Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masyarakat Melayu berpusu-pusu berbelanja di Pasar Gombak jelang lebaran; semeriah Geylang Serai

BERITAMediacorp meninjau-ninjau sebuah pasar kejiranan di kawasan barat Singapura. Pasar Gombak 374 yang terus mendapat perhatian masyarakat kita.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Masyarakat Melayu sudah mula berpusu-pusu ke pasar untuk berbelanja lebih awal menjelang sambutan Hari Raya.

Ini lebih-lebih lagi memandangkan Ramadan sudah masuk hujung minggu terakhir sebelum tibanya Aidilfitri.

Pagi tadi (10 Jun), BERITAMediacorp meninjau-ninjau sebuah pasar kejiranan di kawasan barat Singapura. Pasar Gombak 374 yang terus mendapat perhatian masyarakat kita.

Kemeriahan di pasar kejiranan itu tidak jauh berbeza dengan kesesakan di Pasar Geylang Serai, yang lazimnya menjadi tumpuan masyarakat Melayu/Islam menjelang Hari Raya.

BERATUR MEMANJANG SAMPAI KE TEMPAT LETAK KERETA

Di Pasar Gombak 374, para peniaga yang menjual ayam dan daging dilihat tak menang tangan melayani para pelanggan yang begitu ramai.

Semasa berada di sana, terdapat sekitar 15 hingga 20 pelanggan yang dilihat beratur di kedai ayam dan daging pada satu-satu masa bagi sekurang-kurangnya tiga kedai sedemikian di sana.

Menurut pemilik kedai Abdullah Fresh Chicken, Encik Rosman Bin Saleh, jumlah pelanggan beliau biasanya lebih ramai setiap kali menjelang Aidilfitri, khususnya tiga hari sebelum Hari Raya.

Pada waktu itu, para pelanggan beratur panjang sehingga ke luar bangunan di tempat meletak kereta.

“Lebih ramailah. Kadang-kadang sampai di tempat meletak kereta di sana. Memang (sudah) jangkakanlah. Tiap-tiap Raya, 10 11 tahun macam itu,” kata Encik Rosman yang sudah berniaga di Pasar Gombak 374 selama hampir 12 tahun.

Lantaran itu, Encik Rosman membuka kedainya seawal pukul 3.00 pagi pada tiga hari sebelum Hari Raya.

"Kita Hari Raya kita buka dalam pukul 3.00 pagi. Itu tiga hari nak Hari Raya. Pukul 3.00 pagi di sini, kita potong-potong, siap-siap dengan orang ramai lah. Orang ramai akan datang dalam pukul 5.30 gitulah. Jadi semua dah siaplah," ujar beliau.

Pada hari biasa, kedai beliau dibuka sekitar pukul 6.00 pagi hingga pukul 12.00 atau 1.00 tengah hari berbanding musim perayaan seperti Hari Raya yang ditutup dua jam lebih lewat daripada biasa.

PELANGGAN DATANG DARI SEJAUH PASIR RIS!

Meskipun terletak di Bukit Batok, para pengunjung pasar itu bukan setakat dari kawasan barat Singapura saja. Encik Rosman memberitahu BERITAMediacorp para pelanggan beliau ada yang datang sejauh Pasir Ris, Tampines dan Bedok. Selain itu, terdapat juga pengunjung dari Yishun, Bukit Panjang dan Choa Chu Kang.

Jadi, apakah daya tarikan Pasar Gombak 374 sehingga mereka sanggup menempuh perjalanan kira-kira 50 kilometer untuk ke sana?

Beberapa pengunjung yang ditemui BERITAMediacorp berkata mereka gemar ke pasar tersebut disebabkan kemudahan yang disediakan di bawah satu bumbung. Saban tahun, para peniaga di pasar itu turut menawarkan beraneka keperluan Hari Raya. Ini termasuk pakaian, kuih-muih, kerepek dan janur.

Pasar Gombak 374 terletak berdekatan stesen MRT Bukit Gombak. (Gambar: BERITAMediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Kebanyakan pengunjung juga merupakan bekas penduduk Bukit Batok dan sudah menjadi pelanggan tetap di pasar tersebut. Jadi, tidak kira di mana pun mereka berpindah, Pasar Gombak 374 tetap menjadi pasar pilihan.

“Sini semua terdapat lah. Jadi tak payah nak ke mana-mana. Tunggu di sini, semua kita pusing. Nak beli baju ke..Kalau hari seperti ini kan (menjelang Raya), daging ke ayam ke, semua memang dah ada,” kata Cik Ani Hamzah, penduduk Choa Chu Kang yang pernah menetap di Bukit Batok.

"SAMA SEPERTI GEYLANG"

Seorang lagi bekas penduduk Bukit Batok yang sudah berpindah ke Choa Chu Kang, Encik Sukri Bin Saadon, menyifatkan Pasar Gombak 374 “sama seperti Geylang”.

“Kadang-kadang pergi Geylang juga tapi tahun ini macam malas. Mesti ramai orang kan. Jadi apa yang ada di Geylang, di Gombak ini tetap ada juga. Barang-barang semua sama, ada di sini. Mudahlah untuk saya,” beliau memberitahu BERITAMediacorp.

Pasar Gombak 374 terletak berdekatan stesen MRT Bukit Gombak. (Gambar: BERITAMediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Bagi Cik Siti Saleha Hj Anwar pula, hari ini adalah kali pertama beliau menjejakkan kaki ke Pasar Gombak 374.

Menurut penduduk Jurong East itu, beliau tidak menyangka begitu ramai orang yang datang ke pasar tersebut.

“Tahun lepas tak datang sini. Pergi Geylang. Ini baru pertama kali. Itu saya tengok terperanjat. Tengok tengah beratur. Tak sangka pula macam ini,” kata Cik Siti Saleha.

HARGA BERPATUTAN, TIDAK NAIK

BERITAMediacorp turut meninjau-ninjau harga tiga bahan utama yang biasanya menjadi 'buruan' menjelang Hari Raya - ayam, daging dan udang.

Harga ayam di Pasar Gombak 374 dijual antara S$8 dengan $9 sekilo.

Bergantung kepada potongan daging yang dibeli - kari atau goreng - harganya antara S$10 dengan S$15 sekilo.

Udang pula dijual antara S$7 dengan S$16 sekilo.

Seorang lagi penjual ayam dan daging di pasar itu, Cik Hamidah binti Idrus memberitahu BERITAMediacorp, harga jualannya adalah "harga Hari Raya".

"Beza dia hanya beberapa sen sahaja. 50 sen ataupun sedolar. Itu saja. Kalau mereka (pembekal) kasi naik (harga), kami terpaksa naikkan lah. Kalau mereka beritahulah (yang) Hari Raya (harga) naik, barulah kami naikkan," kata Cik Hamidah, yang sudah 30 tahun berniaga di sana.

Encik Rosman pula berkata harga daging dan ayam jualannya tidak dinaikkan.

"Hari ini kira tak naik (harga macam biasa). Kira daripada 10, 11 tahun kan (harga) kita naik pun agak dalam 10 sen, 20 sen gitu. Jadi sekarang kita punya daging goreng $15. Daging goreng istimewa lah. Daging kari $12. Ayam $8. Kepak kita (jual) $6," ujar beliau. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan