Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Haruskah lintasan trafik ala Shibuya diperkenalkan semasa bazar Ramadan Geylang Serai?

Dengan begitu ramai pengunjung dan pelancong bersesak-sesak di bazar Raya tradisi itu, serta demi melancarkan aliran pejalan kaki, mungkinkah sudah tiba masanya dipertimbangkan inisiatif seperti lintasan ala Shibuya dan penutupan jalan raya di Geylang Serai?

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Dianggarkan 1.5 juta orang mengunjungi bazar Ramadan Geylang Serai tahun lalu. Demikian menurut Anggota Parlimen GRC Marine Parade Dr Fatimah Lateef yang menyelia kawasan Geylang Serai kepada BERITAMediacorp hari ini (20 Mei).

Dengan begitu ramai pengunjung dan pelancong bersesak-sesak di bazar Raya tradisi itu, serta demi melancarkan aliran pejalan kaki, mungkinkah sudah tiba masanya dipertimbangkan inisiatif seperti lintasan ala Shibuya dan penutupan jalan raya di Geylang Serai?

BERITAMediacorp meninjau pandangan pakar-pakar dan orang ramai untuk mendapatkan jawapannya.

ORANG RAMAI SETUJU MANFAAT 'SHIBUYA GEYLANG SERAI'

Selama tujuh hujung minggu antara Disember tahun lalu hingga Januari tahun ini, kawasan Orchard Road mencuba lintasan menyeberang jalan ala Shibuya.

Ia memudahkan pengunjung menyeberang jalan dari pelbagai sudut dan anda tidak perlu melepasi beberapa lampu trafik untuk ke seberang jalan. Hasilnya, anda menjimatkan masa dan pergerakan pejalan kaki lebih lancar.

Persoalannya sekarang, patutkah lintasan ala Shibuya yang terkenal di Jepun itu, juga dilaksanakan di Geylang Serai semasa musim bazar Ramadan?

"(Bazar Geylang Serai) sangat sesak, hendak jalan pun susah. Panas lain, ada bawa 'stroller' (kereta sorong bayi) semua. Jadi saya rasa itu satu insiatif yang baik," kata Cik Nurlida Yusof, menyokong inisiatif 'Shibuya Geylang Serai'.

Bagi seorang lagi pengunjung Geylang, Encik Khairil Anuar, beliau percaya langkah itu mungkin boleh menarik lebih ramai orang ke kawasan itu.

"Jadi kalau kita hendak berjalan pun tidak begitu sempit, lebih lapang," katanya.

"Itu bagus, idea yang menarik kalau dapat tutup jalan raya kita boleh berjalan," sokong Encik Shazwan Rasid.

Itulah antara respons orang ramai jika lintasan ala Shibuya dan penutupan jalan raya dilaksanakan di bazar Geylang.

DI MANA 'SHIBUYA GEYLANG SERAI' BOLEH DILAKSANAKAN?

Menurut pakar-pakar kepada BERITAMediacorp, perkara-perkara ini bukan saja dapat mengurangkan jumlah kesesakan pengunjung tetapi juga memperkayakan pengalaman mereka sekaligus menjimatkan masa mereka.

Arkitek Kanan CPG Consultant Pte Ltd Faradilla Zakaria berkata: "Lintasan pepenjuru Shibuya adalah idea yang lebih baik berbanding daripada penutupan jalan raya kerana ia dapat memendekkan masa menunggu untuk menyeberang jalan raya dalam beberapa minit."

Jadi, di simpang-simpang mana 'Shibuya Geylang Serai" itu boleh dilaksanakan?

Cik Faradilla berkata lintasan Shibuya itu boleh diwujudkan di tiga persimpangan utama iaitu di depan Joo Chiat Complex, One KM Mall dan Stesen MRT Paya Lebar yang bertentangan dengan Tanjong Katong Complex.

Namun, Cik Faradilla berpendapat pihak berkuasa perlu mengatasi beberapa cabaran seperti memastikan lampu isyarat berfungsi secara serentak dan juga mendidik orang ramai.

"Publisiti dan kesedaran umum amat penting untuk membuat inisiatif ini menjadi berkesan. Pihak berkuasa boleh cuba mewujudkan kesedaran orang ramai, meminimumkan huru-hara dan memberi mereka peluang membuat perancangan lebih dahulu," tambahnya.

PERNAH DILAKSANAKAN SATU KETIKA DAHULU DI GEYLANG

Bazar Geylang pada tahun 1990-an di kawasan Jalan Pasar Baru. (Gambar: National Archive Singapore)

Bazar Geylang pada tahun 1990-an di kawasan Jalan Pasar Baru. (Gambar: National Archive Singapore)

Bagi pakar seni bina, Dr Imran Tajudeen pula, kedua-dua idea itu sebenarnya bukanlah sesuatu yang baru dan pernah dilakukan di Geylang dahulu.

"Kalau kita lihat pada sejarah di Geylang Serai ini, dahulu pun memang dah ada kawasan bebas kereta dan seperti lintasan Shibuya ini juga. Yang ditutup dulu jalan singkat yang namanya Geylang Serai dan Jalan Pasar Baru.

"Jadi dahulu jalan ini ditutup dan dijadikan bazar dan walaupun pendek jalannya itu, Jalan Pasar Baru, sangat padat dan orang mundar-mandir di situ berapa kali pun tidak tahu. Orang ulang-alik di situ. Jadi bukan perkara baru. Tidak mustahil dan boleh dilakukan," kata beliau yang juga merupakan penolong profesor Jabatan Seni Bina di Universiti Nasional Singapura (NUS).

Namun, menurutnya jika penutupan jalan raya dilakukan di jalan raya utama seperti di Geylang Road dan Sims Avenue, ia boleh menyebabkan masalah trafik.

Itulah halangan yang perlu difikirkan sebelum 'Shibuya Gerai Serai' boleh menjadi kenyataan.

Namun demikian, sebagaimana 'Shibuya Orchard Road', yang pasti inisiatif-inisiatif perancangan bandar seperti ini tidak mustahil jika pihak berkuasa mahu mencubanya. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan