Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kurma percuma Arab Saudi diagihkan kepada orang ramai Ahad ini di Masjid Ba'alwie

Anda boleh datang ke Masjid Ba'alwie Ahad ini untuk mendapatkan kurma percuma dari Arab Saudi bagi Ramadan ini. Pengagihan akan bermula dari 9.30 pagi.

Anggaran Waktu Membaca:
Kurma percuma Arab Saudi diagihkan kepada orang ramai Ahad ini di Masjid Ba'alwie

Kurma Barni dari Madinah akan diagihkan kepada orang ramai bermula Ahad ini. (Gambar-gambar: Ummu Rabbisyfina/BERITAMediacorp)

BERITAMediacorp: Anda boleh datang ke Masjid Ba'alwie Ahad ini untuk mendapatkan kurma percuma dari Arab Saudi bagi Ramadan ini. Pengagihan akan bermula dari 9.30 pagi.

Masjid-masjid dan badan-badan Melayu/Islam pula boleh mendapatkan bekalan mereka esok.

KURMA LAMBANG HUBUNGAN ERAT S'PURA-SAUDI

Arab Saudi meneruskan tradisi menderma kurma Barni dari Madinah, kepada Singapura bagi Ramadan tahun ini dengan 43 tan kurma diagihkan hujung minggu ini.

Penerimaan kurma di Masjid Ba'alwie ini disaksikan oleh pemimpin Islam tempatan seperti Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan, Encik Amrin Amin.

"Usaha ini menunjukkan talian persahabatan yang sangat erat antara Singapura dan Saudi, antara Saudi dan Masjid Baalwie, kami sangat berterima kasih dan kami sangat gembira.

"Ini kerana hadiah ini dapat memanfaatkan ramai keluarga di Singapura, terutama keluarga yang kurang berupaya, kurang berkemampuan, jadi ini satu hadiah yang berharga dan bermakna teruatama pada bulan Ramadhan yang menjelang ini," tekan Encik Amrin.

AMRIN AMIN: SEMANGAT MEMBERI DIHARAP DILANJUTKAN DI LUAR BULAN RAMADAN

Malah, Encik Amrin turut berharap agar usaha dan semangat memberi seperti yang dilakukan oleh Masjid Ba'alwie dapat diterapkan oleh masyarakat Melayu/Islam pada bulan Ramadan dan di luar bulan tersebut.

"Saya rasa semangat memberi ini harus kita contohi bukan hanya pada bulan Ramadan, tapi pada bulan-bulan yang lain kerana inilah makna sebenarnya menunjukkan seorang Muslim itu, iaitu berkongsi, belas kasihan dan juga menolong antara satu sama lain," tambahnya lagi.

(Dua lori kontena ini yang berisikan kurma Barni dari Madinah di perkarangan Masjid Ba'alwie)

ORANG RAMAI TUNGGU KETIBAAN KURMA

Selain mantan Mufti Syed Isa Semait dan Ketua Eksekutif MUIS, Encik Abdul Razak Maricar, majlis turut dihadiri oleh Setiausaha Pertama Arab Saudi, Encik Alauddin Abdullah S. Khudair dan beberapa mantan Anggota Parlimen.

Tradisi muhibah antara kedua-dua negara mencerminkan hubungan persaudaraan yang kukuh antara kerajaan Arab Saudi dengan masyarakat Islam di sini khususnya dan masyarakat setempat amnya.

Imam Masjid Ba'alwie, Habib Hassan Al Attas, turut melahirkan rasa gembira atas tradisi pengagihan kurma antara kedua-dua negara.

"Inilah semangat tolong-menolong bantu membantu yang kita perlu hidupkan.

"Masyarakat Singapura turut tunggu bila sampai kurma, kita menerima banyak sekali panggilan telefon dan orang datang, mereka tanya untuk ada kurma untuk mengambil kurma ini.

"Kami turut berasa gembira melihat ramai jemaah mengambil kurma bukan untuk diri mereka sendiri, tetapi mereka ambil untuk dibagi-bagikan kepada sahabat handai, kepada keluarga, dan kepada kenalan," kongsinya bersama pihak BERITAMediacorp.

SETIAP MASJID DAPAT 100 KG KURMA BARNI

Menurut pihak Masjid Ba'alwie, setiap masjid akan mendapat 20 kotak atau 100 kilogram kurma.

Bagi orang ramai pula pihak masjid membungkus semula kurma-kurma itu menjadi paket lebih kecil.

Pihak Masjid Ba'alwie turut berkongsi bahawa sebahagian kurma sudah diagihkan ke Malaysia dan Indonesia, selain ke Sri Lanka dan Papua New Guinea.

Ini merupakan tahun ke-25 Singapura menerima kurma percuma dari Arab Saudi.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan