Ramadan 2018

Images
  • delivery service
    Foodpanda, HalalOnClick dan Deliveroo menyusun strategi bagi menampung tempahan meningkat pada bulan Ramadan. (Gambar: Facebook)

Mahu tempah makanan iftar dari Foodpanda, HalalOnClick & Deliveroo? Baca artikel ini...

SINGAPURA: Dengan menjelangnya Ramadan, beberapa syarikat khidmat penghantaran makanan di sini sudah menyusun strategi bagi menampung tempahan makanan iftar yang dijangka berlipat ganda.

Ini terutamanya bagi jam-jam terakhir sebelum berbuka puasa yang lazimnya menyaksikan jumlah tempahan memuncak lantas menimbulkan cabaran buat syarikat-syarikat itu menghantar makanan tepat pada waktunya.

Syarikat Deliveroo misalnya, menawarkan khidmat penghantaran percuma di serata negara antara jam 4.00 petang hingga 6.00 petang, yang sudahpun dimulakan semalam (15 Mei) dan akan berjalan sehingga 16 Jun, iaitu pada malam raya.


Ini untuk menggalak para pelanggan membuat tempahan makanan lebih awal bagi mengelakkan permintaan yang terlalu tinggi dalam satu-satu masa.

“Jadi mereka yang berpuasa mempunyai banyak masa untuk membuat tempahan dan menerima makanan yang akan dihantar ke rumah mereka apabila hendak berbuka puasa,” menurut Pengurus Besar Deliveroo Singapura, Siddharth Shanker.

HALALONCLICK: TIADA TEMPAHAN ANTARA 5.00-7.30 MLM SEMASA RAMADAN

Bagi syarikat lebih kecil seperti HalalOnClick, tempahan makanan iftar akan ditutup seketika selama dua setengah jam, dari jam 5.00 petang. Pada 7.30 malam tempahan akan disambung semula sehingga jam 10.00 malam dalam bulan puasa ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Encik Muhammad Hadi Rahmad, jumlah tempahan dalam bulan Ramadan bagi tempoh waktu tersebut boleh dikatakan sama tinggi dengan jumlah tempahan sehari dalam bulan-bulan lain.


Oleh itu, tempahan makanan ditutup seketika bagi memberikan para penyedia makanan - sebilangan besarnya para pegerai biasa yang tidak punya ramai kakitangan - masa yang secukupnya untuk menyiapkan juadah yang ditempah.

Pada masa yang sama, bekalan penghantar makanan dalam tempoh dua jam sebelum berbuka puasa juga akan ditambah.

“Kami akan memastikan jumlah penghantar makanan yang ada bertambah dua, tiga kali ganda untuk memastikan kita menghantar tepat pada waktunya,” kongsi Encik Hadi.

HalalOnClick, yang menawarkan menu makanan daripada lebih 70 restoran dan gerai halal, kini menawarkan khidmat penghantaran di daerah timur, barat dan utara Singapura, dengan jarak penghantarannya antara 5 hingga 7 kilometer. Masa penghantaran yang dijanjikan kurang 45 minit.


Ia juga menawarkan penghantaran bahan makanan segar seperti ikan, ayam dan daging yang mana tempahannya juga dihadkan semasa bulan Ramadan, sama seperti khidmat penghantaran makanannya. Namun ia hanya dibuka kepada para penduduk di kawasan barat buat masa ini.

Syarikat itu juga sedang membangunkan sebuah aplikasi bijak yang dijangka dilancarkan pada Jun ini.

FOODPANDA GUNA SISTEM RAMALAN, PADAN BEKALAN DENGAN PERMINTAAN

Bagi syarikat Foodpanda yang menawarkan khidmat penghantaran makanan dari sekitar 800 restoran halal, permintaan yang dijangka meningkat kira-kira 30 peratus sebelum berbuka puasa itu ditangani dengan menggunakan sistem ramalan bagi membekalkan bilangan penghantar yang mencukupi.

“Kami sentiasa cuba meramalkan berapakan tempahan yang bakal kami dapat dalam waktu sibuk itu dan mendapatkan bilangan penghantar yang mencukupi untuk dipadankan dengan permintaan.


(Gambar: Foodpanda/Facebook)

“Jadi ini bermakna jika secara teori kami meramal dengan tepat dan kami dapat membekalkan penghantar yang mencukupi semasa waktu-waktu sibuk itu, masa penghantaran akan lebih kurang sama dengan pada waktu-waktu kurang sibuk. Itu adalah matlamat kami,” kata Encik Luc Andreani, Pengarah Urusan Foodpanda Singapura.

Beliau menambah matlamat syarikat itu adalah untuk menghantar makanan dalam masa 35 minit atau kurang sepanjang hari, tidak kira dalam waktu sibuk atau sebaliknya.

APA PELANGGAN MUSLIM PATUT BUAT AGAR TIDAK LEWAT IFTAR?

Namun beliau akui untuk membekalkan bilangan penghantar yang sentiasa perlu mengikut corak permintaan yang kian berubah merupakan sesuatu yang mencabar.

“Setentunya akan berlaku semasa bulan Ramadan atau pada waktu-waktu sibuk, di mana peningkatan pada permintaan adalah sangat tinggi sehinggakan kami tidak mempunyai penghantar yang mencukupi bagi memenuhi permintaan itu.


(Gambar: HalalOnClick/Facebook)

“Jadi jika kami tidak mempunyai penghantar yang mencukupi, kami lebih rela memberitahu anda makanan itu akan dihantar dalam masa 45 minit daripada memberitahu anda ia akan dihantar dalam masa 35 minit namun kami lewat 10 minit. Jadi kami sentiasa cuba untuk mengawal jangkaan pelanggan,” kata Encik Luc.

Beliau mengesyorkan para pelanggan yang menerima makanan lebih lewat daripada lima minit masa yang ditetapkan sewaktu tempahan dibuat, akan diberikan pampasan secara automatik.

Namun kes-kes sedemikian membentuk kurang 5 peratus daripada seluruh tempahan yang dibuat sepanjang Ramadan tahun lepas dan ia sesuatu yang ingin dikekalkan, tambah Encik Luc.

KEBAJIKAN KAKITANGAN MUSLIM DIJAGA DALAM BULAN PUASA

Sempena Ramadan ini, beberapa syarikat itu juga mengambil inisiatif untuk menjaga kebajikan para kakitangan yang berpuasa.

Misalnya, Foodpanda bekerjasama dengan rakan-rakan kerja mereka bagi memberikan tawaran istimewa kepada para penghantar mereka. Salah satunya adalah Pizza Hut yang akan memberikan promosi 25 peratus kepada para kakitangan yang bertugas semasa berbuka puasa nanti.

Deliveroo pula menyediakan makanan beriftar bagi para penghantar yang bertugas. Mereka juga diberikan insentif khas untuk menambahkan pendapatan sepanjang bulan puasa ini.

"Apabila Ramadan berakhir, kami akan mengadakan sambutan bagi semua penghantar Deliveroo bagi menandakan bermulanya perayaan Hari Raya Aidilfitri," tambah Encik Siddharth. 

- BERITAMediacorp/im

Top