baru ini dilantik sebagai Menteri Negara Perdagangan dan Perusahaan (MTI) merangkap Tenaga manusia (MOM), beliau berkongsi di laman Facebook tentang pengalamannya bersahur dengan ratusan pekerja asing dan pasukan pengurusan MES, yang mengendalikan asrama mereka, pada seawal jam 3.30 pagi semalam (17 Mei).

"Kami menyajikan hidangan Beriyani dan saya harap semua menikmati hidangan sedap itu," kongsi Encik Zaqy dalam catatan Faceboonya.

"Kebanyakan pekerja yang saya temui bekerja dalam sektor binaan dan teknikal. Saya senang kerana para pekerja asing Muslim kita keriangan. Saya mengerti mereka hidup berjauhan dengan keluarga mereka dalam tempoh ini. Saya harap ini memudahkan lagi untuk mereka," tambah beliau.

"Selamat menjalankan ibadat puasa!"


Dalam pada itu, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli menggesa masyarakat Islam untuk "bermuhasabah diri, merasa kemanisan nikmat beribadah dan bermasyarakat serta berlumba-lumba menabur bakti khususnya untuk membantu golongan yang memerlukan" pada bulan suci ini.

"Ayuh kita ambil kesempatan di bulan suci ini untuk memperteguh keimanan kita dan menyebarkan rahmah sesama insan di dalam dan luar negara," tambah beliau.


Antara lain yang turut menyampaikan ucapan selamat menunaikan ibadah puasa termasuk Menteri Pendidikan Ong Ye Kung dan Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing.

Dalam catatan Encik Ong, beliau menyatakan daerah Gambas yang diselianya di bawah GRC Sembawang akan mengadakan acara iftar bersama para penduduk, tidak kira bangsa, untuk berbuka bersama-sama.

“Selamat menyambut bulan Ramadan dan selamat berpuasa kepada semua umat Islam,” tulis beliau dalam bahasa Melayu di Facebook.


Dalam ucapan Encik Chan pula, beliau melahirkan rasa gembira bahawa sebagai sebahagian daripada kempen Sentuhan Ramadan, para sukarelawan Muslim dan juga keluarga-keluarga bukan Muslim akan dapat bersatu dan merasai semangat gotong-royong untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.


Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan Amrin Amin pula berseloroh mengingati umat Islam supaya "tidak kira pangkat atau status, supaya tidak makan atau minum dari terbitnya fajar sehingga tenggelam matahari".

"Ramadan mengingati kami tentang kesamaan kami ketika berdepan dengan Tuhan. Pangkat, status atau kekayaan bukan segalanya. Jika kita bertekad, kita mampu harungi segalanya," nasihat beliau.

"Ramadan masa untuk kita merenung kembali, berdoa dan bersatu dengan keluarga dan sahabat-handai."

Semalam (17 Mei), beliau bersama-sama kakitangan Hospital Besar Singapura (SGH) melancarkan satu kempen yang bertujuan terus mendampingi masyarakat supaya menjaga pemakanan sepanjang bulan Ramadan.

- BERITAMediacorp/aq

Top