Ramadan 2018

Images
  • main angullia
    Bubur oat diagihkan oleh Masjid Angullia bagi pikihan lebih sihat. (Gambar-gambar: Ummu Rabbisyfina/BERITAMediacorp)

Bubur baru: Pernah dengar 'Bubur Masjid Oat'? Ada di Masjid Angullia...

SINGAPURA: Masjid-masjid di Singapura terus mengambil langkah proaktif dalam menyediakan hidangan berbuka puasa yang lebih sihat.

Masjid Angullia di kawasan Little India misalnya, mengagihkan "bubur masjid oat" bermula hari ini (17 Mei) sebagai pilihan yang lebih sihat.

SEBUNGKUS BUBUR OAT KANGDUNG 191 KALORI

Apabila BERITAMediacorp tiba di tempat memasak bubur, ia kelihatan seperti bubur masjid biasa. Namun, relawan Masjid Angullia berkongsi sebenarnya, ia merupakan bubur masjid 'versi baru' yang dimasak dengan menggunakan oat, sebagai bahan utamanya.

Sajian bubur oat merupakan sebahagian daripada usaha Masjid Angullia untuk menyediakan hidangan berbuka puasa yang lebih sihat pada Ramadan ini.

Misalnya sebungkus bubur oat yang diagihkan kepada orang ramai mengandungi 191 kalori saja!

(Bubur oat dialihkan daripada dapur sementera ke tapak Masjid Angullia)

BUBUR OAT DIAGIHKAN KEPADA MASJID-MASJID SETIAP HARI

Dipanggil 'oatsome' usaha ini sudah disokong oleh Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB).

Masjid Angullia ditutup pada tahun ini bagi tujuan pembangunan semula, lantaran itu, setengah bubur dimasak di dapur yang terletak di Ubi dan setengah lagi dimasak di Masjid Abdul Razak.

Namun menurut pihak masjid dan relawan persiapan bagi bubur oat bukan sesuatu yang mudah.

Ini kerana persediannya bermula dari jam 9.00 pagi lagi, dan kemudiannya akan mula diagihkan pula kepada sekitar lima hingga enam masjid setiap hari.

Bagi Masjid Angullia sendiri bubur oat diagihkan kepada sekitar 750 orang, bermula dari 4 petang lagi.

"Saya pilih oat kerana ia adalah satu bijiran yang terbaik sekali. Dia punya kandungan serat yang paling tinggi sekali dan ada banyak zat-zat yang tertentu.

"Apabila orang ramai makan bubur ini kami harap ia dapat membantu menahan dan memberikan kekuatan sehingga mereka solat terawih insyaAllah," kongsi Pengerusi Masjid Angullia, Encik Ayoob Angullia.

(Suasana di sekitar tapak Masjid Angullia sewaktu pengagihan bubur oat)

INGIN TERUSKAN TRADISI MEMBERI

Selain daripada menyajikan pilihan yang lebih sihat, pihak Masjid Angullia turut akur menggunakan oat merupakan bahan yang lebih murah dari segi kos.

Namun apa yang penting lagi ialah usaha meneruskan tradisi memberi Masjid Angullia yang dimulakan sejak dahulu lagi.

"Ini adalah satu penyambungan tradisi bagi kami Masjid Angullia untuk memberikan iftar atau makan kepada jemaah-jemaah kami, penyokong-penyokong kami, insyaAllah ia akan dijadikan sebagai satu persambungan dari pihak kami," ujar Pengurus Masjid Angullia, Encik Asheeq Jumahir.

Tinjauan BERITAMediacorp dengan para penerima mendapati rata-rata mereka mengalu-alukan pilihan yang sihat ini.

"Saya ingin cuba rasa bubur oat, tak pernah orang kasi bubur oat, sesekali kasi cubalah dulu. Selalu bubur biasa saja," kongsi Encik Muhammad Abdullah.

AGIHAN BUBUR BERJALAN RANCAK DI MASJID SULTAN

Hari ini (17 Mei) merupakan hari pertama agihan bubur masjid berlangsung di serata Singapura termasuk di Masjid Sultan dan suasanya jelas meriah.

Sekitar jam 4.00 petang lagi, ramai anggota masyarakat Islam sudah mula beratur untuk mendapatkan bubur Masjid Sultan.

Masjid Sultan antara kawasan penuh berwarna warni kerana adanya Bazar Ramadan di luar pekarangannya.  

- BERITAMediacorp/ur

Top