Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jangan makan terlalu manis! Orang Melayu 'Dah Cukup Manis' - Kempen gaya hidup sihat untuk Ramadan

Orang Melayu sudah 'cukup manis', maka itu mereka tidak perlulah terlalu makan makanan yang manis-manis.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Orang Melayu sudah 'cukup manis', maka itu mereka tidak perlulah terlalu makan makanan yang manis-manis.

Begitulah semangat kempen kesihatan berbunyi 'Kita Dah Cukup Manis' yang dikongsikan oleh Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan Amrin Amin hari ini (17 Mei).

Inisiatif itu bertujuan terus mendampingi masyarakat supaya menjaga pemakanan sepanjang bulan Ramadan dan Syawal ini.

Encik Amrin berkongsi teras kempen itu semasa ditemui di acara berbuka puasa dengan kakitangan Hospital Besar Singapura (SGH) hari ini (17 Mei).

"Menjaga kesihatan itu juga laungan agama, ajaran agama dan harus kita hayati kerana dengan kita dapat menjaga kesihatan itu, kita dapat menjaga keluarga, melangsungkan tanggungjawab kita dan juga beribadah secara sempurna.

"Kerana kalau sakit-sakit, bagaimana hendak berpuasa? Jadi haruslah kita menjaga kesihatan supaya kita dapat memelihara atau menghargai sebenar-benarnya anugerah Tuhan iaitu kesihatan," kata Encik Amrin.

3 TERAS UTAMA KEMPEN

Menurut Encik Amrin yang juga merupakan Setiausaha Parlimen Ehwal Dalam Negeri, inisiatif-inisiatif itu bertujuan menggalak masyarakat memantau dan mengawal tahap kesihatan dan kadar gula mereka.

Ini dilaksanakan dalam tiga teras yang berbeza, tambah beliau.

Pertama, inisiatif itu akan dilaksanakan dengan sokongan sekitar 60 masjid, kelab masyarakat dan juga selebriti tempatan seperti Suhaimi Yusof dan Cef Mel Dean.

Program-program di bawah teras ini menumpukan kepada usaha menggalakkan gaya hidup sihat kepada masyarakat.

Antara program itu termasuk mengajar orang ramai cara untuk menyediakan sajian yang lebih sihat dan juga mengawal kadar gula dalam darah.

Encik Amrin juga menyebut bahawa ini adalah sebahagian daripada usaha pemerintah untuk memerangi penyakit kencing manis.

HABUAN TAA 'LEBIH SIHAT'

Kedua, adalah kerjasama dengan badan amal Tabung Amanah Aidilfitri (TAA). Kerjasama ini dijangka dapat mendekati sekitar 3,000 orang yang juga merupakan penerima bantuan TAA.

Ini dilakukan dengan pemberian habuan bahan-bahan masakan atau barangan dapur yang lebih sihat.

Encik Amrin berkata: "Menjaga kesihatan itu bukan hanya milik orang yang berada. Malah, oleh semua tidak kira latar belakang."

KURANGKAN TABIAT MEROKOK

Ketiga adalah usaha untuk mengurangkan jumlah perokok di kalangan masyarakat.

Mentelah lagi, kadar perokok di kalangan masyarakat Melayu/Islam agak tinggi iaitu satu daripada empat anggota masyarakat didapati adalah perokok.

Encik Amrin menjelaskan bulan Ramadan ini dilihat sebagai masa yang sesuai untuk mengurangkan jumlah perokok memandangkan pengamatan beliau mendapati tabiat merokok dapat dikawal semasa bulan puasa ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan