Skip to main content

Iklan

Iklan

Hari Raya lebih ceria di kediaman sendiri selepas 7 tahun sewa rumah

Lazimnya sempena lebaran, pasti ramai menghias sakan rumah masing-masing demi menyegarkan rumah bagi menyambut tetamu yang bakal bertandang.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lazimnya sempena lebaran, pasti ramai menghias sakan rumah masing-masing demi menyegarkan rumah bagi menyambut tetamu yang bakal bertandang.

Bagi keluarga seperti Encik Mohd Aszrin Ahmad, hiasan dan perabot serba baru bukan dibeli untuk menggantikan yang lama semata-mata.

Hari Raya ini sebenarnya lebih istimewa kerana ini kali pertama keluarganya menyambut Syawal di rumah sendiri, setelah sekian lama tinggal di flat sewa.

Suasana berbeza yang meriah lagi mengujakan di flat 4-bilik mereka.

Itulah gambaran Encik Mohd Aszrin Ahmad tentang sambutan Lebaran keluarganya tahun ini.

(Gambar: Fariza Abdul Aziz)

Manakan tidak, setelah tujuh tahun berdiam di rumah sewa, akhirnya beliau sekeluarga mempunyai ruang yang lebih besar untuk beraya.

Ia sudah lama diidam-idamkan Encik Aszrin agar dapat menyambut sanak-saudara, termasuk dari seberang tambak, dengan penuh keselesaan.

"Mereka pun pernah tanya ‘bila rumah hendak siap?’ Saya cakap, 'sebenarnya rumah itu sudah ada tengah ubah elok'. Mungkin tahun depan semua sudah okay. Jadi mereka kata, 'bagus kita akan datang beraya'. Itu yang bikin saya gembira," kata Encik Aszrin.

KINI BOLEH JEMPUT SESIAPA DATANG BERKUNJUNG

Keluarga empat beranak beliau sebelum ini menginap di flat sewa 2-bilik. Oleh kerana pendapatan keluarga tidak mengizinkan, mereka tidak dapat segera membeli rumah sendiri.

Mereka hanya mula berpindah masuk ke flat di Canberra ini tahun lalu sekaligus juga menjadi antara 90 peratus pemilik flat HDB yang bergelar 'pemilik rumah sendiri'.

Tetapi memandangkan keadaan rumah masih kucar-kacir, mereka tidak sempat menjemput sesiapa untuk datang berkunjung.

(Gambar: Fariza Abdul Aziz)

Namun kali ini, bahang raya hangat dirasai dengan semua kelengkapan sudah siap dan tersusun rapi dari awal lagi.

Begitulah nikmat memiliki rumah sendiri.

"Saya fikir rumah sewa mungkin tidak berapa ramai yang datang. Tetapi sekarang ini lain. Kalau pergi ke bazar ke mana-mana, ini boleh, kita hendak. Macam dari segi kuih ke dekorasi rumah, ada sahaja," kata Encik Aszrin.

Bahkan, suri rumah beliau seorang penduduk tetap kelahiran North Carolina, Amerika Syarikat, rajin belajar memasak daripada ibu mertuanya kerana ingin menjadi tuan rumah yang baik.

"Ibu mahir memasak. Ia seperti suatu tradisi keluarga turun-temurun. Jadi saya yakin dengan masakannya," kata Cik Tasha Ahrens.

Setelah pandai menyesuaikan diri melayan tetamu pada Hari Raya nanti, Encik Aszrin berhasrat untuk membuat rumah terbuka pula masa kelak.   

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan